Bab 15

5.4K 142 96
                                    

Damia mengusap perutnya beberapa kali. Sudah masuk empat bulan usia anak yang berada di dalam perutnya ini. Ada tempoh lebih lima bulan lagi sebelum anak pertama mereka dilahirkan. Tapi, sebarang persiapan belum dapat dibuat. Pakaian dan tempat tidur untuk anak mereka belum mampu disediakan. Duit yang dipinjamkan oleh Dahlia, Damia langsung tak nampak hasilnya. Tentu Zubir menggunakannya untuk membayar hutang. Kehidupan mereka makin melarat. Makin sukar untuk ditempuh hari demi hari.

"Apalah nasib kita nanti..." ucap Damia sambil memegang perutnya. Sebagai ibu, dia mahukan segala yang terbaik untuk anaknya ini. Membesar dengan sempurna dan cukup sifatnya. Tetapi jika melihat anaknya membesar dalam kehidupan begini, Damia turut merasa susah hati. Sudah berkali-kali Damia meminta Zubir mengizinkannya untuk mencari kerja. Tetapi Zubir tetap berdegil. Adakalanya sehingga Damia sering terfikir untuk meninggalkan Zubir.

"Assalamualaikum." Damia mula mengangkat muka. Telinganya mendengar seseorang memberi salam di pintu hadapan rumah. Lantas dia berjalan keluar dari bilik dan melangkah perlahan ke arah pintu hadapan rumahnya.

"Waalaikumussalam," jawab Damia. "Ibu... Darwisy pun ada? Masuklah. Kenapa datang tak beritahu?"

Puan Aina dan Darwisy tidak menunggu lama di hadapan pintu. Mereka pantas menapak masuk ke dalam rumah. Mereka duduk bersila di ruang tamu. Rumah Damia dan Zubir tidak dipenuhi dengan perabot mahal. Sofa pun tiada. Hanya ada karpet di lantai dan TV sahaja di ruang tamu. Hiasan rumah bujang.

"Ni, ibu ada belanjakan barang dapur sikit. Ada bawakan pisang goreng dengan cendol pulut untuk Mia. Kata mengidam nak makan, kan?"

Hampir menitik air mata Damia. Terharu dengan sifat ambil berat ibunya itu. Memang dia pernah menyuarakan rasa mengidam cendol pulut ketika Puan Aina dan Dahlia datang ke rumah. Awal-awal lagi dia sudah meminta kepada Zubir. Tapi, Zubir buat-buat lupa saja. Langsung tak ambil berat. Nasib baik ada ibu yang penyayang.

"Terima kasih, bu. Dah lama Mia mengidam nak makan cendol pulut ni. Tunggu kejap. Mia pergi buat air. Kita minum petang sama-sama." Damia berlalu ke dapur.

"Darwisy tak kerja pula hari ni?" soal Damia dari dapur.

"Kerja. Darwisy syif malam."

"Lia kerja?"

"Lia kerja. Dia cuti hari Ahad aje," celah Puan Aina.

"Abang long mana? Tak datang sekali?"

"Dia keluar. Ada hal katanya. Nak cari doktor... Doktor apa namanya, Arwi?" Puan Aina menepuk paha Darwisy. Anak ketiganya itu sekadar mengangkat bahu. Darwisy tidak mendengar perbualan mereka bertiga pagi tadi, manalah dia tahu. Dia masih berselubung dengan selimut lagi selepas menunaikan sembahyang subuh. Sibuk diulit mimpi.

"Doktor apa, bu?" ujar Damia dari ruang dapur. Puan Aina mula mengingatkan kembali apa yang diucapkan oleh Danish. Doktor apa namanya...

"Doktor untuk orang sakit mental."

Damia mengacau air oren di dalam jag kecil. Sempat dia merasa sedikit sebelum menatang jag itu di atas dulang bersama tiga biji gelas ke ruang tamu. Terkejut juga dia mendengar Puan Aina mengatakan Danish mencari doktor sakit mental. Ada apa yang berlaku kepada Danish?

"Kenapa abang long cari doktor sakit mental? Abang long sakit ke?" risau Damia. Selama ini Danish kelihatan sihat sahaja. Tak nampak seperti mempunyai masalah gangguan mental.

"Bukan untuk Danish la. Untuk Lia."

Lagi terkejut Damia mendengar penjelasan ibunya itu. Dahlia juga kelihatan sihat. Apa sebenarnya yang berlaku ni?

"Lia cari doktor sakit mental untuk anak Datuk tu. Anak Datuk kan trauma kemurungan," jelas Puan Aina. Damia menarik nafas lega. Sepatutnya dia mendengar dulu keterangan ibunya dan tidak beranggapan yang bukan-bukan.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 05, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

My Sewel GuyWhere stories live. Discover now