Hari ini Julia sudah nekad. Dia sudah membuat keputusan. Dia sanggup menerima segala risiko yang bakal timbul kelak. Foto di tangan direnung lama. Foto seorang lelaki yang sudah lama dia minati dari jauh. Lelaki yang pada perkiraan matanya paling kacak di dalam kolej tersebut. Lelaki yang berjaya mencuri hatinya sejak pertama kali dia terpandangkan wajahnya di kafeteria sebelum kelas Ekonomi tahun lepas.
Terngiang-ngiang kembali kata-kata perempuan tua yang ditemui semalam di sebuah kedai antik yang terletak di sebelah lorong sunyi di pinggir bandar tersebut. Kedai tersebut mencuri tumpuan Iqin, teman sebiliknya semasa mereka berjalan-jalan selepas kelas tamat petang semalam. Dia yang pada mulanya tidak berminat hanya mengikut sahaja lantaran tangannya sudah ditarik oleh Iqin mengajak masuk ke dalam kedai tersebut. Sedang menunggu Iqin membelek koleksi novel-novel klasik yang sudah lusuh, matanya tertancap pada sebuah loket pada kalung perak yang tergantung di leher sebuah patung di sebelah kaunter pembayaran. Aneh bentuk loket tersebut, tetapi memukau. Dia lantas membelek-belek loket itu dengan penuh minat.
"Itu bukan sembarangan loket, nak.." Tiba-tiba perempuan tua yang dari tadi memerhatikan mereka di balik kaunter bersuara.
"Apa maksud makcik?" Julia bertanya.
"Loket itu mengandungi sejarahnya yang tersendiri. Pemilik-pemiliknya sebelum ini mempunyai banyak kisah misteri yang tak terungkapkan sehingga kini." Ujar perempuan tua tersebut sambil tersenyum. Rambutnya panjang tak terurus. Giginya rongak dan sedikit kehitaman. Pakaiannya nampak tradisional, berbaju kurung Kedah berwarna kuning dan berkain batik hitam.
"Misteri seperti..?" Perasaan ingin tahu hadir.
"Ada yang mati secara mengejut. Ada juga yang hilang tanpa dapat dikesan." Jawab perempuan tua tersebut. Wajahnya langsung tidak beriak. Matanya mengandungi seribu satu makna tersirat. Dalam.
"Kerana loket ini?" Suara Julia bernada tidak percaya. Julia memang agak skeptikal. Susah mahu percaya perkara-perkara misteri atau paranormal.
Perempuan tua itu hanya mengangguk. "Loket itu ada kelebihannya yang tersendiri. Kelebihan yang ramai manusia dambakan. Kerana itu ramai tidak dapat mengelak daripada memilikinya, meskipun akibat yang perlu ditanggung daripadanya amat mengerikan."
"Apa kelebihannya?" Julia semakin berminat ingin tahu.
Sambil tersenyum, perempuan tua itu menyambung, "Ia mampu mengabulkan sebarang permintaan pemiliknya. Namun, setiap pengabulan akan disertai dengan akibatnya yang tersendiri."
Julia diam. Mempertimbangkan sesuatu di dalam fikirannya.
"Julia, jom balik." Suara Iqin kedengaran di depan pintu kedai. Selesai membelek buku agaknya.
Julia pandang perempuan tua tersebut. "Berapa harga loket ini?"
"Sepuluh ringgit." Jawabnya.
Julia mengeluarkan not merah dari dompet. Dihulur kepada perempuan tua itu. Sambil menyambut, perempuan tua itu bersuara hampir berbisik, "Ingat, kamu tidak boleh menanggalkan atau membuangnya selama mana kamu memilikinya. Sekali kamu pakai, selama-lamanya ia milik kamu."
Julia diam. Mukanya tampak sedikit risau. Kepalanya dianggukkan sedikit sebelum berundur keluar dari kedai itu. Sempat dia menoleh sekilas ke arah perempuan tua tersebut sebelum dia menutup pintu kedai. Menangkap riak wajah menyeringai perempuan tua tersebut.
Hari ini, dia mengambil keputusan untuk menguji kebenaran kata-kata perempuan tua tersebut untuk memenuhi keinginannya yang membuak-buak terhadap lelaki di dalam foto tersebut, Hafiz. Dikalungkan loket tersebut di lehernya. Lalu dia memejam mata dan membuat permintaan.
'Aku mahu hatinya menjadi milikku.' Bisik Julia dalam hati.
Kini, Julia hanya perlu menunggu. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering. Hairi, rakan sekelasnya merangkap teman sebilik Hafiz. Disambut panggilan tersebut.
YOU ARE READING
Seribu satu
Mystery / Thriller"Kakak tidurlah dengan Lisa malam ni. Lisa takut." Kanak-kanak kecil itu bersuara separuh memujuk. Aku mengukir senyum. "Nak takut apa. Kan kakak ada ni." "Bila kakak keluar bilik, patung clown tu selalu kacau Lisa." Lisa menunjuk ke arah patung clo...