THIA begitu gembira bermain Teng-teng dengan anak-anak muridnya.
Dia melompat mengikut nombor-nombor yang terlukis di atas lantai.
Kanak-kanak lain beratur dan ikut aksi Thia dari belakang. Mereka semua ketawa dan nampak sungguh gembira ketika bermain.
Ah! Kalaulah Thia juga boleh kembali pada zaman kanak-kanak. Pasti tiada apa yang merunsingkan kepalanya.
Thia rasa loya dengan tiba-tiba.
Dia sendiri tidak tahu kenapa kerap benar dia rasa loya sekarang ini. Sedangkan sebelum ini memang jarang dia rasa begitu.
Thia berhenti di tepi dinding dan berusaha untuk mengawal keadaan dirinya.
Dalam keadaan begitu, Thia rasakan ada tangan kecil yang tarik hujung baju kurung Thia.
Alif rupa-rupanya. Thia cuba senyum.
Thia sedar, Alif antara anak murid yang sangat mengambil berat tentang dirinya. Thia sentiasa berada di dalam perhatian Alif.
Sedikit tidak, Thia rasa juga kasih sayang daripada seorang anak muridnya.
"Teacher Thia sakit ke?"
Soalan Alif membuatkan senyuman Thia semakin lebar.
Sejuk hatinya apabila ada yang mahu mengambil berat tentang dirinya.
Walaupun soalan itu datangnya daripada kanak-kanak yang baru berusia lima tahun, namun Thia sangat berbesar hati.
"Tak..." balas Thia perlahan.
Wajah comel Alif dia tatap. Anak siapalah Si Alif ini? Sangat comel.
Bukan comel saja, bahkan sangat bijak. Pasti orang di sekeliling Alif amat menyayanginya.
"Betul?" Alif seolah-olah tidak percaya.
Dia nampak Thia memang tidak sihat memandangkan muka Thia sedikit pucat.
"Teacher Thia okey..." Thia cuba meyakinkan Alif yang nampak masih kurang percaya. Dia tahu Alif memang bersikap begitu. Sangat mengambil berat.
"Kalau sakit, Alif suruh mama bawa teacher pergi klinik. Sebab mama selalu pergi klinik."
Bersungguh pula Alif mahu membantu.
"Okey, kalau teacher sakit, teacher cakap dekat Alif, boleh?" Alasan untuk tidak melayan Alif.
"Okey. Alif boleh pegang tangan teacher masa doktor cek. Alif selalu pegang tangan mama."
Bertuahnya siapa memiliki anak seperti Alif. Baru Thia teringat akan ibu Alif yang sedang berbadan dua.
Mungkin Alif selalu mengikut ibunya ke klinik menyebabkan Alif tahu keadaan di klinik bagaimana.
"Teacher tunggu Alif la jadi doktor," balas Thia sambil bibirnya tak lekang dengan senyuman.
"Okey. Alif nak jadi doktor."
"Kalau Alif nak jadi doktor, Alif kena belajar bersungguh-sungguh. Bukan senang tau nak jadi doktor. Kena jadi pandai baru boleh jadi doktor."
Thia tolak rambut Alif. Peluh di dahi juga dia sapu perlahan.
Kepada siapa lagi dia hendak menumpang sayang kalau tidak dengan anak-anak muridnya?
Sekurang-kurangnya dapat juga dia membuang rasa rindu terhadap Aiman dan Nurbaya, anak saudaranya yang kini berada di Kelantan.
YOU ARE READING
Tercipta Untukku
General Fiction(Adaptasi Daripada Filem terbitan Astro) Tajuk: Tercipta Untukku Penulis: Marissa Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-64-7 Harga: RM25 (Semenanjung) // RM28 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2015 Tiga kali mereka dipertemukan dengan cara yang...