Bab 5

237 11 0
                                    

Tahun 2003 - Ahmad Farhan

BUNYI BISING dari arah dapur menarik perhatiannya. Ahmad Farhan yang ketika itu masih tidur pulas di atas katil mula rasa terganggu.

Dia bangun, turun dari katil lalu menuju ke dapur. Dalam keadaan mamai dan rambut yang kusut-masai, dia menjenguk ke dapur. "Umi."

"Oh, mak hang!" Beg plastik di tangan umi nyaris terlepas. "Ya Allah! Paan nih, terkejut umi!"

Dia sengih melebar. Dengan keadaan yang serabai itu dia mendekati uminya yang ketika itu sedang sibuk menyusun sayur-sayuran di dalam peti sejuk.

"Apa yang kusut sangat ni, Paan?"

Soalan umi itu buat dia laju menggaru kepala yang tidak gatal. Makin kusut rambutnya yang sedia kusut itu.

"Umi tu yang duk kelentang-kelentung. Pagi-pagi buta ni umi buat apa? Bukan hari ni tak meniaga ke?"

"Paan oit! Mana ada pagi buta dah. Dah pukul sepuluh lebih! Paan tu, solat subuh tak tadi?"

Dia menyeringai, menampakkan barisan giginya kepada umi. "Ala umi ni... lepas subuh baru Paan sambung tidur. Letihlah, umi. Nak patah pinggang Paan ni. Johor-Kedah bukannya dekat." Rungutnya sambil menarik salah satu kerusi di meja makan yang mempunyai lapan kerusi itu.

"Itulah... kan abi suruh Paan balik sini naik bas. Tapi Paan ketegaq juga nak naik motor!"

Bebelan umi itu buat dia tersenyum. "Aiseh! Umi... bukannya Paan selalu konvoi macam tu. Seronok jugak naik motor ramai-ramai. Highway tu penuh dengan kami aja." Dia ketawa sendiri mengingatkan perjalanan konvoi semalam.

Dia dan rakan serumahnya, Firdaus, serta beberapa orang lagi rakan sekuliah bertolak sejurus subuh. Memandangkan dia yang paling jauh negerinya, jadi dia menumpang di rumah Firdaus di Tanjung Malim, melepaskan rehat sebentar. Selepas itu baru dia menyambung semula perjalanan.

Tetapi disebabkan dia terlajak tidur di rumah Firdaus, jadi dia lambat menyambung perjalanan ke kampung. Petang baru dia bergerak. Sudahnya dia sampai ke rumah pukul sebelas malam tadi. Penat sangat rasa. Itu yang dia liat benar nak bangun. Hanya bangun untuk solat subuh saja. Usai solat, terus dia tumbang ke katil.

"Ni, Paan balik ke kampus bila?"

"Minggu depan. Exam dah habis. Sekarang tinggal nak bentang final project aja." Beritahunya pada umi. Sambil itu tangannya laju membuka tudung saji di atas meja. Sepinggan karipap terhidang di hadapan matanya. Sedap! Dia menelan air liur. Perutnya mula berkeroncong 'lagu asli'. Lapar.

"Kita ada nak buat kenduri ke, umi?" tanyanya sambil tangan mencapai sebiji karipap. Ngap! Sebiji karipap sudah selamat masuk ke dalam mulutnya. Kemudian dia mencapai sebiji lagi.

"Memang nak buat kenduri. Tapi bukan kenduri kita, kenduri rumah orang lain." Terang umi kepadanya.

Dalam khusyuk mendengar cerita umi, dia menarik teko yang berisi kopi panas. Lalu dia ambil cawan yang sudah tersedia di atas meja. Baki karipap diketap kuat di mulut kerana kedua-dua tangannya sibuk menuang air ke dalam cawan.

"Paan! Makan tu pelan-pelanlah. Jangan gelojoh sangat!" marah umi apabila melihat kelakuan tidak sopannya itu.

Dia gelak besar dengan mulut yang penuh berisi karipap. "Sedap karipap umi ni. Nanti kalau makan lambat-lambat, Paiz rembat." Guraunya mengusik umi. "Kenduri rumah siapa, umi?" tanyanya lagi. Sambil itu dia mencapai karipap lagi. Karipap yang ketiga.

"Kenduri rumah Pakcik Chot kamu. Besok ada rombongan nak datang merisik."

"Eh, Kak Manis dah nak kahwin? Orang mana, umi?" Soalan demi soalan keluar. Dia jadi teruja nak tahu. Kak Manis itu anak kedua Pakcik Chot. Kakak kepada Ji'a. Bukanlah kakak kandung. Kak Manis itu diambil buat anak angkat sewaktu masih bayi lagi. Umi pernah bercerita padanya, Kak Manis itu khabarnya anak kepada pasangan yang datang dari Iran. Bapa Kak Manis terkorban dalam nahas jalan raya. Manakala ibunya yang tengah mengandungkan Kak Manis ketika itu cedera parah. Selepas melahirkan, ibu Kak Manis terus meninggal dunia.

1,2,3... Bintang di LangitWhere stories live. Discover now