BAB 1

84 3 0
                                    


ERINA menyumbat earphone ke telinga. Volume dikuatkan hingga berdentum-dentam di telinganya. Sesekali kepala bergerak ke kiri dan kanan mengikut rentak lagu yang bermain di mp3nya. Tubuhnya ikut berjoget tatkala lagu Goyang Dumang nyanyian Cita Citata berkumandang di halwa telinga. Tangannya lincah mengelap habuk-habuk yang melekat pada almari. Nadia yang sedang mem'vacuum' karpet itu mengerutkan dahi. Tergeleng-geleng kepalanya melihat si sahabat yang sudah seperti tidak ingat dunia itu. Tergelek-gelek entah rupa apa entah.

Eh, minah ni dia boleh gelek macam buat konsert pula. Terkinja-kinja. Apa yang seronok sangat pun tak tahu. Ah! Sambung kerja lagi baik. Gumam Nadia. Setelah itu dia menyambung kembali kerjanya yang tergendala.

Seperti biasa sekiranya ada masa terluang pada hari minggu, mereka akan menghabiskan masa bersama untuk mengemas rumah setelah 5 hari seminggu menguruskan butik. Nadia merupakan sahabat baik Erina sedari mereka melanjutkan pelajaran di Universiti Shah Alam lagi. Selalu jugalah bahu Nadia menjadi saksi tatkala Erina meluahkan rasa rindu terhadap sahabatnya yang terpisah semenjak 12 tahun dahulu.

Nadia tersenyum sinis tatkala kepala teringat bekas kekasih Erina yang menyerabutkan itu. Sungguh hatinya tidak pernah menyukai lelaki itu. Dan kini setelah 3 tahun perhubungan mereka putus, Khuzaimi kembali untuk meraih cinta dari Erina. Dia nekad perkara itu takkan sesekali terjadi. Sesungguhnya dia tidak mahu gadis itu terus-terusan disakiti. Cukuplah sekali.

Nadia menjeling Erina dari hujung mata. Hairan apabila melihat sahabatnya itu diam menikus. Sekilas dia menyorot mata mengikut pandangan mata Erina. Dia tergamam tatkala melihat Erina yang sudah masuk mood sedih itu. Jarinya segera menekan butang off pada alat penyedut itu.

Segera dia menapak langkah mendekati Erina. Spontan Erina memanggung kepala. Senyum kelat dilemparkan pada si sahabat. Dia berharap Nadia tidak mengesan akan riak wajahnya yang berduka itu. Namun dia terlupa bahawa Nadia bukanlah mudah untuk dibohongi.

"Kau okey Rin? Kenapa aku tengok kau macam ada masalah saja. Atau... kau teringatkan 'dia' lagi?" Erina sekadar menggeleng kepala. Nadia tahu sahabatnya itu pasti terkenangkan 'seseorang' yang berada di dalam potret itu.

"Jangan tipu aku Rin. Aku kenal kau dah lama sangat. Semua rahsia kau, aku tahu. Kenapa ni Rin? Cuba cakap dekat aku," pujuk Nadia dengan nada lembut sehabis mungkin.

Erina cuba menahan airmata yang ingin mengalir. Dia harus kuat. Dia harus tabah. Walau dia tahu dia tak mungkin menjadi kuat dan tabah setelah ditinggalkan 'dia.' Pada ALLAH dia pohon agar dikuatkan hati untuk menempuh dugaan-NYA.

Nadia menggenggam erat jemari Erina yang terletak di atas almari. Dia cuba menyalurkan kekuatan pada sahabatnya. Terhinggut-hinggut bahu Erina menahan tangis. Segera Nadia menarik tangan Erina, lantas dia melabuhkan duduk di sofa. Dia mendakap erat tubuh Erina. Bajunya yang basah dek airmata Erina dibiarkan begitu saja.

"Menangislah Rin. Menangislah sepuasnya. Kau akan rasa lega lepas menangis. Insya-ALLAH," bisik Nadia lembut di telinga Erina.

"Aku rindukan dia Nad. Ta... tapi aku tak tahu macam mana nak cari dia. Aku dah lost contact dengan dia. Since dia pindah aku tak tahu macam mana nak hubungi dia. A... aku tak nak kehilangan dia. Dia sahabat terbaik aku." Erina mengongoi di dalam pelukan Nadia. Nadia mengusap lembut belakang badan Erina. Sungguh dia mengerti akan perasaan Erina. Kehilangan insan yang disayangi sememangnya memeritkan.

"Sabarlah Rin. Ini dugaan ALLAH. Aku tahu satu hari nanti kau akan jumpa semula dengan Zafran. Dan aku harap Zafran dapat mengembalikan keceriaan kau. Insya-ALLAH."

CINTA KE BENCI?Where stories live. Discover now