Diinspirasikan dari kisah benar...
Kilat sabung-menyabung. Bunyi dentuman kedengaran di langit nan mendung. Titisan hujan jatuh membasahi tanah bumi kekeringan dek musim panas yang dijangka berakhir dalam masa tiga bulan. Shahir hanya duduk termenung ke luar jendela memerhatikan rintik-rintik hujan yang jatuh.
Ada dua perkara yang merisaukannya yang pertama adalah kes kematian tragis pelajar paling cemerlang di dalam kelasnya serta keputusan peperiksaannya yang semakin hari kian merosot dan tidak memberangsangkan. Kad laporan pelajar di letakkan ke dalam meja. Dia malu dengan keputusan yang diperolehi. Dia mendapat tempat yang kelima di dalam kelas. Rakan baiknya Zaini berjaya menandinginya dengan mendapat tempat yang keempat.
"ZASS!"
Satu libasan dari getah paip menyinggah pada badannya. Berbirat tubuhnya akibat dirotan ibu dan bapanya disebabkan markah keputusan peperiksaannya yang merosot.
"Budak tak guna! Tak mengenang budi! Aku macam nak mampos bekerja semata-mata nak bagi kau berjaya, macam ni kau bayar?!!"herdik ibunya Zanariah.
"Kalau macam nilah gayanya lebih baik mati je!"bapanya pula bersuara.
"ZASS!"
Satu lagi libasan mengenai tepat pada bahagian belakangnya. Shahir dapat merasakan sesuatu yang mengalir. Darah barangkali.
"Shahir!"
Satu panggilan dari gurunya membuatkannya tersentak. Guru kelasnya, Cikgu Ani hanya memerhatinya dari tadi.
"Kamu menung apa tu?"
"Err...tak ada pape cikgu."
"Hmm....kad laporan tu mak bapak kamu dah tandatangan?"
Shahir hanya membisu. Dia menggeleng perlahan.
"Esok hari terakhir kena hantar kad tu. Esok saya kena hantar pejabat. Jangan lupa suruh parents awak sign kat situ."
Shahir mengangguk faham.
"KRINGG!!!!"
Loceng berdering membingitkan telinganya. Sekarang waktu rehat. Shahir memilih untuk tidak makan, sebaliknya dia hanya duduk di sebuah pondok kecil yang terletak di hujung padang.
"Kau okey tak Shahir?"
Shahir tersentak. "Huh? Oh...okey je..."
"Macam tak okey je."soal Ainul lagi. Shahir mula pelik. Ainul bukanlah rakan baiknya malah mereka hanya bersua sekiranya mereka terlibat dalam kerja berkumpulan. Selain dari itu, tiada sebarang komunikasi diantara mereka.
"Aku okeylah. Tak pape. By the way tahniah dapat nombor dua."
"Thanks."
"Okeylah Ainul. Aku nak pergi koperasi jap."maklum Shahir sebelum berlalu pergi meninggalkan Ainul sendirian.
----
Cahaya matahari belum memancar namun Shahir sudahpun tiba di sekolah. Dia ke sekolah dengan menunggang basikal. Untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, maka dia sering keluar awal pagi. Kelas berkunci. Seperti biasa dia akan duduk sahaja di dataran perhimpunan yang diberi nama Dataran Cendikiawan.
"BUKK!"
Shahir terjatuh begitu juga Rashid yang sedang berlari dari arah yang bertentangan. Rashid menggeleta menggigil ketakutan.
"Kau kenapa ni Shid?"
"Ttuu..tuu...kat sana...ada...ad..ada mayat..."balas Rashid terketar-ketar.
YOU ARE READING
URBAN
Short StorySebuah himpunan cerpen yang berlatarbelakangkan tema urban dan kontemporari.