KALI ini Thia akur juga dengan arahan doktor.
Kerana sudah tidak tertahan dengan sakit kepala yang selalu menyerangnya, Thia pergi juga ke hospital untuk mendapat pemeriksaan seterusnya. Namun dia terpaksa melalui beberapa proses saringan yang lazim dilakukan oleh pesakit lain.
Thia juga tidak terkecuali untuk melalui proses tersebut.
Walaupun Thia agak keberatan, namun dia terpaksa juga lakukannya. Sampai bila dia hanya bergantung dengan Panadol dan ubat penahan sakit?
Sakit kepala yang dia tanggung itu bukan saja menyakitkan bahkan menjejaskan sama tugasan sehariannya.
Itu alasan paling kuat kenapa dia perlu segera untuk mendapatkan rawatan.
Mujur tuan punya tadika seorang yang bertimbang rasa. Tapi Thia kena fikir sama, tak selamanya orang akan bertimbang rasa.
Thia harus mengambil langkah untuk mengatasi masalah tersebut walaupun dia memang tidak suka dengan apa yang dia lakukan.
Sementara itu, Adil juga berada di dalam hospital yang sama. Dia juga lakukan ujian saringan seperti Thia. Masa Thia hendak keluar dari bilik MRI, Adil baru saja hendak buat proses MRI.
Selepas menjalani proses MRI, Thia diarahkan menunggu di kaunter untuk tindakan selanjutnya.
Sebenarnya Thia menunggu untuk dapatkan kepastian mengenai janji temu seterusnya.
Daripada janji temu tersebut, dia bakal mendapat keputusan ujian yang baru dia jalani sebentar tadi.
"Datang balik dua puluh lapan hari bulan. Pukul sembilan pagi," kata jururawat yang bertugas kepada Thia.
"Terima kasih," balas Thia perlahan.
Perasaan cemas Thia yang terpaksa melalui proses MRI, masih belum berkurang.
Dia tetap berdebar. Macam-macam yang Thia fikirkan.
Kalau sudah terpaksa melalui proses begitu, pasti ada masalah besar. Tapi Thia cuba yakinkan dirinya, tak ada apa-apa yang berlaku. Dia hanya sakit kepala. Takkan ada penyakit serius.
Jururawat hulurkan kad janji temu kepada Thia lantas Thia bergerak tinggalkan kaunter. Kemudian Adil pula ambil kad janji temu.
Adil lihat janji temunya tertulis 28 hari bulan pada jam sembilan setengah pagi.
"Macam-macam betullah..."
Adil merungut sendiri. Satu hal pula nak datang hospital.
Sudahlah dia memang tak suka dengan bau hospital. Meloyakan. Tiba-tiba saja Adil rasa loya namun dia tahan saja.
Sekilas, Adil seperti terpandang susuk tubuh seseorang yang pernah dia kenal.
Dia pandang saja langkah Thia yang sangat perlahan. Yalah, Adil kenal sangat dengan beg tangan yang sedang tergantung di bahu kiri Thia.
Apa minah ni buat kat sini? Sakit juga ke dia? Sakit apa? Sakit hati kut! Mungkinlah. Muka garang macam tu memang selalu sakit hati.
Adil terus melangkah menuju ke tempat motosikal. Waktu itu kepala Adil sudah berdenyut kembali.
"Kepala ni pun satu. Kalau tak sakit memang tak sah!" Adil merungut sendiri. Kemudian dia terus tunggang motosikal tinggalkan pekarangan hospital dengan kepala yang sakit.
Adil sengaja lalu di depan Thia. Pura-pura nak langgar Thia.
"Hoi!" marah Thia.
Kurang ajar betul.
YOU ARE READING
Tercipta Untukku
General Fiction(Adaptasi Daripada Filem terbitan Astro) Tajuk: Tercipta Untukku Penulis: Marissa Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-64-7 Harga: RM25 (Semenanjung) // RM28 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2015 Tiga kali mereka dipertemukan dengan cara yang...