Bab 3

305 12 0
                                    

Tahun 1996 - Awal remaja

"WOI! Hangpa nampak tak betapa handsomenya aku hari ni?" tanya Malik dengan bangganya kepada mereka berempat.

Dia, Ahmad Farhan, Noin dan Muhd Helmiey hanya membalas dengan cebikan. Malas nak layan. Malik ni kalau dilayan, perasannya boleh cecah tahap tinggi Gunung Jerai. Mentang-mentanglah baru nak merasa pakai uniform sekolah menengah, dia punya megah... huh! Mengalahkan orang pakai uniform pilot.

Pilot. Itu cita-cita Malik yang sering dicanangkan kepada mereka.

Tiba di perkarangan dewan besar, masing-masing mula melangkah laju. Tidak mahu terlambat pada hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah baharu.

Dia segera mengambil tempat duduk. Tidak terlalu depan sangat. Mereka duduk di barisan ketiga. Dia duduk di hujung bersebelahan laluan.

Baru hendak duduk, dia disuruh mengubah tempat.

"Ji'a duduk di sana. Paan malaslah nak duduk dekat dengan Malik."

Rungutan Ahmad Farhan itu buat dia tarik muka empat belas.

"Please..." rayu Ahmad Farhan dengan wajah kasihan.

Dia mengalah juga. Tempat duduknya diberikan kepada Ahmad Farhan. Dia pula duduk di sebelah Ahmad Farhan. Noin di sebelah kanannya. Diikuti Muhd. Helmiey dan Malik.

Paan dan Malik memang langsung tak boleh dekat. Sejak dulu lagi. Malik yang kuat mengusik. Dan Paan anak manja umi. Dia menggeleng apabila mengingatkan hal pagi tadi sewaktu mahu ke sekolah.

"Hei, Paan!!!" Malik melaung kuat dari jauh, membuatkan dia yang ketika itu sedang memakai kasut di tangga turut berpaling. Ahmad Farhan pula sedang menunggu di atas basikal.

"Siap hang, Paan! Aku nak pijak kasut hang. Ooo... petang kelmarin hang pijak kasut aku time kita main bola naa. Siap hang!"

Sebaik mendengar kata-kata Malik itu, Ahmad Farhan tak tunggu lama. Kelam kabut mengayuh basikal, meninggalkan dia sendirian di atas tangga. Ji'a mengeluh sendiri. Masing-masing dah besar panjang pun perangai masih lagi macam budak-budak tadika. Hatinya mengutuk perlakuan kedua-dua sahabatnya itu.

"Ji'a!"

Suara Ahmad Farhan mematikan lamunannya. Dia berpaling, memandang wajah Ahmad Farhan. Tetapi Ahmad Farhan pula sebaliknya. Sahabatnya itu sedang sibuk menyelongkar beg sekolah, seperti sedang mencari sesuatu. "Paan cari apa tu?"

"Paan rasa, borang buku teks tertinggal la." Ujar Ahmad Farhan resah. Wajah itu jelas panik. Kepala digaru-garu berkali-kali menyebabkan rambut Ahmad Farhan yang disikat rapi itu menjadi kusut.

"Paan nih!" dia merungut dengan sikap lalai Ahmad Farhan itu.

"Alah... macam mana ni, Ji'a?"

Wajah pucat Ahmad Farhan itu berjaya membuat tawanya meletus. Tawa yang perlahan. Namun cukup untuk buat Ahmad Farhan memandangnya dengan muka yang pelik.

Tak tunggu lama, dia terus keluarkan sekeping kertas bersaiz A4 dan ditunjukkan ke hadapan Ahmad Farhan. "Taraaa!" Kertas A4 itu dilayangkan di muka Ahmad Farhan, membuatkan mata sahabatnya itu tak berhenti berkelip.

"Macam mana borang tu boleh ada dengan Ji'a?" soal Ahmad Farhan padanya.

"Makcik Imah bagi. Paan tertinggal atas meja waktu sarapan pagi tadi. Eee... Paan ni kan memang selalu macam tu. Loklaq. Mujurlah Ji'a dengar Makcik Imah panggil tau." Matanya dijegilkan kepada Ahmad Farhan.

1,2,3... Bintang di LangitWhere stories live. Discover now