Bab 7

233 13 0
                                    

Tahun 2011, Julai - Nur Farha

PETANG ITU cuaca agak redup. Awan putih berselerak di dada langit yang membiru. Sekali-sekala langit itu dihiasi imej yang berwarna-warni. Kawasan lapang yang berdekatan sawah padi itu dipenuhi ramai orang. Rata-ratanya daripada kalangan budak-budak remaja. Angin yang bertiup juga agak kuat. Kesempatan itu digunakan oleh mereka untuk bermain layang-layang.

Dia tersenyum sendiri. Seronoknya jadi macam budak-budak ni. Hatinya berdetik saat memandang mereka.

Dia yang ketika itu duduk di pelantar belakang basikal begitu leka melihat aksi kejar-mengejar di padang. Tiba-tiba kedua-dua lututnya disentuh oleh seorang kanak-kanak lelaki. Dia memandang ke wajah itu. Lalu senyuman dihulurkan. "Iya, sayang. Dah penat main?" Matanya masih melekat di wajah kanak-kanak lelaki itu.

Pertanyaan dia dijawab dengan gelengan. Kanak-kanak lelaki tadi kemudiannya bersandar pada kedua-dua kaki dia, menjadikan kakinya umpama dinding.

"Letih ya? Nak air tak?" Kanak-kanak lelaki itu berpaling sambil menganggukkan kepalanya.

Dia mencapai botol air yang berada di dalam bakul hadapan basikalnya. Penutup botol itu dibuka lalu dia hulurkan kepada kanak-kanak lelaki itu.

Setelah puas meneguk, kanak-kanak lelaki itu memulangkan semula botol kepadanya.

"Sayang. Jom balik. Dah petang ni. Nanti ayah marah kita pulak." Katanya sambil tersenyum manis.

Kanak-kanak lelaki itu mendepakan kedua-dua tangannya, meminta untuk didukung.

Dia kemudian bangun dari pelantar basikal. Diangkatnya kanak-kanak itu dan didudukkan di atas pelantar tadi.

Dia memulakan kayuhan. Perlahan sahaja. Takut jika dikayuh dengan laju boleh membahayakan pemboncengnya. Kaki budak yang berumur dua tahun kemungkinan boleh termasuk di celah ranting tayar basikal itu.

Laluan yang berbatu kecil itu menyukarkan dia untuk mengayuh dengan baik. Ditambah dengan beban di belakang memungkinkan pergerakan menjadi lambat dan kayuhan menjadi berat.

Sewaktu dia meniti batas sawah padi itu, tayar basikalnya bagaikan tergelek sesuatu yang keras dan tajam. Mereka hampir-hampir terjatuh ke dalam petak sawah padi yang berisi air itu. Mujur kakinya sempat mendarat di tanah.

Dia memandang tepat ke wajah pemboncengnya. Wajah itu nyata terkejut. Tapi hanya seketika sebelum wajah itu menghamburkan tawanya.

"Eee! Suka pulak budak kecik ni." Dia berpura-pura marah. "Mair sukalah kalau kita jatuh dalam bendang tadi?" Dia menjegilkan matanya.

Namun kanak-kanak lelaki itu hanya ketawa dan terus ketawa.

Keluhan dilepaskan. Haish! Macam pancit je tayar ni. Dia memerhati tayar itu. Kempis. Benar telahannya. Tayar belakang basikalnya bocor akibat tergelek dengan batu tadi. "Mair. Tayar gerek kita pancitlah." Wajah sayu dipamerkan.

Namun kanak-kanak lelaki yang bernama Umair itu langsung tidak peduli. Yalah... budak-budak, apalah yang dia tahu tentang masalah. Main sahaja yang ada dalam kepalanya.

Melihat basikal itu masih boleh digerakkan, dia nekad untuk menolak sahaja. Umair dipindahkan di bahagian bakul hadapan. Dengan keadaan tayar yang bocor, agak terbeban jika Umair masih lagi membonceng di belakang.

"Mair, duk diam-diam tau." Pesan dia kepada Umair.

Mujur petang itu cuaca agak redup. Ditambah dengan angin yang bertiup lembut, keadaan itu agak mendamaikan. Jika tiada angin, mahu dia lencun bermandikan peluh.

1,2,3... Bintang di LangitWhere stories live. Discover now