Zupp!
"Kau ni memang tak serik-serik! Dulu lagi ayah cakap ayah tak suka kau main bola! Tengok sekarang ni, bahu yang patah ni kau ingat boleh elok balik!?" Ayah waktu itu sudah seakan-akan singa yang laparkan daging manusia. Wajahnya yang bertukar kemerahan itu ditambah dengan lentikan misai ala-ala koboi buatkan aku tidak berani tatap wajah ayah. Kali ini kepala tali pinggang askarnya pula yang menjadi makanan belakangku. Aku kekal bisu dan kaku. Siapa yang berani melawan tindakan ayah? Aku relakan sahaja diriku mendengar leteran dan sebatan ayah. Hanya diam sahaja caranya bila keadaan sudah parah sebegini.
"Aku nak kau ni jadi askar. Bukan pemain bola! Tak kemana pun kalau jadi pemain bola. Kau tu anak sulung. Jadilah contoh pada adik-adik! Ini baru patah bahu. Takkan kau nak tunggu sampai patah semua belulang baru nak berhenti bermain? Fikir masa depan kau Along!" Leteran ayah yang hampir dua jam itu buatkan aku terpukul. Mungkin ada benarnya juga omongan ayah itu. Tapi, bola sepak itu minat aku sejak kecil! Takkan itu juga salah?
Malam itu aku tidak boleh lelapkan mata. Jam loceng sudah tepat menunjukkan pukul dua pagi. Namun, sakitnya badan ini Allah sahaja yang mengerti. Sebenarnya aku masih bingung mengapa ayah bertindak sedemikian. Padahal minat kami pada bola sepak sangat mendalam. Dia seakan-akan seorang jurulatih professional dan aku adalah pemainnya. Ayah cukup terkenal di kampungnya dengan gelecekan dan skillnya yang memukau. Bila sebut sahaja 'Rahman Libero', semua orang akan menceritakan pengalaman mereka melihat kehebatan ayah beraksi di atas padang.
"Kau bila dah besar nanti, jadi penjaga gol yang tangkas. Bukan macam mamat tu. Main pun macam longkang! Anak rimau pun boleh tepis bola tu!" Masih lagi aku ingat kata-kata ayah sewaktu kami menonton bola sepak di stadium suatu masa dahulu. Semangatnya itulah yang menjadikan aku bertambah minat dengan bola sepak hingga kini.
Sekarang aku jadi bingung. Bingung dengan sikap mendadak ayah ini. Padahal, dahulu dia yang menyuruhku menjadi penjaga gol. Malah, kini aku sudahpun terpilih mewakili negeri dalam MSSN nanti. Apa lagi yang ayah mahu? Tidakkah dia bangga dengan anaknya ini!?
'Ah, Persetankan kata-kata ayah! Aku nak jadi pemain bola yang terkenal. Biar semua tahu siapa aku suatu hari nanti! Salahkah kalau aku ingin jadi seperti ayah?' Hanya monolog sahaja yang dapat aku luahkan daripada aku bertegang urat dengan ayah dalam situasi yang sebegini. Luahanku mati. Lenaku tetap tidak tenang kerana bisa sebatan ayah malam tadi. Minyak gamat yang ibu beri juga tidak mampu mengurangkan kepedihan hati aku.
*****
Pagi itu kurasa kebas. Seluruh tubuhku seolah-olah digam dengan lekapan yang sangat kuat. Sepertinya, aku tidak boleh ke sekolah hari ini. Bisa sebatan ayah makin mencucuk-cucuk tubuhku. Tetapi, ibadah tetap ibadah. Aku gagahkan diri bangun menunaikan solat subuh walaupun terpaksa duduk. Bahu yang patah ini ditambah dengan bisa sebatan ayah semalam sangat melemahkan jasadku. Cuma, untuk ke sekolah dalam keadaan begini? Malu!
"Ha! apa lagi yang kau terheeh-hegeh tu? Cepat bersiap. Ayah nak hantar adik-adik kamu lagi. Jangan sampai aku sebat lagi sekali!"
"Boleh tak kalau Along tak pergi sekolah hari ini, ayah? Badan tak boleh nak tegak."
"Apa! Kau ingat aku hantar kau ke sekolah untuk tegakkan badan? Aku suruh belajar! Cari ilmu untuk masa depan. Itu padahnya asyik sangat dengan main bola! Cepat. Aku dah lambat ni!"
Terpaksa jugalah aku bongkokkan diri hari ini ke sekolah. Walaupun satu sekolah tahu bahuku ini patah, tetapi mereka tetap ditipu dengan sebatan ayah. Inilah alasanku kepada sahabat-sahabatku yang lain mengapa aku bongkokkan diri hari ini. Mungkin ini juga salahku kerana tidak berhati-hati semasa lakukan landing pada hari itu.
Petang itu aku sekadar melihat jiran-jiran bermain bola di padang di hadapan rumah. Kerancakan mereka sama sekali tidak boleh memadamkan otakku yang ligat berlari mencari jawapan. Sesekali, aku membetulkan laras kain yang memangku tanganku. Kali ini, kerusi batu menjadi penemanku. Mentari senja seolah-olah menangisi kepedihanku.
'Apa yang aku buat semuanya tak kena! Tapi adik-adik aku, sikit pun ayah tidak marah. Tampar pun tak pernah, inikan pula rasa sebatan ayah. Kenapa aku yang selalu jadi mangsa? Bila aku bergaduh dengan yang lain, tetap juga aku yang disebat, dilibas. Hatta kalau adik aku yang menjadi punca perbalahan kami, masih juga ayah mencari aku!'
Aku nekad! Walau apa pun yang jadi kali ini, aku akan berempat mata dengan ayah. Aku mahukan penjelasan mengapa dia berkeras melarang aku bermain secara serius dalam bola sepak! Aku tetap dengan pendirianku kali ini. Walau apapun yang akan jadi, biar ini yang menjadi hala tuju masa kelakku. Aku sudah letih menanggung beban yang semakin berat untuk dipikul oleh bahuku yang cacat ini.
Pekatnya malam seolah-olah memberi suatu petanda buruk yang akan berlaku. Desir anginnya seakan-akan mahu menebang balak. Adakah ini tanda sesuatu yang buruk akan berlaku? Allah, aku mohon dijauhkan dari segala musibah yang akan terjadi malam ini. Benarkan kami bersemuka dengan aman. Biar segala perselisihan antara aku dengan ayah tentang minatku ini berakhir malam ini dengan tenang. Amin.
*****
"ABANG! Apa lagi yang dibuat kat atas tu? Awak dah lambat ni. Nanti kena marah dengan coach jangan salahkan saya." Lamunanku terhenti. Suara isteriku dari dapur menyedarkan aku.
"Barang-barang abang semua saya dah siapkan. Saya dah letakkan atas rak kasut tu." Aku bingkas bangun dan bersiap untuk ke Stadium Bukit Jalil. Hari ini adalah hari yang penting. Hari penentu siapa yang bakal mencium Piala Suzuki kelak.
Bingkai gambar di tangan ini masih lagi ku tatap. Insan itulah yang jadikan siapa aku hari ini. Walaupun dahulunya kami hampir bertegang urat, namun dialah yang mendorongku untuk berjaya pada hari ini. Kini, semua itu adalah memori. Memori antara minat, harapan dan kehilangan. Antara ayah dan aku hanyalah masa silam yang cukup pedih untuk diingat kembali. Semoga dia ditempatkan dengan orang-orang yang soleh.
"Ayah harap kau jaga diri baik-baik. Minat tetap minat. Tapi, sekali kita terkena musibah, selamanya minat kita itu akan terpadam. Ayah tak mahu kau jadi seperti ayah. Jadilah yang lebih hebat! Ayah akan sokong kau walau apapun yang terjadi." Ini pesan terakhir ayah. Pesanan yang selamanya tidak mungkin aku lupa. Biras-biras sebatan ayah dahulu hanya tinggal parut yang tidak tertanggal. Inilah yang akan aku jadikan bukti kasih sayang seorang ayah kepada anak-anakku nanti.
Aku adalah penjaga gol kebangsaan. Idolaku adalah ayahku. Aku patah bahu. Dia patah kaki. Kami punya mimpi ngeri. Namun, itu bukan penghalang siapa aku hari ini. Cerita kami hampir sama. Cuma, aku kekal dengan minatku dan ayah hilang tanpa bicara. Al-fatihah.
YOU ARE READING
Himpunan Cerita-cerita Pendek
General FictionPanda juga sudah pandai menulis cerpen dan yang seangkatan dengannya sekarang ni. Maka, inilah himpunan cerpen, certot dan kispen dari pena dan papan kekuncinya. Mar Rahman