Dia pernah bertanya pada seseorang, mengapa dihitung bintang di langit? Namun tiada jawapan yang dia terima, kecuali seulas senyuman. ~Ahmad Farhan
MATANYA memandang ke arah sekumpulan budak lelaki yang sedang bermain di tali air, tidak jauh dari kawasan sawah padi. Ada antara mereka yang sedang rakus menyauk ikan. Ada juga yang sedang memegang joran. Dan ada juga yang sedang mandi-manda.
Pemandangan begitu buat dia tersenyum meleret. Teringat yang dulu-dulu dia juga seperti mereka. Berkubang di tali air. Selagi tak dirotan atau dikejar, selagi itulah dia duduk berendam di situ.
Sedang dia ralit berkhayal tentang masa lalu,tiba-tiba dirinya dikejutkan dengan bunyi daripada telefon bimbit. Suara M. Nasir kedengaran nyaring dari dalam poket seluarnya. Dikeluarkan telefon bimbit itu dari poket. Melihat nama umi tertera diskrin, segera dijawabnya.
"Paan kat mana ni?" suara umi menyapa ditelinga.
"Kat tali air lagi." Beritahunya sambil tangan tidak reti duduk diam daripada memetik daun-daun pokok di sebelahnya.
"Nanti kalau jumpa orang jual cucur, belikannya?" pesan umi.
"Iyalah. Nanti Paan belikan." Janjinya.
Selepas memberi salam, umi terus memutuskan talian telefon. Disimpan semula telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar.
Dia menarik nafas panjang. Menyedut udara kampung yang segar. Matanya juga terasa segar memandang sawah padi yang semakin menghijau.Kemudian, dengan perlahan-lahan dihembus nafasnya.
Rindu pada kampung tidak pernah surut.Lapan tahun dia tidak menjejakkan kaki ke sini.Tamat saja pengajian di politeknik tujuh tahun lalu,dia terus mendapat kerja di Shah Alam.
Sewaktu berada dalam tahun akhir pengajian,keluarganya telah berpindah ke kampung umi di Johor, menemani arwah nenek yang tinggal bersendirian ketika itu. Jadi dia sudah tidak punya alasan untuk kembali ke sini.
Cuma... hari ini dia kembali ke sini.Itu pun atas tawaran berkhidmat sebagai kakitangan awam setelah bertahun-tahun dia bekerja di sektor swasta.Ya, dia ke sini kerana bertukar tempat kerja.
Tidak semena-mena, dia terdengar tangisan budak. Sekali gus menyentakkan lamunannya. Melilau matanya mencari dari mana datang tangisan tersebut.
Tiba-tiba, matanya terpandang seorang budak perempuan yang sedang menangis teresak-esak sambil duduk bertinggung. Entah dari mana datangnya budak perempuan itu. Rasanya dalam kelompok budak-budak yang sedang bermain di tali air itu kesemuanya lelaki. Sungguh, dia tak perasan langsung. Segera budak perempuan itu dihampiri.
"Kenapa ni, adik?" tanyanya, prihatin. Sambil itudia menjeling ke arah lutut budak perempuan yang sedang menangis itu. Berdarah. Rupa-rupanya lutut budak perempuan itu terluka. Agaknya terjatuh sewaktu sedang bermain.
Tidak menunggu lama, dia terus keluarkan sehelai sapu tangan dari kocek seluarnya, lalu diikat pada lutut budak perempuan tersebut.
Tangisan yang kuat tadi sudah berhenti. Yang kedengaran cuma esakan halus."Macam mana boleh terjatuh?" tanya dia lagi.
"Saya tertolak dia!"Tiba-tiba muncul seorang budak lelaki bertubuh kecil dengan wajah yang serba salah. Dia mengagak yang budak lelaki itu baru berusia dalam lingkungan tujuh hingga lapan tahun. Masih dalam usia awal persekolahan.
Budak perempuan yang duduk bertinggung tadi bingkas berdiri dengan bantuan budak lelaki tersebut.
Dia pula hanya memerhati saja.
"Aku minta maaf ya?" kata budak lelaki itu pada budak perempuan yang lututnya berdarah tadi.
Mungkin tidak sampai hati melihat keruhpada wajah teman sepermainan, budak perempuanitu mengangguk sambil bibir berbunga senyuman,tanda memaafkan.
Melihat kelakuan kedua-dua orang budak tersebut, dia tersenyum tawar. Budak-budak kalau berbuat salah, cepat saja meminta maaf. Berlainan dengan orang dewasa. Agaknya, semakin meningkat umur, ego pun semakin melangit. Dia melepaskan keluhan berat.
Kedua-dua budak tadi mula meninggalkan tempat itu. Dengan kaki yang terhincut-hincut,budak perempuan tadi berjalan dengan bantuan rakannya itu.
Dia senyum pahit. Dilukai itu, perasaannya memang sakit. Tetapi sakit lagi apabila kita melukai seseorang dan kita sedar akan hal itu. Tambah tambah pula orang yang kita lukai itu ialah orang yang kita sayang. Percayalah... perasaan bersalah itu akan sentiasa menghantui kita, mengekori kita.
Seperti dirinya... yang mengusung rasabersalah selama bertahun-tahun. Atas sebab itu dia tidak cuba untuk pulang ke sini, hanya kerana dia pernah melukai hati seseorang. Dan dia tidak pernah cuba untuk memohon maaf.
Dia mula melangkah pergi, bersedia meninggalkan kawasan tali air itu. Tetapi langkahnya mati tatkala matanya berjaya menangkap kelibat seorang wanita yang sedang menuntun sebuah basikal. Di atas handel basikal tersebut, duduk seorang anak kecil.
Waktu itu dia dan wanita tersebut hanya dipisahkan dengan sebatang tali air di tengah- tengahnya. Biarpun keadaan mereka agak berjarak,namun dia masih mampu untuk mengecam wanita itu.
"Ji'a..." serunya tanpa sedar. Air liur ditelan pahit.

ANDA SEDANG MEMBACA
1,2,3... Bintang di Langit
RomanceNovel ini telah pun diterbitkan pada Mac 2014 di bawah label Jemari Seni Publishing. http://www.jemariseni.com/js-novel/470-novel-umum-mac-2014-1-2-3-bintang-di-langit-bidayatul-h.html ooo Dia pernah ditanya oleh seseorang, mengapa dihitung bintang...