Orang selalu kata lelaki ni susah nak menunjukkan kasih sayangnya melalui kata-kata. Biasanya lelaki akan tunjukkan kasih sayangnya melalui perbuatan. Begitu juga dengan seorang bapa. Bapa biasanya jarang tunjukkan kasih sayang melalui kata-kata tapi lebih kepada perbuatan sehingga kadang-kadang anak-anak tidak faham dan menganggap si bapa tidak menyayangi mereka. Dalam konteks bapa ini, saya lebih suka merujuk kepada perkataan pengorbanan.
Sebagai seorang ketua keluarga, Abah terlalu banyak berkorban untuk kami sekeluarga. Disebabkan Ma tidak bekerja, maka tanggungjawab mencari nafkah keluarga terletak pada bahu Abah seorang. Abah bekerja mengikut waktu pejabat dan kebanyakan masa saya lebih kepada Ma. Secara peribadi saya lebih banyak bercerita kepada Ma berbanding Abah. Jika mahu minta duit sekalipun saya lebih suka meminta melalui Ma. Tapi Abah tetap jalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dengan baik.
Sejak tadika sehingga darjah 3, Abah yang menghantar saya ke sekolah. Rasanya tidak pernah Abah lewat untuk mengambil saya dari sekolah. Mungkin ada sekali dua, tapi sangatlah jarang ia berlaku. Bermula darjah 4, saya ke sekolah dengan van sekolah kerana waktu kerja Abah yang terbatas. Darjah 5 Abah belikan saya basikal dan saya guna basikal itu untuk ke sekolah sehingga Tingkatan 3. Ketika Tingkatan 4, saya masuk sekolah berasrama di Bukit Keluang, Terengganu. Kebetulan pada tahun yang sama Abah dipindahkan dari Kota Bharu ke Pasir Puteh. Biasanya saya akan balik rumah dua minggu sekali. Saya tidak pernah bersusah payah untuk balik rumah seperti rakan lain kerana Abah sentiasa datang untuk mengambil saya. Walaupun perkara ini nampak seperti perkara remeh, tapi ia satu perkara besar bagi saya. Abah sentiasa ada untuk saya. Malah sehingga saya masuk UUM, masih lagi Abah yang menghantar dan mengambil saya di stesen bas. Kebiasaan bas dari UUM akan tiba di Pasir Puteh dalam pukul 6 pagi. Selalu Abah pesan supaya menelefonnya bila sampai di Machang. Jarak machang ke Pasir Puteh kira-kira 30 minit perjalanan. Bila bas tiba di Pasir Puteh, Abah sudah bersedia menunggu. Jarang saya menunggu Abah. Abah sanggup bangun awal supaya saya tidak perlu menunggu lama.
Selepas mendapat segulung ijazah, saya mulakan misi mencari kerja. Abah sentiasa berusaha untuk mencari kerja buat saya. Pernah sekali saya mendapat temuduga Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Abah sanggup mengambil cuti semata-mata untuk temankan saya. Abah banyak memberi inspirasi untuk saya berjaya, namun malangnya saya gagal dalam temuduga tersebut. Abah tetap berusaha untuk mencari kerja buat saya dan hasilnya kerja saya sekarang adalah hasil usaha Abah yang bertanya pada rakannya. Terlalu banyak pengorbanan Abah buat saya.
Pernah satu ketika saya berfikir, bagaimana agaknya hidup saya tanpa Abah di sisi? Saya buntu dan tidak sanggup untuk menghadapi kemungkinan itu. Namun takdir Allah tiada siapa yang dapat menduga. Abah dijemput Ilahi ketika saya masih lagi belum mampu untuk hidup tanpa Abah. Sesungguhnya kehilangan Abah memberi kesan yang amat besar bagi diri saya. Separuh jiwa saya seakan pergi bersama Abah. Tidak mampu untuk saya membalas segala jasa Abah. Hanya kiriman doa sebagai hadiah atas segala pengorbanan Abah sepanjang hayatnya di dunia yang sementara ini.
Al-Fatihah.
Abdul Aziz Bin Mat Yusoff
170257 - 171016
09.50pm | 17Muharam1438
Salam rindu buat abah ♡♥
* اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْف*ُ
*"Allahumma firlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu"*
"Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia"
Aamiin.