"Assalamualaikum," ucap Darwisy. Pintu jeriji dan gelangsar hadapan rumah ditolak. Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, dia terus mengunci pintu jeriji. Pintu gelangsar hanya dibuka kecil. Sebelum keluar rumah tadi, rasanya pintu rumah sudah berkunci. Siapa pula yang berada di rumah ketika ini?
"Lia tak pergi kerja?" soal Darwisy sebaik melihat tubuh adiknya bersandar di sofa. Bukan Dahlia sepatutnya berada di klinik? Bekerja? Ini tak, seronok sahaja menonton rancangan kartun di TV.
"Lia cuti hari ni."
Darwisy berjalan ke arah sofa. Dia melabuhkan punggung di sebelah Dahlia.
"Abang ingatkan Lia pergi kerja." Memandangkan Darwisy bekerja sebelah malam, dia lewat bangun pagi tadi. Tahu-tahu sahaja hanya tinggal Puan Aina seorang diri di rumah. Tiada pula kelibat Dahlia. Jika bukan pergi bekerja, ke mana gadis itu pagi tadi? Bukan Danish menghantar Dahlia ke tempat kerja?
"Lia pergi mana pagi tadi?" soal Darwisy.
"Ada hal dekat luar. Settlekan masalah bos Lia."
Darwisy senyap. Tentu gadis itu diberikan cuti kerana menguruskan masalah majikannya.
"Ibu mana?" Dahlia melentokkan kepalanya di bahu Darwisy. Sengaja mahu bermanja dengan abangnya itu. Ketika dia pulang dari kediaman Datuk Azmi, pintu rumah mereka berkunci. Tiada seorang pun berada di rumah. Nasib baik ibu sering mengingatkan tentang kunci pendua yang diletakkan di bawah pasu kecil. Kod rahsia yang hanya penghuni rumah sahaja yang tahu.
"Abang hantar ibu pergi pasar. Lepas tu abang pergi hantar motor Lia dekat bengkel. Kejap lagi abang pergi ambil ibu. Ibu cakap, nanti ibu call kalau dah siap belanja."
"Abang Arwi dah hantarkan motor Lia?"
Darwisy mengangguk. "Dah. Dah tukar tayar dah."
"Abang Arwi sorong pergi bengkel ke?"
"Yalah. Takkan abang nak angkat motor pula. Manalah abang larat."
Dahlia tersenyum lebar. Nak harapkan Danish, hanya berjanji sahaja.
"Terima kasih."
"Sama-sama." Darwisy mencubit pipi Dahlia. Adik perempuannya itu membiarkan sahaja kelakuannya. Dahlia kembali tekun menonton kartun span kuning berbentuk segi empat. Suka betul Dahlia menonton rancangan kartun. Seperti yang selalu Dahlia katakan, tengok kartun adalah terapi yang bagus untuk dirinya menghilangkan stres.
Fikiran Dahlia pula melayang memikirkan tentang tawaran kerja di rumah Datuk Azmi untuk menjadi jururawat peribadi anak lelakinya, Nasri Haikal. Sebelum balik ke rumah, Ridzwan ada memberikan fail yang mengandungi beberapa maklumat tentang penjagaan Nasri. Aturan ubat, jadual makan dan segala info yang diperlukan tentang Nasri Haikal. Diambil juga fail yang dihulurkan. Ridzwan ada mengatakan tentang keputusan yang perlu dibuat dengan kadar segera. Jika Dahlia tidak boleh menerima tawaran kerja ini, Ridzwan perlu mencari pengganti lain secepat mungkin.
"Abang Arwi... Lia ada benda nak bincang dengan abang." Dahlia menegakkan kepalanya. Dia bersila di atas sofa sambil menghadap Darwisy. Dia ingin mendengar pendapat Darwisy jika abangnya itu berada di tempatnya.
"Apa dia?"
"Doktor klinik tempat Lia kerja tu suruh Lia kerja jadi private nurse dekat rumah Datuk Azmi..."
"Datuk Azmi?" Mata Darwisy terbeliak. Terkejut betul mendengar nama Datuk. Kenal ke?
"Datuk Azmi Yusoff?" Darwisy minta kepastian.
"Ya kut. Kenapa?" Hairan Dahlia.
"Dia businessman terkenal. Syarikat dia ada banyak cawangan di Malaysia. Abang pun pernah apply kerja di syarikat Datuk sebelum sambung belajar. Tapi tak dapat."
YOU ARE READING
My Sewel Guy
General FictionNovel Terbaru November Tajuk: My Sewel Guy Penulis: Aimy Haniya Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-69-2 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : November 2015 Cara Pembelian : www.karyaseni.my / Aplikasi Karyaseni “Se...