Dia berseorangan seperti biasa. Bukan hanya kerana suka bersendiri, malah orang lain juga seperti tidak perasan kehadiran lelaki pertengahan usia ini. Berseorang membuatkan dia lebih selesa. Lebih menikmati hidup yang sementara.
Seorang diri dia berjalan masuk ke billik pameran. Minatnya pada lukisan cukup tinggi. Malangnya, dia tidak mampu keluar ke mana-mana selain berlegar di kota bersejarah ini. Jadi, jika ada sahaja pameran lukisan di sini dia sanggup perhabis duit mahupun berjalan belasan kilometer untuk menghadirinya. Kudrat seorang veteran.
Hari ini dia bersiap-siap sedikit. Walau pun agak terik, dia menggayakan jaket tebal lamanya bersama topi lusuh. Tenang. Dia berjalan kelilingi segenap ruang bilik ini dibantu batang tongkat. Matanya teliti satu per satu lukisan yang terlekat di dinding. Orang lain langsung tidak menghiraukan dirinya yang agak comot tetapi masih segak. Masing-masing sibuk bertumpu tatap mata pada lukisan-lukisan.
"Kau sangat cantik hari ini.." ujarnya sendirian sambil meraba sebuah lukisan. Memang tabiat sejak mula meminati seni lukis. Semua akan dipegang dan dirasa dengan tangan. Seperti dia akan lebih memahami setiap maksud yang ingin disampaikan si pelukis.
"..moga puteramu akan datang menyambut tangan yang sunyi." Sambungnya. Biar orang pandang dia seakan orang gila, lebih gila lagi orang yang tidak tahu menghargai seluruh inci kanvas tetapi sibuk membida hanya kerana sedap dipandang mata. Kerana itu jugalah dia lebih senang bersendirian. Tidak, dia tidak ada teman. Mungkin jaket tebal yang dipakai itu sahajalah teman paling mesra memeluk dirinya.
Dia terus berlegar menikmati semua lukisan di dalam ruang ini. Ada satu gambar yang agak menarik perhatian. Dia pejam mata dan rasakan sendiri dengan tangan kasarnya. Warna-warna contengan yang timbul bebas menjala. Dia mengikut alur contengan itu dengan jari.
Bebas. Jemarinya juga bebas mengikut alur-alur yang timbul. Seperti burung terbang di awan. Seperti ikan-ikan berenang di laut luas. Dia merasakan sebuah kebebasan pada lukisan yang di depannya ini. Malang hidupnya tidak seperti jalur-jalur yang berlari melingkar di atas kanvas. Dia mahu lakukan apa sahaja di dunia ini sebelum tiada nanti.
"Lingkarlah kalian dengan warna-warni. Jangan lepaskan peluang. Seperti aku. Sekarang hidup meraba dalam bayang-bayang" Lukisan itu dilepaskan pelahan-lahan daripada tangannya, menasihati diri sendiri yang sentiasa bosan dengan kehidupan.
Aneh juga tiada siapa ambil kisah keberadaannya di sini. Pakaiannya sahaja sudah mampu menarik mata orang sekeliling jika dia berjalan di tengah kota. Tetapi, tidak di sini. Apalagi dengan langkah tempang dituruti hentakan kecil tongkatnya mengimbangi diri daripada terpelecok jatuh. Masing-masing terlalu sibuk dengan hal sendiri. Ada yang datang berkeluarga, ada yang lenggang berdua, dan ada juga seperti dia seorang diri.
Malah, dia perasan ada sekumpulan manusia yang mengenali dirinya kerana sahabat suatu ketika dahulu juga langsung tidak diendahkan. Sahabat. Bukannya kenalan jauh yang cuma bertegur jika selisih bahu dengan bahu. Ah, dia juga malas ambil tahu lagi. Mungkin ada kisah silam di antara mereka yang merenggangkan persahabatan. Hanya dia sahaja yang tahu. Sekarang ini, dia lebih selesa begini. Selesa seorang diri.
"Aduh!" Matanya tiba-tiba berasa sakit mencucuk-cucuk. Bilik kecil ini tidak bertingkap. Agaknya ada habuk kecil yang melayang masuk ke dalam mata. Di kota ini sudah tidak ternampak pepohon hijau. Hanya konkrit sahaja bertebaran dan membangun tinggi. Namun, dia sebenarnya bangga melihat betapa pesat berkembang negara yang dicintainya ini. Cuma, anak-anak muda hari ini terpaksalah merasa sesak menghirup udara kotor dan terik pantulan matahari yang membahang.
Sambil itu juga dia kembali meraba dinding di hadapannya mencari petak kanvas lukisan baharu. Dia pejamkan matanya menghargai dengan cara tersendiri. Kali ini, sayu yang menerpa benaknya. Warna-warna yang dilarik berasa sugul dan sebak. Muram jingga menunggu matahari jatuh temankan si anak yang ditinggalkan oleh ayahnya. Dia dapat merasakan segalanya. Sama seperti ketika dia tidak mampu berbuat apa-apa diherdik dengan maki hamun ayah sendiri dan dihalau keluar daripada rumah.
Ya, dia marah benar waktu itu. Langsung tidak diberi peluang menjelaskan yang terbuku walau sepatah. Sampaikan semua mencabik baju di dada menjaja kepada orang lain. Dengan marah itulah dia membawa diri, keseorangan jauh daripada yang lain.
"Kau masih kecil. Tidak perlu mengalah awal." pesannya kepada budak kecil di dalam lukisan itu. Dia mengusap rambutnya yang dilukis kusut.
"Kehilangan yang kau rasakan belum cukup besar untuk kau menidakkan apa yang di hadapan." ujarnya perlahan.
Dia sebenarnya berasa marah si ayah meninggalkan anak kecilnya bersama senja. Tetapi, amarahnya lebih besar ketika dia teringat kembali apa yang telah menjadikan dia seperti hari ini. Cukuplah dia sekadar memberi kata dua kepada budak kecil itu sebelum dia menyalahkan diri sendiri seperti dirinya suatu ketika dahulu. Dalam pada itu jugalah, matanya sekali lagi merembes air ke pipi. Kecewa dengan diri sendiri. Dia berlalu pergi sambil mengelap air mata yang mengalir.
"Hidup ini bosan. Lukisan-lukisan ini semua juga bosan. Terperangkap. Ditentukan." Dia perasan akan sesuatu. Dari jauh terlihat orang bersesak-sesak. Seolah-olah ada yang menarik sehingga penuh dikerumun orang ramai. Dia menghentikan omelan dan mendekati sesak orang ramai.
Dalam pada fikirannya mahu menebak apa yang dikerumun, dia terpandang suatu lukisan aneh. Putih! Kosong! Tetapi terlekat pada dinding.
"Kenapa kau diasingkan di sini? Kenapa tidak disekalikan dengan yang lain di tempat yang sama?" soalnya tanpa jawapan balas. Matanya seperti berpinar kerana lukisan itu seakan bercahaya yang sangat terang. Dia sendiri tidak pasti. Malah, terpegun dengan lukisan itu. Seolah-olah mahu membawanya ke suatu dimensi baharu. Semakin lama, cahaya itu semakin cerah dan menyakitkan mata.
Ketika itu juga, tongkat yang meneman sisa baki hidupnya terjatuh ke tanah. Dia tersungkur jatuh. Dia meraba-raba bengang mendapatkan tongkatnya semula.
"Ke mana kau mahu bawa aku!" Namun, tanpa disangka cahaya putih yang semakin terang itu menariknya ke dalam lohong tidak berpenghujung. Dia yang tidak mampu berbuat apa-apa sekali lagi tersungkur jatuh.
Tidak semena-mena, matanya terbuka dan ada sebutir peluru yang bergerak dalam keadaan yang sangat perlahan menghampirinya. Tepat ke arah muka. Dia yang tiba-tiba sahaja memegang selaras Steyr AUG keluaran tahun 1982 dan berlapikdadakan dengan baju kalis peluru terpaku beberapa saat sebelum rebah dan berlumuran darah.
"Argh, Medic!" Seluruh mukanya kebas. Langsung tidak dapat rasakan apa-apa. Peluru itu tertanam tepat pada matanya. Dia menjerit bengang. Bukan kerana sakit, tetapi kerana dia nampak peluru yang menghampirinya itu namun tidak mampu mengelak.
Serentak itu juga, cahaya putih kembali mewarnai pandangannya yang semakin kabur. Semakin lama, semakin gelap dan dia tidak mampu menghalang. Kali ini, dia tersedar dan terlantar di atas katil hospital. Dia cukup kenal hospital ini. Ya, ini adalah hospital tentera! Tetapi bukan kerana matanya dapat melihat keberadaannya sekarang. Dia tahu kerana perkara terakhir yang dia ingat sebelum tidak sedarkan diri ialah peluru yang tepat ke matanya!
Sekali lagi, cahaya putih itu muncul. Membawanya masuk ke dalam lohong tidak berpenghujung. Kepalanya bingung sebentar. Dia terus tersandar pada dinging di sebelah lukisan itu. Dia ingat segalanya. Dia sedar segalanya. Tongkat setianya diraba-raba kembali dan dia keluarkan cermin mata hitam daripada poket bajunya.
Ah, dia tidak mahu kenang kembali semua yang telah terjadi. Apa yang berlaku di antara selepas dia keluar daripada hospital tentera itu dahulu sehinggalah saat ini, tidak perlu diungkit kembali. Cukuplah dia sedar segala kehilangan yang dia alami. Dia kembali menatap gelap lukisan di dinding itu. Orang sekeliling hanya memerhati sayu dari jauh. Tiada satu pun yang membantunya.
"Salahkah aku yang buta ini mahu melihat dunia?" bentaknya kepada semua yang ada di situ. Dia sudah tidak mampu berdiri dengan baik. Sebak di dada seakan mahu merebahkan kakinya ke tanah. Tetapi, kerana lukisan-lukisan ini dia terus bertahan. Inilah hobi sejak dia ditinggalkan isteri dan anak-anak beberapa tahun yang lalu. Lukisan yang tidak mampu dilihat inilah yang menghidupkan sisa nyawa seorang bekas tentera ini.
Entah, hatinya cuma tergerak mahu melihat lukisan. Tetapi takut dianggap gila, dia sengaja tanggalkan cermin mata hitamnya berlagak seperti orang celik. Dunia yang tiada dunia untuk orang sepertinya.
YOU ARE READING
Himpunan Cerita-cerita Pendek
Fiction généralePanda juga sudah pandai menulis cerpen dan yang seangkatan dengannya sekarang ni. Maka, inilah himpunan cerpen, certot dan kispen dari pena dan papan kekuncinya. Mar Rahman