Tahun 2000 - Tun Teja vs Anak Sarjan
"FARHA!"
Pantas dia menoleh. Wajah Amri, budak yang satu persatuan dengannya itu tercungap-cungap menahan nafas.
"Weh! Penat aku cari hang tau. Satu sekolah aku pusing. Alih-alih hang duk kat sini." Ujar Amri.
"Cari saya? Kenapa?"
"Cikgu Hakim cari. Ada lembing hilang!"
"Hah! Macam mana boleh hilang? Bukan semuanya dah simpan dalam stor ke?" Reben yang dipegang di tangan dicampakkan kembali ke dalam kotak. Dia berada di situ kerana sedang menghias gerai jualan bersama rakan sekelasnya.
"Sue." Dia memanggil salah seorang daripada rakan sekelasnya.
Seorang gadis berkulit cerah menoleh ke arah dia.
"Saya nak pergi jumpa Cikgu Hakim. Nanti Sue gantikan saya buatkan reben ni ya?"
Gadis itu senyum sambil menganggukkan kepala.
Lima minit kemudian, dia dan Amri sudah berada di hadapan Cikgu Hakim.
"Cikgu, Amri cakap lembing kita hilang, betul ke?" soalnya.
"Betul. Kelmarin saya ada keluarkan kesemua lembing tu. Saya letak di meja. Tapi pagi ni saya datang, tengok dua dah hilang." Cikgu Hakim merungut.
"Macam nilah, cikgu... saya cuba minta mereka buatkan semula." Mereka yang dimaksudkan oleh dia ialah ahli Kelab Pendidikan Seni. "Rasanya masih sempat lagi. Persembahan akan mula sesi petang nanti, lepas majlis penyampaian anugerah pelajar tu." Dia meyakinkan Cikgu Hakim.
SEJAK DIA terpilih untuk mengendalikan persembahan teater Pahlawan Melayu Kita, hari-hari yang dilaluinya begitu memeningkan kepala. Teater yang menggabungkan hampir kesemua kelab dan persatuan di sekolah itu menuntut kesabaran yang tinggi.
Dia yang merupakan pengerusi untuk Persatuan Bahasa Melayu terpaksa turut serta dalam persembahan itu. Kalau diikutkan, dia sepatutnya sudah tidak terlibat lagi dalam aktiviti seperti ini, kerana rata-rata pelajar tingkatan lima telah diberi pelepasan untuk tidak turut serta dalam mana-mana aktiviti kokurikulum.
Tak cukup bertindak sebagai ketua teater, dia juga terpaksa menjadi pelakon akibat kekurangan pelajar perempuan yang terlibat. Dia memegang watak Tun Teja. Dia sendiri tak yakin untuk membawa watak tersebut. Gila! Ni semua kerja gila. Tetapi apabila memikirkan keyakinan Cikgu Hakim padanya, dia mengalah.
Teringat akan perbualan dia dengan Ahmad Farhan di telefon lewat minggu lepas. Masih terngiang-ngiang tawa Ahmad Farhan kepadanya. Mujur di telefon. Jika tidak, sudah lama sahabat itu dia siku.
"Teater?"
Suara nyaring Ahmad Farhan waktu itu buat dia menjauhkan sedikit gagang daripada telinga. Boleh pekak jadinya.
"Jadi Tun Teja? Boleh ke?" Suara ketawa Ahmad Farhan menjadi semakin galak.
"Diamlah, Paan! Menyesal pula Ji'a cerita." Giginya diketap kuat. Dia menahan geram. Rasa nak lilit saja wayar telefon yang berwarna oren itu ke tengkuk Ahmad Farhan.
"Sorrylah, Ji'a. Paan tak dapat nak tahan. Lawak sangat ni. Mengalahkan cerita Senario." Ahmad Farhan bantai gelakkan dia lagi.
"Eee... letak telefonlah kalau macam ni!" marahnya pada Ahmad Farhan. Wayar di tangan sudah berpintal-pintal dia pusing. Geram punya fasal.
"Tu dia. Tun Teja dah murka." Ahmad Farhan masih belum mahu berhenti daripada menggiatnya.
"Ji'a letak betul ni!" ugutnya.

ANDA SEDANG MEMBACA
1,2,3... Bintang di Langit
Lãng mạnNovel ini telah pun diterbitkan pada Mac 2014 di bawah label Jemari Seni Publishing. http://www.jemariseni.com/js-novel/470-novel-umum-mac-2014-1-2-3-bintang-di-langit-bidayatul-h.html ooo Dia pernah ditanya oleh seseorang, mengapa dihitung bintang...