ADIL tengah duduk menghadap komputer riba. Tapi dia tak buat kerja pun. Sekadar pandang skrin dengan pandangan kosong.
Sesekali dia tersenyum. Bukan apa, masih teringat lagi peristiwa siang tadi.
Selamba saja minah tadi rampas kacang Adil. Senget ke apa perempuan tu? Siap sumpah lagi. Aduhai, lawak sungguh.
Memang mulanya Adil rasa marah, tapi akhirnya Adil rasa kelakar pula. Malanglah siapa yang dapat perempuan tu. Sudahlah garang, tak 'cukup' pula. Memang malang!
Sambil tersenyum, Adil ambil surat rujukan yang diberikan doktor kepadanya.
Kemudian dia kembali serius apabila menatap isi surat tersebut. Di dalam surat rujukan tercatit simptom yang Adil beritahu doktor. Dahinya berkerut. Kenapa pula kena buat pemeriksaan lanjut? Sakit kepala saja pun.
Sedang dia leka menatap surat tersebut, Zain muncul tiba-tiba. Zain baru saja selesai solat maghrib.
"Dil? Kau pergi mana hari ni?" soal Zain.
Adil terkejut. Dia cepat-cepat keronyok surat doktor dan sumbat ke dalam plastik berisi ubat.
Tidak mahu Zain tanya lebih-lebih. Dia malas nak jawab. Tambah sakit kepala saja nanti.
Kadang-kadang bosan juga dia apabila Zain terlalu sangat mengambil tahu tentang dirinya.
Sentiasa hendak tahu aktiviti Adil. Apa Adil buat, Adil pergi mana, Adil berkawan dengan siapa. Sehinggakan Adil tiada ruang privasi sendiri.
"Pergi klinik sekejap. Sakit kepala," terang Adil. Matanya menjeling Zain. Kali ini apa pula yang hendak diadukan?
"Doktor cakap apa?" soal Zain lagi.
"Tak ada apa..." Adil campak semua ubat ke dalam bakul sampah.
"La, tu aje dia cakap? Apa punya doktor macam tu?" Zain membebel.
Serupa tidak puas hati saja. Bagi Adil, itu perkara biasa. Zain memang begitu. Selalu sangat tidak puas hati.
Macam manalah Sofia boleh tahan dengan Zain. Tapi Adil tahu, kakak iparnya itu memang seorang yang sangat sabar. Sabar kerana mempunyai suami seperti Zain dan adik ipar seperti Adil. Kalau perempuan lain rasanya Zain dah lama kena tinggal.
"Tak adalah. Dia cakap tak cukup tidur. Lama sangat duduk menghadap komputer." Adil cuba memberi alasan.
Tidak mahu Zain bertanya lebih-lebih. Satu hal pula nak karang jawapan. Zain bukan boleh kalau Adil beri jawapan yang mencurigakan. Makin dikorek nanti.
"Dah tau, duduk lagi depan laptop tu. Cubalah bawa tengok-tengok kat luar. Ini tidak, asyik terperap di dalam bilik saja. Abang nak berbual dengan kau pun sampai kena masuk bilik kau. Apa kau tak bosan ke Dil, terperuk kat dalam bilik?" Zain mula membebel seperti selalu.
"Ada kerja sikit lagi ni nak kena touch up. Nak kena siapkan juga untuk dia orang buat presentation."
"Kau buat apa?" Zain tunjuk minat.
"Novel grafik."
"Novel grafik, eh? Zaman aku dulu panggil komik aje."
Adil ketawa perlahan. "Kalau benda ni berjalan dengan lancar, orang bolehlah bagi duit sikit."
"Tak payahlah, Dil. Kalau kau dapat, duit tu simpan untuk kau aje. Fikir sama masa depan kau. Kau tak terfikir ke nak kahwin? Abang dulu masa sebaya dengan kau dah dua tiga orang girlfriend." Zain ketawa perlahan.
YOU ARE READING
Tercipta Untukku
General Fiction(Adaptasi Daripada Filem terbitan Astro) Tajuk: Tercipta Untukku Penulis: Marissa Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-64-7 Harga: RM25 (Semenanjung) // RM28 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2015 Tiga kali mereka dipertemukan dengan cara yang...