Bab 2

2.4K 53 0
                                    

ADIL sampai di hadapan pintu pagar rumah lalu berhentikan motosikal. Dia turun dan buka pagar. Selepas itu barulah dia bawa motosikal ke dalam.

Tak sempat Adil nak buka helmet, Sofia, kakak iparnya yang baru mengandung beberapa bulan sudah tercegat di depan pintu.

Wajah Sofia masam. Sebenarnya Sofia bukan tidak suka dengan Adil, tapi sikap Adil buat dia bengang selalu. Tambahan pula suaminya suka benar lebihkan Si Adil. Lagi tambah lemaklah.

Langsung tak boleh nak ditegur. Tapi kali ini Adil memang benar-benar mengundang kemarahan Sofia.

"Kak..." sapa Adil ramah.

Mahu mengambil hati. Maklumlah, dia kan menumpang rumah abangnya. Kenalah jaga hati kakak ipar walaupun Adil tahu, Sofia langsung tak sukakan Adil sejak mula lagi. Adil tahu tu, bukan Adil tak tahu. Sudah beberapa kali Adil nak tinggal di rumah sewa bersama kawan-kawan bujang lain, tapi Zain, satu-satunya abang Adil langsung tak pernah benarkan. Demi menjaga hati Zain yang telah menjaga Adil sejak kematian ibu bapa mereka, terpaksalah Adil tinggal di situ. Terpaksa jugalah dia hadap kebencian Sofia setiap hari. Mengenangkan kasih seorang abang, Adil sanggup bertahan. Kalau tidak, dah lama dia blah.

"Adil tak tutup pintu, kan?"

Sofia berusaha untuk mengawal suaranya. Ibu mengandung tidak elok kalau marah-marah.

Memang dia berusaha untuk bersabar. Perangai Adil semakin menjadi-jadi. Selamba saja keluar rumah tak kunci pintu pagar. Mujur tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

"Ya ke?"

Adil kerut dahi. Cuba ingat semula, dia tutup ke tidak pintu pagar sebelum keluar rumah tadi. Sekilas dia menjeling Sofia yang jelas-jelas mempamerkan wajah marah dan penuh kebencian. Habislah Adil!

"Tutup kut." Adil jawab separuh tidak yakin.

Dia betul-betul tak ingat dia tutup ke tidak. Ah! Sah kena bebel lagi ni. Melihatkan muka Sofia begitu, sah-sahlah ada yang tidak kena. Tadahlah, Adil. Kau yang salah!

"Kut?" soal Sofia dengan nada suara menyindir. Masih berusaha mengawal perasaan.

Ikutkan hati memang dia tempik Adil di situ juga. Memang sudah hilang rasa kasihannya. Fikir Adil itu adik kesayangan suaminya saja. Kalau tidak, Sofia tak tahulah apa yang akan dia lakukan terhadap Adil. Umur sudah masuk 25 tahun, tapi perangai mengalahkan budak sekolah menengah. Rasanya budak sekolah lagi matang berbanding Adil.

"Kejap, nak ingat balik. Tutup rasanya. Lupa kunci. Kut." Adil sengih sambil garu kepala. Kenapalah dia boleh cuai sangat?

Sudah berusaha sebaik mungkin untuk tidak timbulkan sebarang masalah. Masih juga buat Sofia naik angin. Apalah kau ni, Adil. Benda semudah itu pun tak boleh nak buat dengan baik.

Geramnya Sofia melihatkan reaksi selamba Adil. Nampak sangat tak bertanggungjawab.

Kalau adik kandung Sofia, dah lama Sofia halau. Tapi nak diapakan lagi. Adil tu adik kesayangan suaminya. Jangan kata nak tempik, nak tegur pun kena berhati-hati. Sofia pun tidak tahu sampai bila dia boleh bertahan.

"Adil tak tutup pintu, tak tutup gate, tak kunci pintu ni. Adil ni dah kenapa? Kalau rumah masuk pencuri, masuk perompak, macam mana?" Sofia mula berleter.

"Ya?" Adil sudah tidak tentu arah.

Memang betul pun. Kecuaian Adil itu bakal mengundang bala. Tadi baru dia marahkan gadis tu sebab cuai, tapi sebenarnya Adil lebih cuai lagi.

"Ya?" Sofia ulang ayat Adil bersama rasa yang benar-benar marah.

Nak saja Sofia ayun pelempang sekali bagi sedar. Kalau tak buat macam tu, sampai bila-bila pun tak akan sedar.

Tercipta UntukkuWhere stories live. Discover now