Bab 2

281 15 0
                                    

Tahun 1993 - Ahmad Farhan

MALAM ITU, ketika langit dihias bintang-bintang yang bersinar, dia duduk menangis bersendirian di bawah rumah jerami milik Pak Suip. Dengan beralaskan timbunan jerami-jerami yang kering itu tubuh kecilnya kelihatan tenggelam.

Miang di badan langsung tak dihiraukan. Air mata yang merembes keluar sudah seperti hujan yang turun. Wajah Ahmad Farhan jelas comot. Tangisannya cuma kedengaran bunyi tersedu-sedu.

Dari jauh kedengaran sayup-sayup namanya dilaungkan. Suara itu dalam kelompok yang ramai.

Ahmad Farhan masih terus menangis. Pilu di hatinya apabila mendapat tahu dia bakal menimang adik. Marahnya dia pada umi. Pasti setelah adiknya lahir dia sudah tidak lagi menjadi kemanjaan abi dan umi.

Benci. Dia benci akan bakal adik baharunya itu. Lihat saja kejadian petang tadi. Dia cuma tunjuk perasaan kerana mahukan kasut bola seperti Malik. Sudahnya badan dia digetu oleh umi. Abi pula cuma memandang sambil menggeleng. Abang Faisal lagi teruk. Mengejeknya tanpa belas kasihan.

Dia bukannya apa. Sudah lama menjadi yang bongsu, jadi sukar untuk dia menerima adik. Sepuluh tahun. Bukan suatu tempoh yang singkat. Selama ini cuma dia dan Abang Faisal saja. Farid yang tua setahun daripadanya pula tinggal bersama-sama Nek Yah di Johor. Jadi, salahkah dia memberontak?

"Farhan!!!" Kedengaran sayup-sayup suara orang ramai memanggil namanya. Semakin lama semakin dekat.

Dia pula langsung tak menghiraukan laungan itu. Malah air mata yang keluar seolah-olah seperti air paip. Sukar untuk dihentikan. Mencurah-curah.

"Paan!"

Panggilan yang seterusnya itu berjaya membuatkan esakannya berhenti. Dia cam suara itu. "Ji'a..." ujarnya perlahan. Telapak tangannya pantas mengesat air mata yang berlinang-linang.

"Abah! Paan kat sini!" Jeritan anak perempuan bongsu Pakcik Chot kuat kedengaran, membuatkan dia mengesot sedikit ke celah timbunan jerami.

"Ya Allah! Sini hang, Paan! Puas kami cari seluruh kampung!" Mendengar suara Pakcik Jafar, ayah kepada Noin membuatkan dia menyambung tangisan.

Apabila Ji'a mendekatinya, dia mula mengamuk. Habis jerami-jerami Pak Suip yang sudah diikat dia buraikan.

"Farhan." Pakcik Chot memanggilnya perlahan, seperti memujuk. "Awat buat lagu ni? Abi dan umi kat rumah risau sangat."

Dia terus-terusan menangis. Hendak pula apabila nama abi dan umi disebut oleh Pakcik Chot, abah Ji'a.

"Abi dengan umi dah tak sayang kat Paan!" Suaranya berlagu sendu mengadu nasib.

"Siapa kata abi dan umi tak sayang kat Paan? Abi dan umi sayang kat Paan. Paan kan anak abi dan umi." Bersungguh-sungguh Pakcik Chot memujuk.

"Tapi... umi nak dapat adik baharu. Nanti depa dah tak mau kawan dengan Paan!" jeritnya nyaring.

Pakcik Chot dan Pakcik Jafar menggaru kepala yang tidak gatal.

"Siapa yang kata abi dan umi tak mau kawan dengan Farhan?" giliran Pakcik Jafar pula bertanya.

"Abang Ecan!" Nama abang sulungnya itu disebut bersama raungan sedih.

"Paan... kalau Pakcik Pian dengan Makcik Imah tak mau kawan, Ji'a dan Noin kan ada. Kami nak kawan dengan Paan." Beritahu Ji'a dengan suara yang berlagu.

Wajah Ji'a yang polos itu dia tatap lama. Tangisannya sudah reda. Di bibirnya tersungging senyuman. Umpama selepas hari hujan. Matahari mula menampakkan diri. Wajahnya tidak lagi mendung. "Betul?" dia bertanya, meminta kepastian.

Ji'a angguk bersungguh, membuatkan tocang ekor kudanya turut beralun sama.

"Hah! Dah, jom balik! Malam sangat dah ni." Rungut Pakcik Chot.

Dia bingkas. Namun sesaat kemudian dia rebah. Kakinya terasa kebas-kebas. Agaknya lama sangat dia duduk bersimpuh di atas timbunan jerami sejak tengah hari tadi lagi.

"Mari naik belakang pakcik." Arah Pakcik Chot.

Pantas tubuh abah Ji'a itu dipeluknya erat. Mereka berjalan meninggalkan rumah jerami Pak Suip. Waktu itu terasa angin malam dingin menggigit tubuhnya.

"Paan! Tengok atas!" Ji'a mengarah.

Pantas dia mendongak. Turut memandang ke langit sana.

"Banyaknya bintang..." ujar dia kepada Ji'a. Suaranya berbunyi takjub.

"Paan tau tak... fasal apa bintang tu ada banyak, bukannya satu saja?" tanya Ji'a.

"Tak tau." Jawabnya pendek. Kepala digeleng berkali-kali.

"Tok Wan kata, kalau bintang tu satu, nanti dia sunyi. Jadi kita takkan nampak dia. Sebab tu dia kena ada kawan yang banyak. Baru dia tak rasa sunyi."

Mendengar cerita Ji'a tentang bintang-bintang itu membuatkan dia mengangguk bersungguh. "Kalau macam tu, Paan pun nak jadi macam bintang. Ada ramai kawan."

Ji'a mengangguk sebaik sahaja dia berkata begitu.

Kemudiannya, dia terdengar Ji'a mula membilang. "Ji'a kira apa?"

"Bintang." Balas Ji'a pendek. Selepas itu, Ji'a menyambung semula kiraan yang terhenti.

Membilang butiran bintang yang takkan mampu untuk dihitung.


1,2,3... Bintang di LangitWhere stories live. Discover now