Bab 3

1.9K 44 0
                                    

JAM sudah menunjukkan pukul dua setengah petang. Thia baru saja selesai solat zuhur. Selepas lipat telekung dia tengok tapak tangannya yang melecet bekas kena ragut tadi. Pedih juga apabila terkena air.

Dan-dan dia teringatkan Adil. Luka yang Adil alami pun teruk juga.

Bagaimanalah keadaan dia sekarang? Mungkin sedang menahan kesakitan. Bukan Thia tak bersimpati, tapi disebabkan sikap Adil yang terlebih ajar tu buat Thia rasa geram pula.

Lantaklah. Buat apa nak ingat-ingat? Entah siapa-siapa.

Thia keluarkan bekas plastik berisi peralatan jahit. Dia mahu menjahit tali beg tangannya yang putus. Masih boleh digunakan lagi. Sayang kalau dibuang begitu saja. Masa menjahit, kepalanya terasa sakit. Berkerut-kerut dahinya nak tumpukan perhatian kepada jahitan. Kerap pula sakit kepala menyerang.

Nak kata ada darah tinggi, Thia jarang pula makan ikan masin. Budu pula ada sekali-sekala. Takkan pasal makan budu?

Dah berkurun orang makan budu, tak ada masalah pun. Tapi sekarang kerap pula dia sakit kepala. Kadang-kadang seminggu dua tiga kali dia sakit kepala.

Selepas jahit tali beg, Thia gam pula tumit kasutnya yang tercabut. Kasut tu pun masih boleh dipakai lagi. Buat apa nak beli baru kalau masih boleh digunakan? Bukankah dia perlu berjimat cermat?

Selepas itu dia keluarkan pula lukisan-lukisan milik pelajarnya. Tekun dia memeriksa walaupun sekadar lukisan kanak-kanak. Sambil itu dia tersenyum.

Nampak comel saja semua lukisan. Dia buat ikon senyum di setiap kertas yang dia selesai periksa.

Waktu itu dia sedang menahan rasa sakit kepala yang amat sangat.

Akhirnya terpaksalah Thia mengaku yang dia sudah tidak mampu untuk menahan rasa sakit. Dia segera ke meja makan. Tuang air panas di dalam muk untuk sediakan air teh. Di tangannya ada dua biji Paracetamol.

Dia picit kepalanya dan selepas itu dia telan ubat. Harap akan lega nanti.

Telefon bimbit galak berbunyi. Cepat saja Thia jawab. Sambil tu wajahnya berkerut juga menahan rasa sakit kepala.

"Assalamualaikum."

Thia beri salam dengan suara orang yang sedang menahan kesakitan.

"Waalaikumussalam. Fathia ke?"

Suara di hujung talian bertanya.

"Ya. Siapa ni?" soal Thia.

Rasanya dia tidak mengenali siapa si pemanggil.

"Abang Lan. Abang nak ambil kelas mengaji."

"Ya-ya. Untuk anak Encik Lan ke?"

"Bila boleh jumpa?"

"Rumah encik dekat mana?" Thia menyoal pula tanpa syak apa-apa.

"Fathia datang sini ke abang pergi sana?"

"Saya boleh pergi sana. Cuma nak tau dekat kawasan mana. Anak encik perempuan ke lelaki? Umur berapa?"

"Hantar selfie dulu satu."

"Huh?" Terkejut Thia mendengar kata-kata lelaki di hujung talian. Serupa orang gatal pun ya.

"Ala, belanjalah satu selfie. Nak tengok sikit."

"Hei, awak jangan main-main dengan saya. Kalau nak belajar mengaji, buat cara belajar nak mengaji. Jangan nak main-main pula!" marah Thia.

"Eh, eh. Garangnya. Tapi abang suka."

Tercipta UntukkuWhere stories live. Discover now