Bab 4

323 17 0
                                    

                                                                           

QAIRA memerhati tingkah laku Puan Noraini. Ibunya itu sedang mundar mandir sambil berpeluk tubuh. Apa yang tidak kena dengan ibunya itu? Kenapa dia disuruh pulang dengan tiba-tiba? Adakah disebabkan hal yang lepas maka dia dipanggil pulang? Hal di mana dia mengelakkan diri daripada berkenalan dengan Sharmin, anak imam Mahadi.

Keluhan ringan terlepas daripada bibir. Sejak dari dulu lagi ibunya tidak putus-putus mencari calon suami buatnya. Naik muak dan jemu tatkala dipaksa untuk bertemu dengan kesemua calon tersebut. Jika tidak diikutkan, dikatanya anak derhaka. Mahu tidak mahu, terpaksa jugalah dia berjumpa dengan mereka semua. Sekadar syarat sahaja.

"Ibu dah cari calon yang sesuai untuk Aira," ujar Puan Noraini.

"Calon lagi!" keluh Qaira, perlahan.

"Selagi Aira tak bawa calon untuk ibu, selagi itu ibu akan kacau hidup Aira," tegas Puan Noraini. Dilabuhkan duduk di hadapan Qaira.

"Ibu ni tak bagi chance pada Aira nak hidup aman la."

"Ibu tak peduli. Selagi Aira tak jumpa dan bawa calon untuk ibu dan ayah, selagi itu ibu akan cari calon untuk Aira."

"Sampai hati!"

"Sampai hati ke tak sampai hati ke, ibu tetap dengan rancangan ibu. Nak tak nak, Aira kena juga dengar cakap ibu."

Qaira mengeluh untuk kesekian kali. Keputusan Puan Noraini menjeruk hati. Bukannya dia tidak mahu berusaha mencari. Sejak dari universiti lagi dia berusaha. Setiap kali dia meminati seorang lelaki, pasti ada halangan yang mendatang.

Wajah Ady menyapa mata dengan tiba-tiba. Lelaki yang pernah disukai ketika di universiti dahulu. Disebabkan Ady mempunyai komitmen terhadap keluarga, maka dia ditolak. Dalam erti kata yang lain, dia hanyalah bertepuk sebelah tangan.

"Dengar tak apa yang ibu cakap ni?" tegur Puan Noraini.

"Haa... apa dia ibu?" soal Qaira, terpinga-pinga.

"Orang tengah bercakap, dia mengelamun pulak."

Qaira hanya tersenyum. Entah kenapa rasa rindu dengan kenangan bersama Ady. Adakah rasa kasih dan sayang terhadap Ady masih tersemat kemas di hati?

Setiap kali dia membuka akaun facebook, tidak pernah terlepas melihat akaun facebook Ady. Tatkala melihat kebahagiaan Ady, rasa cemburu hadir di benak hati. Adakah dia akan sebahagia Ady suatu hari nanti?

"Aira!" Puan Noraini menegur buat kali yang kedua.

"Apa dia ibu?" tanya Qaira, perlahan.

"Ibu nak Aira jumpa dengan lelaki tu. Ibu dah tetapkan hari, masa dan tempat. Aira pergi jumpa saja dengan dia," jelas Puan Noraini.

"Perlukah ibu?" Qaira bertanya lagi.

"Seperti yang ibu katakan tadi. Perlu!" tegas Puan Noraini lalu bangun dari duduk.

Qaira tidak membalas. Wajah Puan Noraini ditatap seketika.

"Kali ni ibu tak nak ada masalah lagi seperti yang lepas. Ingat Aira!" amaran Puan Noraini lalu beredar dari situ.

Qaira hanya memandang. Dia menyandarkan tubuh ke sofa. Apa yang harus dilakukan ketika ini? Perlukah dia menerima cadangan Puan Noraini?

"Kenapa aku susah nak lupakan dia?" soal Qaira, sendirian. Dia bangun dari duduk dan melangkah menuju ke bilik. Otaknya memikirkan permintaan Puan Noraini.

Calon Suami Buat NovelisWhere stories live. Discover now