Bab 5

6.1K 163 21
                                    

Dahlia menghentikan motor skuternya di hadapan pintu pagar besar milik kediaman mewah Datuk Azmi. Malam semalam, Dahlia telah berbincang bersama ibu dan Danish sebelum perbincangan itu berakhir dengan keizinan daripada mereka. Dahlia diingatkan supaya menjaga diri sebaik mungkin. Tidak melencong ke tempat lain ketika pulang dan sebagainya.

Dahlia masih lagi berdiri di hadapan pintu pagar.Kali ini dia tidak berteriak memberi salam. Buat hilang suara saja. Dahlia membunyikan loceng beberapa kali. Melihat pintu pagar besar itu terbuka secara automatik, Dahlia memulas handle motornya.

Dia memarkir motor bersebelahan kereta Mercedes Benz milik Datuk Azmi. Berkali-kali kepalanya menoleh ke kiri dan ke kanan. Memandang kereta Mercedes milik Datuk Azmi dan mengamati skuter miliknya. Macam tak setaraf sahaja nak diparkir bersebelahan. Lantas Dahlia menghidupkan semula motosikalnya lalu diparkir sedikit jauh dari deretan kereta milik Datuk Azmi. Kalau boleh, mahu sahaja motornya diletakkan di luar. Tapi, takut hilang pula.

"Sini pun okeylah." Kunci motor ditarik selepas meletakkan motornya di tempat yang memuaskan hati. Dahlia membuka helmet. Tudung dan blaus yang dipakai, dibetulkan. First impression sangat penting bagi Dahlia. Jadi, dia tidak mahu nampak selekeh di mata keluarga Datuk Azmi.

"Nervous... Seriously nervous..." Dahlia bersuara sendiri. Tak semena-mena dia membuat lompat bintang beberapa kali di luar rumah. Sengaja membuang perasaan gemuruh daripada menguasai diri.

"Awak buat apa?" Hampir terjatuh Dahlia saat mendengar suara yang datang dari arah pintu hadapan rumah. Boleh pula dia terkinja-kinja di hadapan pintu rumah Datuk Azmi. Gemuruh punya fasal.

"Senaman ringkas," jawab Dahlia sambil tersengih.

"Kenapa tak masuk? Saya dengar motor awak dari luar. Tapi, awak tak masuk lagi. Ingatkan awak buat apa. Rupa-rupanya tengah bersenam." Datin Sarah senyum. Cantik betul wanita itu. Penuh dengan gaya elegan. Sejak kali pertama jumpa lagi Dahlia menyukai wanita itu. Ingatkan anak sulung kepada Datuk Azmi, rupa-rupanya isteri Datuk Azmi sendiri. Tampak ada jurang di sebalik umur mereka. Agak jauh. Tak sama seperti jurang umur antara dirinya dan Ridzwan. Lapan tahun jaraknya. Tapi, apa yang ada pada angka? Sekadar usia semata-mata.

"Saya nak masuk. Tapi nervous pula. Itu yang melompat dekat luar. Ingatkan tak ada orang yang perasan," terang Dahlia tanpa segan. Dia selesa berbual dengan Datin Sarah.

"Nak nervous apanya? Masuklah. Lain kali, tak payah nak bersenam dekat luar. Terus masuk aje. Saya dah beritahu bibik pasal awak." Dahlia mengangguk faham. Dia mengekori Datin Sarah masuk ke dalam rumah. Memandangkan ini hari pertama kerja, agak sukar untuk Dahlia menyesuaikan diri. Perlu mengambil masa. Lokasi bilik dan ruangan yang terdapat di kediaman mewah ini juga perlu dihafal.

"Jom, saya tunjukkan awak ruang yang ada di dalam rumah ni," pelawa Datin Sarah. Dahlia sekali lagi mengangguk. Dari dapur sehingga ke ruang rehat ditunjukkan oleh Datin Sarah kepada Dahlia. Kolam renang di luar pun turut ditunjuk sekali. Mungkin dia faham keadaan Dahlia yang tidak biasa dengan suasana rumahnya ini.

"Okey, sekarang awak dah tahu, kan?" ucap Datin Sarah sebaik lawatan dari satu ruang ke satu ruang selesai.

"Bilik Nasri Haikal?"

Datin Sarah tersenyum nipis.

"Bilik dia dekat tingkat dua. Hujung sekali. Pintu berwarna hitam. Maaflah, saya tak boleh nak tunjukkan semua bilik. Saya ada kerja." Memang masih ada lagi beberapa bahagian rumah yang tidak ditunjukkan. Jika dia menunjukkan kesemua sekali, mungkin hari ini dia akan lewat masuk ke pejabat.

"Tak apa... Saya faham." Yakin Dahlia. Takkanlah di dalam rumah pun boleh sesat? Buat malu aje. Lagipun bibik warga Indonesia tu kan ada. Pandailah aku menyoal siasat dia nanti. Jangan tak faham sudah. Macam seorang cakap bahasa itik, seorang cakap bahasa ayam.

My Sewel GuyWhere stories live. Discover now