ZAIN membantu Sofia membasuh pinggan. Dia memang perasan wajah Sofia masam sejak dia pulang tadi.
Masa makan malam tadi, masam Sofia semakin menjadi-jadi. Zain faham benar akan sikap Sofia.
Sejak berbadan dua, mood Sofia sering saja kurang baik. Mudah sangat naik angin. Sebab itulah Zain ikutkan saja apa kata Sofia.
Tapi selalunya memang Adil punca Sofia jadi begitu. Zain tahu tentang tu. Sejak mula lagi memang Sofia tidak senang dengan kehadiran Adil dalam kehidupan mereka.
Walaupun Zain tahu Sofia selalu makan hati dengan sikap Adil, namun sehingga sekarang Sofia tetap bersabar.
"Abang..." Sofia merengek manja.
Zain sudah agak. Pasti ada perkara yang hendak Sofia adukan. Berada dalam situasi tengah-tengah, Zain perlu bijak menangani setiap permasalahan yang timbul. Dia harus bijak.
Umpama menarik rambut di dalam tepung. Tepung jangan sampai berselerak dan rambut jangan sampai putus. Dua-dua juga sangat penting dalam hidup Zain.
"Hurm..." kata Zain.
Gelas yang sudah dicuci, dia letak di atas rak.
"Malaslah nak cerita. Nanti abang cakap Fia mengadu pula."
Sofia yang berdiri bersebelahan Zain hanya perhatikan suaminya.
"Cakaplah. Selama ni pun memang abang ni macam kaunter pengaduan, kan?" Zain jeling manja.
Dia sudah agak, tak lama mana Sofia akan simpan perasaan.
Sekarang ini pun dia rasa Sofia memang sudah tidak sabar-sabar hendak mengadu.
"Nanti abang cakap apa pula. Tak habis-habis nak mengadu pasal adik abang tu..."
Sofia masih teragak-agak sebenarnya hendak bercerita. Dia sendiri sudah dapat agak bagaimana reaksi Zain setiap kali Sofia mengadu perihal adik kesayangan suaminya itu.
Zain tetap masuk sebelah Adil. Sofia sendiri tidak tahu kenapa Zain begitu sayangkan adiknya itu. Selama ini Sofia memang gagal untuk menghasut Zain apatah lagi meracuni fikiran suaminya. Zain memang sangat kebal.
"Cakaplah. Abang dengar ni..."
Zain cuba sedapkan hati Sofia walaupun sebenarnya dia sangat bosan mendengar cerita tentang Adil. Ada saja yang tidak kena. Zain juga tahu, Sofia sentiasa berusaha untuk memburukkan Adil.
"Dia adik kesayangan abang, kan..."
"Ya, memang betul. Dia adik kesayangan abang. Tapi Fia juga isteri kesayangan abang. Dua-dua abang sayang. Dua-dua penting dalam hidup abang. Jadi, dua-dua pun abang kena dengar."
Zain lap tangannya di tuala yang tergantung di hadapan singki. Kemudian dia peluk bahu Sofia bagi meredakan perasaan Sofia.
Dia tahu Sofia juga memerlukan sokongannya. Zain tahu selama ini Sofia memendam rasa.
Maklumlah, sejak mula lagi memang Adil tinggal bersama mereka. Di mana lagi Adil hendak tinggal kalau tidak di situ?
Rumah itu juga rumah Adil. Rumah peninggalan orang tua mereka.
Sejak ibu bapa mereka meninggal kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya hampir 10 tahun lalu, memang Adil sudah menjadi tanggungjawab Zain. Mujur juga waktu itu Zain sudah tamat belajar dan bekerja.
Semenjak itulah tumpuan dan kasih sayang terhadap Adil memang tidak berbelah bagi. Apatah lagi Adil sangat mendengar kata-katanya.
Sofia tarik muka masam. Mahu menarik perhatian Zain.
YOU ARE READING
Tercipta Untukku
General Fiction(Adaptasi Daripada Filem terbitan Astro) Tajuk: Tercipta Untukku Penulis: Marissa Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-64-7 Harga: RM25 (Semenanjung) // RM28 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2015 Tiga kali mereka dipertemukan dengan cara yang...