Bab 8

4K 95 0
                                    

"Lia. Kenapa terkuis-kuis nasi tu? Makanlah. Tak sedap ke kak ngah masak?" Lamunan Dahlia terhenti sebaik mendengar Damia bersuara. Pantas kepalanya menggeleng. Bukan kerana masakan Damia, tetapi dia sedang memikirkan tentang apa yang terjadi hari ni.

Oleh sebab bergaduh dengan Nasri, Dahlia menelefon Datin Sarah bagi meminta pelepasan untuk hari ini. Dia langsung tidak kembali ke bilik Nasri selepas melangkah keluar dari bilik lelaki itu. Pelbagai perasaan mula muncul saat Dahlia memikirkan semula apa yang berlaku. Kerana hilang sabar, dia mengherdik Nasri yang langsung tidak bersalah. Sepatutnya Dahlia memahami keadaan Nasri ketika ini. Bukan sebaliknya.

"Kalau Lia ada masalah, Lia boleh ceritakan dekat ibu. Mana tahu ibu boleh tolong." Puan Aina pula risau. Bukan dia tidak kenal dengan perangai Dahlia yang begitu mudah dibaca. Dilanda masalah, sikap periang Dahlia akan bertukar serta-merta. Tentu Dahlia ada masalah di tempat kerja barunya. Hari ini Dahlia pulang awal dari tempat kerja. Tak sampai tengah hari, Dahlia sudah sampai ke rumah. Ditanya mengapa pulang begitu awal, Dahlia senyap sahaja. Terus masuk ke bilik. Terperuk lama.

"Dah menyesal kerja dekat situlah tu. Tak pun dah berhenti. Abang long dah cakap dengan Lia, kan... Nak buat keputusan, fikir masak-masak. Jangan fikir masa tu aje. Fikir belakang hari juga," sampuk Danish membebelkan sikap Dahlia yang begitu senang membuat keputusan dan akhirnya menyesali keputusan itu.

"Abang long ni bisinglah," ujar Dahlia perlahan. Dia menyuap nasi ke dalam mulut lalu mengunyah beberapa kali.

"Lia dah tukar kerja ke? Kenapa kak ngah tak tahu pun?" Damia berkerut. Memanglah dia sudah mendirikan rumah tangga. Ada tanggungjawab sendiri. Tapi, sekurang-kurangnya jangan ketepikan dirinya. Mereka masih lagi satu keluarga. Kalau tak mampu menolong, Damia masih lagi mampu jadi teman pendengar.

"Baru tukar." Ringkas Dahlia menjawab.

"Kerja dekat mana?"

"Dekat rumah Datuk Azmi." Danish mencelah.

"Wow... Kerja dekat rumah Datuk. Jadi apa? Baby-sitter? Maid baru?"

Dahlia menggeleng. "Private nurse."

"Baguslah. Kerja dekat rumah orang kaya. Ada kerja kosong lagi tak dekat rumah Datuk? Mana tahu dia nak pakai maid ke... Boleh apply kan untuk kak ngah." Sengih Damia.

Danish yang duduk di sebelah menepuk perlahan lengannya. "Bukan suami angah tak bagi kerja ke?"

"Nak harapkan Zubir, semua tak bagi. Lepas tu, tengah bulan... Kering. Tak ada duit. Manalah cukup nak harapkan gaji dia seorang. Kerja despatch aje," luah Damia. Jika mereka belum mempunyai anak, mungkin Damia boleh menerima gaji suaminya itu. Menerima kehidupan mereka yang sederhana. Ini anak dah ada di dalam perut ni. Mana cukup dengan gaji suaminya itu.

"Minta izin dengan Zubir dulu. Cakap nak kerja. Nanti abang long try tengok kerja kosong yang dekat dengan rumah angah. Yang penting, minta izin lelaki angah dulu."

"Dah minta. Dia tetap tak bagi."

"Kalau Zubir tak bagi, angah tak payahlah kerja dekat luar. Cuba try kerja dekat rumah aje. Try buat business online. Orang banyak buat macam tu," pujuk Danish.

"Susah nak cakap dengan Zubir tu. Kita ni fikir nak tolong dia. Nak kurangkan beban dia. Tapi dia tak fikir macam tu. Dia fikir dia mampu nak sara keluarga dengan gaji dia seorang." Damia melepaskan rasa tidak puas hatinya. Rumah tangga yang dibina hampir tiga tahun ini mula dirasakan begitu sukar untuk dihadapi. Pengenalan dengan Zubir yang mengikat kepada perkahwinan, tidak dijanjikan bahagia semata-mata.

My Sewel GuyWhere stories live. Discover now