"Mana dia?"
10 Mac 1954
Masuk hari ini, sudah dua minggu dia tak datang jenguk aku. Apa aku ada buat salah dengan dia? Atau aku ada sakitkan hati dia? Tiap-tiap hari aku buka pintu ini menunggu kehadiran dia. Terus sahaja hari ini terasa semakin suram. Penantian yang ditunggu-tunggu masih juga belum tercapai. Ah, aku rindu! Ke mana dia pergi tanpa mengkhabarkan apa-apa kepada aku?
Sebagaimana kecewanya hati aku, begitu jugalah kecewanya langit hari ini. Tak semena-mena dilemparkan kilat kepada bumi. Maka, dengan tak semena-mena juga semuanya terpadam. Blackout! Seluruh pekan Ea Kao ini terputus bekalan elektrik.
"Aku rasa tenang berada di sini. Rasa seperti dalam syurga."
Ini ucapan dia sewaktu kali terakhir aku lihat sosok tegap berkumis itu. Ungkapan syurga itu buatkan aku tak mampu melupakan dia. Syurga. Satu darjat yang tinggi. Darjat yang mana tiada di bumi ini mampu menggambarkannya. Tapi dia.. bisa!
Malam ini dengan lebat hujan yang turun merencatkan sedikit perniagaan aku. Bukan apa, bila hujan maknanya tak ramailah yang akan keluar. Dengan itu, apabila tidak ramai yang keluar, maka susahlah aku untuk dapat pelanggan walaupun seorang. Tetapi sebenarnya, bila malam dan cuaca sejuk beginilah yang akan menambahkan nikmat dari aroma kopi-kopi hangat yang aku hidangkan sejak 17 tahun yang lepas. Apa-apapun, malam ini aku terpaksa bergelap dahulu. Mungkin perlu tutup lebih awal dari biasa.
"Dia sudah lupakan aku ke?" Terus persoalan ini bermain di benakku. Pertanyaan ini silih berganti di mindaku tanpa jawapan.
*****
5 Januari 1954
Loceng yang tersangkut di pintu kayu separa dada itu bergerincing. Pintu dikuak ke dalam, seraya derapan kaki seorang pria yang masuk itu menarik perhatian aku. Dia mengambil tempat duduknya di meja penjuru kanan aku.
"Lawa. Tegap pula. Pakaian dia pun kemas! Tapi, wajahnya bukan seperti orang sini. Siapa dia?" Dari jauh sebenarnya aku sudah nampak dia. Cuma, apabila dia semakin dekat denganku jantungku tiba-tiba menjadi semakin dup dap dup dap pula. Jarang aku dapat pelanggan yang kemas sebegini. Malah, aku rasa dia yang paling kemas!
Satu-satunya meja bulat yang aku letakkan di penjuru kanan ini menjadi saksi perkenalan aku dengan dia. Emm.. atau mungkin perkenalan aku tentang dia sebenarnya. Meja istimewa yang aku ukir dan bina sendiri. Meja ini adalah saksi aku mula kenal dia; Patton, nama yang tertulis pada diari kecil di poket bajunya.
"Bagi saya kopi yang terbaik di sini. Bagi saya kopi yang boleh buatkan saya jatuh cinta dengan tempat ini." Dia meminta.
Ya, ini peluang keemasan per'cinta'an aku! Kalau dia suka kopi aku, dia akan suka aku. Ya, aku kena buat betul-betul! Barista aku sudah bersedia. Bukannya selalu kami diuji. Malah, bukan selalu juga hati aku ikut diuji. Rasa berdebar semakin kuat bila mendengar suara dia. Arghh, kenapa dengan aku ini?
"Espresso. Beri saya espresso," pintanya tanpa teragak-agak.
"Espresso Ristretto ya, tuan? Molek jika tuan mencuba sedikit dahulu."
"Asalkan yang terbaik dari awak."
"Ya, semestinya!"
Sungguh wataknya, penampilannya, suaranya membuatkan aku semakin berdebar rasa di hati. Melihatkan letak rapi rambutnya aku menjangkakan dia seorang askar. Atau mungkin bekas askar. Entahlah, masih terlalu awal untuk aku mengenali dia. Tapi, jika benar dia seorang askar ataupun bekas askar, tidak hairanlah sosok tubuhnya tegap, pakaiannya kemas, wajahnya rapi. Memang melengkapi ciri-ciri seorang askar. Ditambah pula dengan kumisnya yang tidak berapa tebal itu lebih membuatkan aku jatuh. Jatuh hati. Hati yang aku belum pernah beri kepada sesiapa. Dia, ya dia yang pertama!
YOU ARE READING
Himpunan Cerita-cerita Pendek
Ficción GeneralPanda juga sudah pandai menulis cerpen dan yang seangkatan dengannya sekarang ni. Maka, inilah himpunan cerpen, certot dan kispen dari pena dan papan kekuncinya. Mar Rahman