Bab 10

257 10 2
                                    

"Farha!!!"

Beg kertas yang mahu diletakkan di atas meja nyaris terlepas jatuh. Terkejut dia apabila disergah begitu.

"Ya Allah, Bib! Terkejut saya tau." Matanya dibeliakkan kepada Bib, rakan setugasnya.

Bib tersengih, menutup rasa bersalah kerana menyebabkan rakan sekerjanya itu terkejut.

Dia tarik nafas dalam-dalam. Rasa terkejut masih bersisa. Jantung berdegup laju.

"Lamanya Cik Farha kita ni cuti." Bib bercakap dalam loghat utara. Pelik benar bunyinya. Bib atau nama penuhnya Sharifah Habibah gadis yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini sudah hampir beberapa tahun bermastautin di sini.

"Lama apanya? Bukannya bercuti sebulan. Seminggu pun tak sampai."

"Aku rindulah. Kau tak de sunyi gila farmasi ni." Bib buat suara lunak manja.

Dia ketawa melihat aksi Bib itu. "Dah-dahlah Bib, tak payah nak buat drama sinetron pagi-pagi ni."

Tumpuannya beralih daripada wajah Bib ke arah post note yang bertampal di skrin komputernya. Wajah komputer jenama HP itu hampir tidak kelihatan kerana ditutupi dengan pelbagai post note yang berwarna-warni. Hai, baru cuti tiga hari dah penuh dengan note? Kalau seminggu, agaknya langsung tak nampak meja. Rungutnya dalam diam.

"Sampai hati kau, Farha. Aku ni rindu kau bagai nak rak tau." Gaya Bib seperti berjauh hati dengannya.

"Alala... merajuk pula kawan saya sorang ni." Kerenah Bib dilayan saja. Tahu sangat Bib hanya mengusik dia. Sambil itu tangannya mencapai beg kertas tertera perkataan Langkawi itu. "Nah, untuk Cik Bib kita yang cun ni." Beg kertas itu dihulurkan kepada Bib.

"Apa ni?" Mulut Bib bertanya, namun mata wanita itu langsung tidak memandang ke arah Ji'a. Sebaliknya Bib begitu asyik membelek isi di dalam beg kertas itu.

"Balasan untuk rindu Bib tu." Dia tersenyum senang melihat mata Bib yang bersinar-sinar memandang buah tangan yang dia sediakan itu.

"Thanks, Farha. Ingatkan kau lupa kat aku." Bib kembali ke meja kerjanya sambil ketawa puas. Puas hati kerana mendapat buah tangan yang dia bawa balik dari daerah yang terkenal dengan legenda Mahsuri itu.

"Sama-sama kasih, Cik Bib. Saya rasakan rugi Bib masuk bidang Farmasi ni. Sepatutnya Bib jadi pelakon. Boleh menangis Si Fasha tu kalau tengok Bib berlakon."

"Hahaha. Tak kelakar, okey." Bib buat-buat ketawa.

"Mana Kak Mim? Tak sampai lagi ke?" Dia bertanya setelah melihat bilik di hadapannya masih bergelap.

"Ada tadi. Ke tandas kut." Bib masih seperti tadi. Bersuara, namun tidak memandang wajahnya walau sedikit pun.

Sedang dia dan Bib bersoal jawab, tiba-tiba satu suara garau mencelah antara perbualan mereka.

"Amboi! Anak dara dua orang ni, pagi-pagi dah bergosip!"

"Apa ni, Abang Mus! Dah la datang tak bagi salam. Lepas tu main sergah-sergah pulak." Suara Bib kedengaran agak keras, kononnya rasa marah dengan perbuatan Abang Mus, staf Unit Pengurusan Maklumat itu.

Dia mencebik ke arah Bib. Tahu pun terkejut! Itulah yang dia rasakan tadi apabila disergah Bib dengan tiba-tiba.

"Hangpa tu yang tak sedar. Rancak sangat menyembang. Abang dah bagi salam tadi." Abang Mus membela diri.

"Abang Mus nak jumpa Kak Mim ke?" Cepat-cepat dia menyampuk sebelum Bib dan Abang Mus makin jauh melalutnya.

"Iyalah. Mana Kak Mim hangpa?"

1,2,3... Bintang di LangitWhere stories live. Discover now