Bab 1 + 2

7.8K 148 122
                                    


BAB 1 

 Flying Swallow Bird

Kayl berdiri di tengah-tengah ruangan putih kosong ibarat tiada penghujung. Seperti dalam sebuah dimensi kotak putih tapi tak berpenjuru. Kayl jalan dan jalan menulusuri ruang yang seakan-akan menelannya, ibarat magis. Kayl tak tahu ke mana arah tujuannya, tapi dia teruskan langkah tanpa mempersoalkan apa yang sedang berlaku. Kayl perhati setiap ceruk dirinya sendiri, memakai baju kemeja dan seluar putih tapi berkaki ayam. Aneh. Hatinya berdebar, langkahnya semakin pantas. Lama-kelamaan semakin laju dan akhirnya dia berlari-lari anak. Selepas beberapa ketika pula, akhirnya dia memecut. Masih lagi tak nampak apa-apa, cuma ruangan putih kosong. Kayl ibarat tak berganjak langsung dari tempat asalnya. Letih.

Entah kenapa tapi dia rasa dia perlu teruskan berjalan dan dia ibarat sedang mencari sesuatu. Sesuatu yang penting, sesuatu yang dia sayangi, sesuatu yang dia cintai dan sesuatu yang dah hilang tanpa kerelaan hatinya. Dahi Kayl berpeluh dan lama-kelamaan matanya berair. Hatinya pilu dan gusar. Terkapai-kapai, tak jumpa apa yang dia cari. Sesat dalam pencarian yang memeningkan dan mengelirukan. Tiba-tiba ada cahaya putih yang muncul tak jauh dari tempatnya berdiri, Kayl membesarkan tirai matanya dan dia mula memecutkan langkahnya semula.

Kali ini cahaya putih itu kekal pada tempatnya, mengakibatkan Kayl semakin lama semakin hampir dengan cahaya yang menyilaukan pandangannya itu. Kayl cuba gapai ia dengan tangan dan akhirnya dia sampai di hadapan sebuah cahaya putih menyilaukan. Mata Kayl menyepet dan pandangannya terganggu kerana cahaya putih itu terlalu terang, terang yang membutakan pancaindera. Kayl cuba halang cahaya membutakan itu dengan tangan daripada bertentang selaras dengan retina matanya. Akhirnya cahaya itu beransur-ansur pudar. Bila Kayl lihat semula, Fei sedang berdiri di depan matanya.

Fei tersenyum lembut ke arahnya dan dia pegang rambut Kayl perlahan, seakan-akan mengatakan yang dia suka dengan potongan rambut Kayl yang baharu. Lalu dia pegang pipi Kayl yang lebam keunguan itu halus sambil mulutnya terkumat-kamit ibarat mengatakan sesuatu kepada Kayl tapi tak kedengaran. Cuma rasa hangat. Kayl rasa pipinya hangat dan ia hangat yang menyenangkan serta mententeramkan jiwa. Tika itu, Fei mengenakan dress lengan panjang yang labuh dan berwarna putih. Cantik sekali. Rambut panjang dan perangnya itu nampak lembut bak sutera. Kayl seakan tak percaya dengan apa yang dia sedang lihat sekarang ini. Dia cuba kesat matanya beberapa kali tapi hasilnya tetap sama, dia tetap nampak Fei di hadapannya. Kayl kelu.

Inilah saatnya jika dia mahu mengucapkan beberapa tutur kata. Tapi hakikatnya, dia tak tahu mahu kata apa. Jadi Kayl cuba pegang rambut Fei, lalu dia belai ia perlahan. Saat itu, Fei berikan satu reaksi yang meluluhkan jiwa. Fei menangis. Wajahnya berkerut-kerut menahan esakan dan airmatanya yang deras membasahi pipinya. Tapi Kayl tetap tak boleh dengar suara Fei, ia ibarat video yang diprogramkan ke mute. Hati Kayl sakit, rasa seperti dirobek-robek. Pilu yang teramat. Lalu Kayl menghampiri Fei dengan lebih dekat dan dia dakap Fei erat-erat. Hangat sekali. Badan Fei bergetar tatkala dia menahan tangis.

Entah kenapa, selepas masa yang agak lama berpelukan, Fei cuba leraikan pelukan Kayl dan dia tenung wajah Kayl dengan satu senyuman lembut. Lalu mulutnya terkumat-kamit sekali lagi ibarat mengucapkan sesuatu. Tapi suaranya tetap tak kedengaran. Kayl rasa situasi ini seperti saat-saat ucapan perpisahan. Memilukan. Kayl tak mahu Fei pergi. Kayl cuba dakap Fei lagi, namun tiba-tiba seraya itu jugalah Fei bertukar menjadi seekor burung cantik berwarna biru. Seekor burung layang-layang. Lalu ia terbang tinggi ke atas.

Kayl cuba menjerit tapi kerongkongnya seakan-akan tersekat, dadanya sakit dan airmatanya mulai mengalir deras. Kayl cuba lompat untuk gapai Fei daripada pergi tapi hakikatnya tak sampai. Serentak saat itu jugalah cahaya putih yang menyilaukan tadi muncul semula dan membuatkan matanya kabur. Kayl pejamkan matanya dan dia spontan tertolak ke belakang. Lalu dia seakan-akan ditelan oleh ruangan kosong.

KOTAK - sebuah novel Z. H. TauhidWhere stories live. Discover now