ENCIK Borhan meneliti fail di hadapan. Berkerut-kerut dahinya meneliti maklumat di dalam fail itu. Seperti ada yang tidak kena pada maklumat yang dilaporkan oleh Qaira. Usai meneliti, diletakkan fail ke tepi. Matanya memandang wajah Qaira yang sedang mengelamun.
Sejak mula Qaira bekerja, dia sudah sebati dengan sikap dan perangai Qaira. Dari segi kerja, Qaira seorang yang amanah, bertanggungjawab dan jujur. Jarang sekali Qaira melakukan kesilapan. Gadis itu pandai membahagiakan masa di antara kerja dan menulis.
"Qaira!" tegur Encik Borhan kemudian.
Qaira tidak membalas. Otaknya sedang ligat berfikir. Entah apa yang difikirkan dia sendiri tidak tahu. Adakah permintaan Puan Noraini yang sedang difikirkannya itu? Permintaan supaya hadir ke satu majlis di rumah teman ibunya.
Kenapa Puan Noraini mengajaknya ke majlis itu? Adakah Puan Noraini berniat untuk memperkenalkan dia dengan calon seterusnya? Calon yang diperkatakan oleh Puan Noraini sehari yang lepas.
"Qaira Nur Imani." Encik Borhan memanggil dalam nada keras.
"Haaa... apa dia Encik Borhan?" soal Qaira sebaik sahaja tersedar.
"Awak ni tak habis-habis nak mengelamun. Awak ada masalah ke?"
"Tak adalah, Encik Borhan."
"Awak dah lama jadi staf saya, Qaira. Segala riak di wajah awak tu saya dah boleh baca. Apa masalah awak?"
Qaira tersenyum kelat. Kepala menggeleng kecil.
"Pasal kerja?"
"Eh... tak. Bukan pasal kerja. Pasal peribadi."
"Peribadi?"
Qaira sekadar mengangguk.
"Kalau awak tak keberatan, awak boleh cerita pada saya. Anggap saya ni macam ayah awak sendiri."
"Tak apalah Encik Borhan. Saya boleh selesaikan sendiri masalah saya. Maafkan saya kalau tingkah laku saya kurang senang di hati encik."
"Awak risau pasal jodoh?" tebak Encik Borhan.
Qaira tergamam. Bagaimana Encik Borhan dapat mengagak masalahnya ketika ini?
"Ayah Aira dah cerita kesemuanya pada uncle," beritahu Encik Borhan.
Sudah berubah kata ganti diri. Bukannya dia tidak kenal dengan Encik Qamil, ayah Qaira. Encik Qamil merupakan rakan seuniversitinya dahulu.
"Aira tak risaukan pasal tu. Ibu tu yang lebih-lebih. Kadang-kadang naik runsing Aira dengan rancangan dan permintaan ibu," luah Qaira. Selesa berbual begitu.
"Ibu Aira buat macam tu demi kebaikan Aira juga. Dia risaukan Aira."
"Tapi..."
"Tak apalah Aira. Jika dah tertulis jodoh Aira, ada juga nanti. Banyakkan berdoa dan berusaha," kata Encik Borhan bernada nasihat.
Qaira hanya mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Encik Borhan.
"Petang nanti ikut uncle," ujar Encik Borhan bernada arahan.
"Ke mana?" soal Qaira, berkerut dahi.
"Ada discussion dengan Haji Saiful."
"Oh! Baiklah!"
"Aira boleh keluar sekarang. Apa-apa nanti, uncle beritahu. Tentang laporan kewangan ni, nanti uncle semak balik," arah Encik Borhan.
YOU ARE READING
Calon Suami Buat Novelis
RomanceDi antara calon-calon itu semua, siapa yang terpilih untuk menjadi suami kepada seorang novelis bernama Tia Alisya. Selamat membaca!