"Sikit lagi, adik. Tahan sikit lagi." Kata Asada. Nafasnya berat, termengah-mengah dadanya mencari oksigen.
Mayat-mayat bergelimpangan di kiri kanannya tidak dipedulikan. Tubuh yang menghalang laluannya disepak ke tepi.
Dia perlu ke sana. Dia perlu menjalankan tanggungjawabnya.
Tubuh kecil yang dicempung di belakangnya terhuyung-hayang mengikut rentak langkah kakinya yang tangkas. Pabila melompat, ia ikut terangkat. Pabila terhenti, ia menurut diam.
Hujan renyai-renyai yang turun membasahi bumi tidak sedikit pun mengganggu tumpuan Asada. Hatinya keras, jiwanya kental. Hiba yang bertandang disorok jauh ke dalam dada.
"Abang, adik nak main kat sungai."
"Sabarlah. Makan dulu. Mak dah masak tu."
"Tak mahu. Nak sungai. Nak sungai."
"Ok. Abang janji, kalau adik dapat habiskan nasi, lepas makan abang akan bawak adik mandi sungai."
"Betul ni?"
"Betul."
"Janji?"
"Janji."
Peluh di dahi mengalir menuruni pipi. Sesekali bunyi gegaran kedengaran sayup-sayup di telinga.
Tanah yang berdebu kelabu menghiasi kakinya yang tidak berkasut. Kudis yang sudah kering memenuhi kulitnya yang kering dan kusam.
"Abang, bila ayah nak balik?"
"Lepas ayah habis kerja nanti dia balik."
"Lama lagi ke ayah nak habis kerja?"
"Tak lama pun. Lepas kita menang, ayah akan balik rumah jumpa kita."
"Asada, Miyaki, cepat! Siren dah bunyi."
"Adik, lekas! Sembunyi dalam shelter!"
"Abang.. Adik takut.."
"Jangan takut. Abang ada."
Boom! Letupan kedengaran tidak jauh dari tempat Asada berjalan. Gegaran yang kuat dapat dirasa, menyebabkan langkahnya sedikit tersasar ke tepi.
Dia harus segera. Destinasi yang ingin dituju sudah semakin kelihatan di pandangan mata.
"Mak?"
"Abang, kenapa dengan mak?"
"Mak?"
"Abang.. Mak berdarah."
"Mak.. Bangun.."
"Abang, mak tak nak bangun. Mak malu muka dia hancur."
"Mak..."
Satu lagi letupan bergema di belakangnya. Langkah kakinya semakin dilajukan. Tenaganya hampir habis, namun keinginannya masih kuat.
"Abang..."
"Shh.."
"Adik takut."
"Jangan takut. Abang ada."
"Adik nak mak."
"Shh.. Jangan cakap. Nanti dia dengar."
Tempat yang ingin dituju semakin hampir. Asada berhenti sejenak. Cuba mengambil nafas dan mengembalikan tenaganya.
Dia menoleh ke belakang. Tanah gersang berdebu telah jauh ditinggalkan di bawah sana. Bangunan-bangunan yang telah musnah bersama tubuh-tubuh yang bertebaran menghiasi pemandangan matanya.
Dia menghadap kembali ke hadapan. Langkah dimulakan kembali, menyambung perjalanan yang tadi terhenti.
"Abang nak pergi mana?"
"Abang nak keluar kejap. Cari nasi."
"Lama tak abang pergi?"
"Tak lama. Kejap lagi abang balik."
"Balik cepat tau, abang. Adik lapar."
Sampai sudah Asada di puncak bukit. Tubuh kecil di belakangnya dibaringkan ke atas kotak raga di atas tanah.
Dia melilau ke sana ke mari mengutip helaian daun-daun kering dan batang-batang kayu. Dikumpulkan kesemuanya di sekeliling raga tadi.
Mancis dinyalakan dan dicucuh ke arah daun-daun tadi. Tidak lama masa yang diperlukan untuk api tersebut hidup dan menelan gumpalan kayu dan daun yang terkumpul.
"Adik, abang dah balik."
"Adik.. Abang bawa nasi ni."
"Adik?"
"Adik!!"
Asada memerhatikan api yang marak membakar raga dan tubuh di atasnya. Pandangannya kosong, persis rasa hatinya saat ini.
Sungguh dia tak akan lupa. Dia takkan dapat lupa gambaran tubuh adiknya yang separuh bogel, dengan dubur dan kemaluan yang berdarah.
Dia takkan dapat lupa gambaran tubuh adiknya terkulai layu di pelukannya, dengan tubuh yang dibasahi darah, ditembusi peluru-peluru askar durjana bernafsu binatang.
Dan dia takkan pernah lupa janjinya pada keluarganya, janji untuk melindungi adiknya, dan memberi penghormatan, termasuk di saat pengebumiannya.
Tidurlah, Miyaki. Tidurlah dengan aman. Kini kau bebas. Bebas terlepas dari segala keperitan dunia.
YOU ARE READING
Seribu satu
Mystery / Thriller"Kakak tidurlah dengan Lisa malam ni. Lisa takut." Kanak-kanak kecil itu bersuara separuh memujuk. Aku mengukir senyum. "Nak takut apa. Kan kakak ada ni." "Bila kakak keluar bilik, patung clown tu selalu kacau Lisa." Lisa menunjuk ke arah patung clo...