Danish membelek motor skuter milik Dahlia. Dari bahagian ekzos hingga ke handle motosikal gadis itu dibeleknya. Bersungguh betul Danish menyentuh setiap bahagian motosikal.
"Apa yang rosaknya dengan motor Lia ni?" soal Danish. Nampak macam dalam keadaan baik sahaja motosikal milik adik bongsunya itu.
"Cek macam profesional..." Perlahan nada suara Dahlia. Dia mengutuk Danish yang masih lagi memandang setiap bahagian motosikal.
"Lia cakap apa?"
Dahlia pantas menggeleng. Dengar pula telinga tebal abang sulungnya itu. Selalu kalau dikutuk dalam versi perlahan begini, memang langsung tak perasan.
"Abang long tu... cek macam mekanik aje, tapi bahagian motor yang rosak pun abang long tak tahu. Act aje lebih." Jujur Dahlia menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Tengok dari jauh pun tahu tayar motornya pancit. Buat apa belek bahagian lain?
"Lia nak abang long tolong ke tak? Nak abang long balik ke? Tinggalkan Lia dekat sini?" ucap Danish dengan muka seriusnya.
Dahlia berpeluk tubuh. "Alah, cakap main-main pun nak terasa. Hati kama betul."
"Ni, apa yang rosaknya?" Sekali lagi Danish menyoal soalan yang sama. Pada Danish, dia lebih gemar melayan adik bongsunya dengan tegas. Dia begitu kenal dengan perangai Dahlia yang gila-gila. Tak pernah ambil kesah dengan ketegasan dirinya langsung.
"Tayar motor Lia yang pancit," terang Dahlia sambil menunjukkan tayar motosikalnya yang kempis.
Sebelum habis waktu kerja, memang Dahlia sempat menelefon Danish untuk datang ke klinik. Dia meminta bantuan Danish untuk menyelesaikan perkara ini. Nak harapkan dirinya memang dia tak larat untuk menyorong motosikalnya ke bengkel. Kudrat empat keratnya ini ada hadnya juga. Sebelum berkecai tulang-belulang di tengah jalan, lebih baik dia mengharapkan kudrat Danish yang jauh lebih mantap.
"Kena hantar bengkel ni. Tayar Lia bocor," ujar Danish selepas selesai membelek bahagian tayar motosikal Dahlia.
"Bocor?" Bulat mata Dahlia memandang Danish.
"Ya. Bocor. Tengok tayar ni pun dah tahu."
Dahlia mengamati tayarnya. Macam mana nak tahu tayar motosikalnya bocor?
"Nampak bocor, kan?" Danish menunjukkan bahagian tayar yang dikatakan bocor. Pada Dahlia, dia tidak nampak apa-apa pun.
"Nampak tak?" tanya Danish lagi. Dahlia mengangguk lemah. Ya kan sahaja apa yang dikatakan oleh Danish. Sejujurnya dia sendiri tidak mampu membezakan. Ada beza ke tayar pancit dengan tayar bocor?
"Lia bawa motor macam mana ni? Orang bawa motor atas jalan, Lia bawa motor atas apa?"
"Atas jalanlah... Takkan bawa motor atas angin kut?" cebik Dahlia. Kalau nak cantik bunga tayar, tak nak bocor bagai, selimutkan aje motor tu dekat rumah. Senang. Memang tak rosak. Boleh buat pameran lagi.
"Ada bengkel yang dekat tak dengan area klinik Lia ni?"
Dahlia menggeleng. "Kalau ada bengkel yang dekat, Lia dah hantar sendiri."
Danish menggaru-garu kepala. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul enam petang. Masih ada bengkel yang buka ke sekarang ini? soalnya dalam hati.
"Lia tinggalkan ajelah motor Lia dekat sini. Esok abang long bawa pergi bengkel. Dah pukul berapa ni," cadang Danish.
"Mana boleh. Nanti motor Lia hilang macam mana?"
Danish menggaru-garu kepalanya lagi. Pening. Buntu dengan keadaan Dahlia. Dengan baju kerja yang masih belum dibuka, rasa rimas pula tubuhnya ketika ini. Panas. Bertambah panas pula dengan masalah yang menimpa mereka.
YOU ARE READING
My Sewel Guy
Fiction généraleNovel Terbaru November Tajuk: My Sewel Guy Penulis: Aimy Haniya Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-69-2 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : November 2015 Cara Pembelian : www.karyaseni.my / Aplikasi Karyaseni “Se...