Rumah Bagan

1.7K 90 15
                                    

Sudah lebih kurang lima tahun dia tidak menjejakkan kakinya ke rumah datuk neneknya. Cuti semester kali ini, dia sengaja membeli tiket balik ke Malaysia lebih awal dari biasa. Perancangannya untuk menghabiskan masa bersama kedua orang tua tersebut sudah lama dipendam. Kedua ibu bapanya baru berpindah ke Amsterdam tiga tahun yang lalu, menjadikan hasratnya untuk pulang ke Malaysia sering terbantut.

Rumah bagan tepi laut berlumpur itu nampak sudah terlalu usang. Lima tahun yang sangat memberi beza. Dahulu, rumah tersebut sangat meriah. Tiap kali cuti sekolah, mereka sekeluarga akan berkunjung ke rumah tersebut, melawat Tok dan Nek Bedah. Nek Bedah isteri kedua Tok, pengganti Nek Lamah yang sudah meninggal dunia 12 tahun lepas.

Di hadapan pintu rumah Tok, terdapat sebuah jeti. Di penghujung jeti tersebut, terletak beberapa buah bot-bot ikan nelayan, termasuk bot Tok. Dulu, dia selalu berjalan sampai ke penghujung jeti, lebih kurang 50 meter dari pintu rumah Tok. Di situ, dia akan duduk menghabiskan masa melihat air laut. Kadangkala memerhatikan kaki-kaki pancing yang selalu datang memancing di situ. Zaman kanak-kanak yang indah.

"Saiful." Terdengar suara Nek Bedah memanggil. Dia segera menoleh. Kelihatan Nek Bedah sedang menatang dulang berisi pisang goreng dan sambal kicap. Makanan kegemaran orang Johor.

"Mari sini. Minum petang." Ajak Nek Bedah sambil menuang air teh ke dalam cawan. Dia mengatur langkah ke arah Nek Bedah. Atas lantai saja duduknya. Ringkas saja rumah ini. Tiada sofa, tiada televisyen. Meja pun tidak ada. Makan secara bersila di atas lantai.

Ada sebabnya mengapa rumah ini dibiarkan kosong tanpa perabot. Memandangkan rumah ini terletak paling hujung sebelum jeti, maka ia selalu menjadi mangsa ombak kuat akibat ribut. Setiap tahun susun atur dan binaan rumah ini berubah-ubah dek kerana sentiasa diubahsuai selepas ranap dihempas ombak.

"Mak dan ayah kamu tahu kamu ke sini?" Tanya Nek Bedah.

"Tak tahu. Epul cakap mahu bercuti ke New Zealand. Jadi, tak dapat balik ke Amsterdam." Dia menjawab sambil tersenyum licik.

Nek Bedah hanya menggelengkan kepala. "Tak elok menipu orang tua begitu, Epul."

Dia hanya tersengih. Tidak menjawab.

"Tok mana Nek Bedah?" Dia mengalih topik.

"Tok kamu tak balik lagi dari laut. Hari ini dia naik bot besar dengan si Ma'arof. Nak pergi ke laut besar katanya." Terang Nek Bedah.

"Nek, Epul tengok rumah Pakcik Shaari macam dah kosong je. Rumah Tok Kamal pun tak ada orang." Dia melahirkan tanda tanya yang timbul seawal dia tiba tengah hari tadi.

"Kedai Chua dengan Adi kat depan sana pun tak bukak. Mana pergi semua orang Nek?"

Nek Bedah terdiam sebentar. Kemudian dia bangkit. "Nek nak siapkan makan malam untuk kamu dan Tok. Kamu layan diri dulu."

Dia mengerling jam di tangan. Sudah hampir menginjak jam 7. Lama betul Tok ke laut. Selalunya pukul 3 petang nelayan sudah beransur pulang.

Tuala di dalam beg dikeluarkan. Mahu mandi dan bersiap-siap untuk solat Maghrib di surau. Dalam langkah menuju ke bilik air, dia berhenti sejenak di tepi jendela menghadap laut. Di hujung jeti sana, kelihatan seseorang sedang duduk berjuntai kaki merenung ke laut. Dia cuba mengenal pasti siapa gerangan orang tersebut. Namun, selama hidupnya dia tidak pernah kenal ataupun nampak orang itu di kawasan ini.

Langkahnya kembali di atur ke bilik air di dapur. Di dapur, kelihatan Nek Bedah sedang duduk bersila sambil menyiang ikan belukang. Tersenyum dia melihatnya. Makan sedaplah nampaknya dia malam ini.

"Nek, siapa yang duduk kat hujung jeti tu waktu-waktu Maghrib macam ini?" Dia bertanya.

Nek Bedah mengangkat muka memandangnya. "Siapa pula?"

Seribu satuWhere stories live. Discover now