Bab 1

12.9K 212 5
                                    

"Masak aku hari ni!" Dahlia menyorong motor skuternya sehingga berhenti di hadapan Klinik Harmoni. Dengan helmet masih tersarung di kepala, Dahlia berlari masuk ke dalam klinik. Sempat lagi matanya mengamati beberapa pesakit yang sedang menunggu giliran. Dia yang berjalan melepasi pesakit hanya menguntumkan senyuman manis buat mereka yang sabar menanti giliran. Memang waktu pagi merupakan waktu sibuk di klinik ini. Adakalanya sehingga mereka terpaksa beratur panjang.

"Please... Please... Please..." omel Dahlia di hadapan mesin perakam waktu. Punch card di tangan dimasukkan ke dalam mesin tersebut.

Tit...

Warna merah yang tercatat di kad tersebut mampu membuatkan Dahlia mengeluh berat. Mahu dihancurkan sahaja mesin perakam waktu yang melekat di dinding itu. Tak bertimbang rasa langsung! Dia bukan sengaja mahu lambat. Semuanya gara-gara skuternya buat hal ketika menuju ke sini. Boleh pula skuternya pancit secara tiba-tiba di tepi jalan. Bukan nak bagi amaran dulu! Tak pasal-pasal dia terpaksa menyorong skuter sampai ke klinik. Sekadar lambat dua minit pun nak berkira. Takkan nak sorong skuternya sambil berlari? Boleh buasir nanti!

Kad yang sudah dikeluarkan daripada mesin diselitkan semula ke tempat asal. Dahlia keluar semula dari klinik. Dia memarkirkan skuternya ke tempat parkir kenderaan lalu mengunci skuter yang berwarna hitam itu. Takut dicuri orang pula. Kalau tak dicuri, tentu ada pesakit yang bising sebab motor itu diparkir betul-betul di hadapan laluan klinik. Susah untuk pesakit yang menghadapi kes kecemasan nanti.

"Dah macam lipas kudung akak tengok Lia hari ni. Berlari ke sana sini. Lambat bangun ke?" komen Juliana yang asyik memerhati gelagat Dahlia dari ruang kaunter klinik.

Longlai Dahlia berjalan ke kaunter. Masih penat. Penat menyorong motor menuju ke klinik. Nak harapkan mekanik, lagi lambatlah dia tiba nanti. Nak tak nak, dia laratkan juga tenaga untuk menyorong motornya itu. Dia memang takkan tinggalkan motor skuternya itu di tepi jalan. Ansuran motor masih belum habis dibayar. Kalau hilang, memang putih mata!

"Tayar motor Lia boleh pula pancit, kak Ju. Sabar ajelah. Lia sorong motor dua puluh minit. Punyalah penat. Itu yang lambat tu. Menggigil dah kaki Lia ni. Dah tak rasa apa dah... Rasa lenguh aje," rungut Dahlia. Bukan kaki sahaja terasa penat, kepala pun macam berpusing ligat. Macam nak muntah pun ada juga.

"La, tayar motor pancit? Kenapa sorong motor? Kenapa tak call abang Lia? Call akak ke... Akak boleh datang."

"Akak nak datang? Habis, kaunter klinik siapa pula nak jaga? Nanti doktor bising kalau akak keluar macam tu aje. Nak call abang Lia, dia tentu sibuk kerja."

"Alah, beritahu aje yang Lia ada masalah. Takkan dia tak faham? Lagipun Doktor Ridzwan belum masuk lagilah."

Dahlia memandang Juliana yang tekun membelek botol ubat di kaunter. "Doktor Ridzwan tak masuk lagi?"

Juliana menggeleng perlahan.

"Dah seminggu rasanya dia tak masuk klinik," ucap Dahlia sambil mengusap dagunya. Merasakan ada tali yang terikat di dagu, Dahlia mengucap besar. Helmet masih belum dibuka! Astaghfirullah... Maknanya aku keluar masuk klinik dengan helmet di kepala? Berbual dengan Juliana begitu rancak begini dengan helmet di kepala? Hebat!

"Akak! Kenapa tak cakap yang Lia tak buka helmet lagi? Malunya..." bising Dahlia. Dia menyalahkan orang lain padahal dia sendiri yang terlupa untuk membuka helmet. Patutlah kepalanya terasa berat semacam!

"Manalah akak tahu. Akak ingatkan Lia nak keluar semula. Ada hal dekat luar." Polos Juliana menjawab.

Dahlia meletakkan helmet dan beg galasnya di bawah kaunter. Kemudian dia membetulkan tudung bawal yang terasa seperti senget sahaja. Setelah puas betulkan tudung, dia mula bertugas seperti biasa.

My Sewel GuyWhere stories live. Discover now