02 - Abah - Idola

42 3 0
                                    

Sejak kecil lagi saya sangat mengagumi Abah. Dalam hati saya Abah adalah yang terbaik sehingga saya pernah berazam ingin menjadi seperti Abah bila dewasa nanti. Mungkin kerana saya seorang pendiam yang tidak suka keluar rumah, maka saya tidak mengenali individu lain yang hebat selain Abah. Setiap hari saya hanya melihat Abah sebagai lelaki dewasa yang hebat dan kuat semangat.

Abah bukanlah seorang yang sentiasa dalam mood baik, adakalanya Abah seorang yang garang dan tegas. Tapi ketegasan Abah yang membuatkan dia kelihatan kuat di mata saya. Ketegasannya sebagai ketua keluarga yang membuatkan kami jarang buat perangai. Abah juga tegas di pejabat sehingga dia menjadi seorang yang dihormati oleh anak buahnya. Kebolehan Abah dalam membuat perancangan menjadikan dia seorang Ketua yang hebat. Saya sentiasa melihat kualiti ini sebagai satu motivasi untuk saya menjadi lebih baik di masa hadapan.

Abah juga seorang yang penyayang. Abah suka kanak-kanak tapi adakalanya dia garang sehinggga kanak-kanak takut. Sifat penyayang Abah jarang ditunjukkan tapi boleh dirasa. Dia sangat sayangkan cucu-cucunya tapi tidak ditunjukkan secara terus. Kadang-kadang dia akan bercerita mengenai cucu-cucunya ketika berbual bersama saya. Dia sebenarnya sangat sayangkan mereka. Malah saya masih ingat dengan jelas senyuman terakhir Abah ketika Uzma Waiz (cucu ketiga Abah yang berusia 1 tahun 4 bulan) datang melawatnya di hospital. Keletahnya membuatkan Abah tersenyum walau ketika itu Abah sedang menahan kesakitan akibat penyakitnya. Dari senyuman itu, jelas terpancar betapa kasihnya dia pada keluarganya.

Saya melalui zaman Abah susah sehingga Alhamdulillah ada rezeki yang lebih. Saya melihat Abah yang sentiasa berusaha untuk menyenangkan keluarganya dari zaman duduk rumah sewa sehingga mampu memiliki rumah sendiri. Saya mengalami setiap perubahan dari zaman Abah muda sehingga akhir hayatnya. Abah telah banyak berkorban untuk kami sekeluarga walau dia tidak pernah tunjukkan kasih sayangnya secara terus, namun kami semua dapat merasainya dalam setiap pengorbanan yang telah Abah lakukan.

Personaliti Abah yang mudah mesra dan mudah bergaul membuatkan Abah mudah didekati ramai. Abah punya ramai kenalan, setiap tempat yang Abah pergi pasti ada kenalan baru. Tak hairanlah begitu ramai yang datang melawat Abah ketika Abah sakit dulu. Saya juga punya harapan untuk menjadi seorang yang disenangi seperti Abah, namun mungkin kerana personaliti saya membuatkan saya gagal menjadi seperti Abah. Namun saya sentiasa berusaha ke arah itu.

Sehingga hari ini, saya merasa saya masih belum mampu menjadi sekuat dan sehebat Abah. Sesungguhnya kehilangan Abah memberi kesan yang besar buat saya seperti seekor burung yang kehilangan sebelah sayapnya. Rasanya saya masih belum mampu untuk terbang tanpa Abah disisi. Saya sentiasa berdoa semoga Allah kurniakan kekuatan kepada saya untuk menjadi sekuat dan setabah Abah.

Al-Fatihah.

Abdul Aziz Bin Mat Yusoff

09.50pm | 16Muharam1438
Salam rindu buat abah ♡♥

* إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن*
*Innalillahi wa inna ilaihi raji'un*

* اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْف*ُ

*"Allahumma firlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu"*

"Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia"
Aamiin.

ABAHWhere stories live. Discover now