APOKALIPS

465 19 11
                                    

Natrah menyemak bekalan makanan di dapur. Masih banyak. Tetapi mungkin hanya akan bertahan selama beberapa bulan. Nampaknya dia kena pecah masuk rumah orang untuk mencuri makanan. Ibunya pernah berpesan, jangan makan makanan yang dicuri, haram. Seeloknya minta izin dengan tuan empunya makanan.

Tetapi kepada siapa dia mahu minta izin? Dunia pasca apokalips ini meninggalkan dia satu-satunya manusia di muka bumi ini. Mungkin. Beberapa bulan sebelum tu, dunia digemparkan dengan satu wabak infeksi virus yang merubah manusia menjadi zombi. Nasib terlalu baik baginya, dia hanya berkurung di rumah semasa wabak itu merebak tanpa menyedari kehadiran wabak itu.

Bila difikirkan balik, nasib baik ke? Kadang-kadang Natrah terfikir mungkin ini adalah karma baginya. Dahulu, sebelum wujudnya wabak ini, Natrah seorang manusia yang antisosial. Tidak suka bergaul, berborak, egosentrik dan suka menyendiri. Bukan dia tidak pernah didekati orang, dengan berbekalkan wajah persis Cristina Suzanne, siapa je yang tak pernah cuba bergaul dengan dia. Dan sekarang, dia berasa terlalu kesunyian sehingga kadangkala dia bercakap sendirian.

Senja itu juga dia keluar berburu mencari makanan. Makanan dalam tin menjadi keutamaan. Keadaan sekitar kucar-kacir. Dengan kereta terbalik, terbiar ditinggalkan pemandu, ada yang hanya tinggal rangka dek hangus dimamah api. Rumah? Jangan cakap. Kebanyakannya dalam keadaan tidak sempurna. Tingkap pecah, pintu berlubang, kesan darah melekat di dinding dan seperti biasa pasti ada yang sudah hangus.

Setakat ini rumah-rumah berdekatan sudah dicerobohinya untuk mencuri makanan. Dia terpaksa berjalan lebih jauh. Kalau diikutkan mahu sahaja dia memandu tetapi dia menyimpan minyak petrol yang berbaki untuk waktu kecemasan kelak. Entah kenapa sejak beberapa minggu yang lalu, tiada satu bayang zombi pun kelihatan namun sebagai langkah berjaga-jaga, dia sentiasa membawa kayu besbol bersama.

Rumah nombor lapan puluh enam. Pagarnya berkuncilah pulak. Memandangkan dia sudah biasa dengan situasi ini, dia panjat sahaja pagar itu. Ibunya pernah pesan, orang perempuan tak elok panjat-memanjat, tak manis dipandang orang. Disebabkan dah tiada orang, dia pun panjat.

Pintu diketuk. Memang itulah rutin sebelum memecah masuk rumah orang. Dan seperti biasa, sebagai seorang anak yang taat, dia pun memberi salam kerana ibunya pernah berpesan, sebelum masuk rumah orang, beri salam.

"Assalamualaikum."ucap Natrah sambil menghentak tombol pintu itu supaya tertanggal untuk membenarkan dia masuk ke dalam.

"Waalaikumusalam."

Natrah tersentak.

URBANWhere stories live. Discover now