"Abang long, Lia nak tanya sikit ni." Dahlia duduk di kerusi meja makan. Awal dia bangun tidur hari ini semata-mata mahu berjumpa Danish sebelum bergerak ke tempat kerja. Dia mahu berbual dengan Danish terlebih dahulu. Memandangkan hari ini hari Sabtu, Danish tidak bekerja. Bab makan, Danish memang tak boleh skip. Sanggup bangun tidur awal pagi semata-mata nak menjamah sarapan yang dimasak oleh ibu. Kata Danish, dia selalu tertinggal untuk bersarapan ketika bekerja. Waktu rehat begini sahaja Danish memberi peluang untuk perutnya membuncit.
"Nak tanya apa?" soal Danish. Rajin pula Puan Aina mahu membuat kuih kegemarannya pagi ini. Kuih talam ubi kayu.
"Abang long boleh tolong Lia carikan doktor psikiatri tak?" Hampir tersedak Danish mendengar permintaan Dahlia. Doktor psikiatri? Doktor yang rawat orang gila ke?
"Hah?! Nak buat apa cari doktor psikiatri? Lia takut sakit Nasri tu berjangkit dekat Lia ke?"
Dahlia menggeleng beberapa kali. "Apa abang long ni... Tak ada maknanya sakit Nasri tu berjangkit dekat Lia."
"Habis, buat apa Lia yang nak cari doktor psikiatri pula?" Sudah dua biji kuih talam ubi kayu yang menyinggah ke mulutnya. Dalam keluarga kecil mereka, hanya ibu dan dirinya sahaja yang suka kuih talam ubi kayu. Dahlia dan Darwisy tidak menggemari kuih itu.
"Ada nak buat research sikit." Dahlia cuba mengelak daripada menjelaskan isu sebenar. Dia tiada masa untuk mencari mana-mana doktor psikiatri. Dia hanya mengharapkan Danish saja.
"Research? Research apa lagi? Bukan Nasri tu ada doktor sendiri ke?"
Dahlia mengeluh lembut. Banyak soalan pula yang datang daripada Danish. Bukan mudah sebenarnya meminta pertolongan abang sulungnya itu. Kena banyak bersabar. Nak minta tolong Darwisy, kerja Darwisy tidak tentu masa.
"Memanglah. Tapi Lia ada nak tanya dekat doktor lain pula. Nak minta pandangan doktor yang berbeza."
"Rancak berbual. Cerita pasal apa tu?" Puan Aina masuk ke ruang dapur. Dia meletak bakul bersebelahan dengan mesin basuh. Dia baru selesai menyidai pakaian. Sementara waktu pagi begini, Puan Aina berpeluang menyidai pakaian. Nanti matahari dah terik, panas pula.
"Cerita pasal doktor psikiatri." Danish menjawab soalan ibunya. Piring berisi kuih talam ubi kayu diletakkan di hadapan Puan Aina sebaik ibunya duduk di kerusi. Takut dibiarkan di hadapan mata, hilang kuih itu dengan sekelip mata.
"Doktor apa tu?" Puan Aina kurang memahami.
"Doktor untuk pesakit mental, bu."
Puan Aina menganggukkan kepala.
"So, boleh tak abang long?" Dahlia menyoal semula. Dia tak mahu soalan itu tidak berjawab.
"Apa yang abang long dapat kalau abang long tolong Lia?" Dahlia menarik muka. Sudah diagak soalan ini akan diutarakan.
"Lia belanja abang long minum dekat kafe. Abang long mintalah ukiran apa sekalipun dekat atas air abang long. Lia belanja."
Danish papar muka terkejut. "Serius? Tak bohong, kan? Bohong dosa tahu."
"Tahu. Lia janji dengan abang long. Dengan ibu sekali Lia belanja. Lia belanja satu keluarga kita pun tak apa." Macam melebih-lebih pula. Tetapi, tak apalah. Janji kes Nasri dapat dibantu. Sekadar belanja minum di kafe, tak mendatangkan kudis pun.
"Okeylah. Lia nak pergi mandi dulu." Dahlia bangun dari kerusi.
"Hesy, selekeh. Berbual punya lama dengan abang... Baru nak pergi mandi. Dengan air liur basi, bukan nak basuh muka. Pengotorlah Lia ni!" jerkah Danish. Dia memandang Dahlia dari atas hingga ke bawah.
YOU ARE READING
My Sewel Guy
General FictionNovel Terbaru November Tajuk: My Sewel Guy Penulis: Aimy Haniya Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-69-2 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : November 2015 Cara Pembelian : www.karyaseni.my / Aplikasi Karyaseni “Se...