Bab 11 Sekotak Besar Tisu Tandas

123 5 0
                                    

Novel Asal Tulisan Chai Jidan. Diterjemah Daripada Bahasa Cina Kepada Bahasa Inggeris Oleh JustBLThings.

"Bai Luo Yin!"

Bai Luo Yin berpaling dan nampak Dong Na, kawannya dari kelas yang lain. Dong Na tersenyum bagai bunga yang sedang mekar, dia berjalan seperti merpati kecil dari pintu belakang menuju ke arahnya.

"Aku nak tanya kau sesuatu."

Bai Luo Yin memandangnya buat seketika, "Apa dia?"

"Ada seorang budak lelaki kacak yang duduk di baris kedua paling belakang, siapa namanya?"

"Ada ramai budak lelaki yang duduk di baris kedua paling belakang, yang mana satu kau maksudkan?"

Dong Na memerhati sekeliling lalu wajahnya dirapatkan pada telinga Bai Luo Yin. Kemudian dia berbisik, "Yang selalu pakai baju kemeja tu. Mungkin dia suka dengar muzik sebab dia selalu pakai headphone di kepalanya. Semua pelajar perempuan dalam kelas aku kata di sangat cool."

Bai Luo Yin tahu siapa yang Dong Na maksudkan dan dia tidak tahu apa yang menariknya pada You Qi, yang dia ingat hanyalah gumpalan-gumpalan tisu yang bersepah di dalamnya lacinya.

"Kalau aku ajak dia keluar, agak-agak dia nak tak? Cuba kau tengok aku, aku menawankan?"

Bai Luo Yin mahu bergegas pulang kerana loceng sudah berdering. Dia hanya menjawab acuh tak acuh. "Menawan. Ya, menawan."

"Betul?" Dong Na menarik tangan Bai Luo Yin, tidak mahu melepaskannya pergi, "Aku tengok korang berdua rapat je, boleh kau bagi tau aku apa yang dia suka?"

Bai Luo Yin menarik tangannya dari genggaman Dong Na lalu dengan jujur memberitahunya, "Kau hanya perlu berikannya sekotak besar tisu tandas. Ingat! Sekotak besar, bukan segulung."

Bai Luo Yin berlalu pergi meninggalkan Dong Na. Tetapi gadis itu sempat lagi menjerit ke arahnya, "Kotak yang ada 12 gulung atau kotak yang ada 10 gulung?"

Bai Luo Yin yang sedang menuruni tangga hampir saja terjatuh.

•••

Yang Meng dengan gembiranya meloncat ke atas belakang Bai Luo Yin. Tangannya berpaut di sekeliling bahu Bai Luo Yin dan dia ketawa riang.

"Hari ini, kelas kita ada buat undian untuk pilih pelajar perempuan yang tercantik. Kebetulan lima daripada mereka dapat jumlah undi yang sama dan kesemuanya cantik-cantik. Tapi akhirnya, yang menang ialah seorang pelajar perempuan yang ada tahi lalat pelik di mata kirinya... "

Pandangan mata Bai Luo Yin dari tadi hanya memerhatikan tembok berbata merah di hadapannya.

Yang Meng mencuitnya dengan sebelah tangan, "Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?"

"Dengar. Kau kata nenek kau beli setengah kilo pisang kaki."

Yang Meng menampar dahinya dengan kuat, hujahnya yang panjang lebar tadi hanya sia-sia kerana tidak didengar Bai Luo Yin.

Melihatkan Bai Luo Yin yang dari tadi hanya termenung dia cuba untuk bertanya, "Kau fikir pasal Shi Hui ke?"

Sejurus nama itu disebut, Bai Luo Yin serta merta menafikannya,  "Bukan tu lah."

"Habis tu, apa?"

Selang beberapa detik, Bai Luo Yin menjawab pertanyaan Yang Meng, "Aku tengah fikir siapa yang koyak buku aku."

•••

Gu Hai menginap sementara di sebuah rumah sewa berkeluasan 120 meter persegi. Rumah itu mengandungi sebuah bilik tidur dan sebuah tandas.

Sementara itu, ruangan kosong di dalam rumah tersebut dipenuhi dengan peralatan senamannya. Peralatan tersebut telah diberikan oleh ayahnya ketika dia berusia lima tahun; yang mana ketika itu juga dia telah pun memulakan latihan ketenteraannya di kem tentera.

Bertahun sudah berlalu dan meskipun sudah meninggalkan kem tentera tersebut, dia masih lagi menjalankan rutin senamannya pada setiap hari.

Perkara itu seolah-olah sudah menjadi tabiatnya. Dan jika dia tidak melakukan senaman pada hari itu, dirasakan seperti dia tidak makan seharian.

200 kali push-up memang tidak menjadi masalah baginya, diikuti dengan berlari di atas treadmill dan memukul beg boxing selama sejam.

Ketika sedang memukul beg boxing tersebut, dia membayangkan wajah ayah dan ibu tiri serta adik-beradik tirinya yang masih belum dia jumpa. Beg boxing itu dipukul sepuas hatinya.

Jarum jam tepat pada angka lapan malam apabila Gu Hai selesai melakukan senamannya.

Dia menggapai beg sekolahnya lalu mengeluarkan sehelai kertas yang dikoyaknya dari buku Bai Luo Yin.

Gu Hai merenung lama pada kertas yang mengandungi sebuah karangan itu. Dia kagum.

Kemudian, kertas itu diletakkan ke atas meja dan dia mengeluarkan sehelai kertas kosong lalu meletakkannya di atas kertas Bai Luo Yin tadi. Satu persatu perkataan ditekupnya.

Gu Hai sangat menyukai tulisan tangan itu, ia bukan tulisan tangan biasa atau tulisan kursif.

Tetapi ia adalah sifat Bai Luo Yin yang menciptakan gaya tulisan sebegitu. Dirasakan seperti seseorang sedang merentap tangan dan kakinya, membuatkan dirinya bebas tanpa kekangan.

•••

Keesokkan paginya, You Qi masuk ke kelas melalui pintu belakang. Seperti biasa, tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, dia mencampakkan begnya ke atas meja.

Akibatnya, sekotak tisu tandas terjatuh dari dalam lacinya ke atas lantai. Secebis kertas kecil yang diletakkan di bawah kotak tisu itu tiba-tiba melayang dan jatuh ke bawah meja Bai Luo Yin.

Semua pelajar di dalam kelas memandang situasinya itu dan mereka mulai berbisik antara satu sama lain.

You Qi tidak mempedulikan apa yang bermain di fikiran mereka. Tisu tadi dimasukkan ke dalam laci, tetapi tidak muat. Lalu dia meletakkannya di sisi meja.

Dia menoleh ke meja di belakangnya dan melihat secebis kertas kecil.

'Hadiah untukmu.'

Dia terkejut.

Bai Luo Yin yang bagi tisu ni dekat aku?

Tapi, kenapa?

You Qi berpaling semula ke mejanya. Sekotak tisu itu dibelek.

Sedetik kemudian, dia dapat membuat kesimpulan; memandangkan Bai Luo Yin duduk di belakangnya, setiap hari Luo Yin melihat lacinya dipenuhi tisu, dan menganggap tisu-tisu itu tidak mencukupi lalu dia menghadiahkannya sekotak besar tisu tandas.

Budak ni. Nampak saja luarannya yang dingin, tetapi ternyata hatinya lembut!

•••

Waktu belajar kendiri sudah dimulakan 20 minit yang lalu dan Bai Luo Yin baru memunculkan diri. Dia berjalan dengan tenang menuju ke mejanya. Mata-mata yang sedang memerhati tidak diendahkan.

Dia mengambil buku latihan Bahasa Inggerisnya untuk menghafal beberapa nota sebelum berjalan keluar semula dari kelas.

Sudah menjadi peraturan kelas di mana sesiapa pun yang terlewat akan dihukum berdiri di luar sehingga habis sesebuah mata pelajaran.

Semenjak seminggu sekolah bermula, Bai Luo Yin tidak pernah menghadiri kelas kendiri, kalau ada pun, waktu itu hanya diisi dengan tidur.

"Hey!" You Qi memanggil Bai Luo Yin. Sekotak besar tisu tandas berada di tangannya, "Terima kasih!"

Bai Luo Yin terkejut.

Bodohnya budak perempuan tu!

Kenapa la dia betul-betul bagi benda ni?

"Bukan aku yang bagi dekat kau."

You Qi sedikit marah, "Alah, tak payah malu-malu, bukannya kau bagi aku sekotak tisu wanita."

"Sial."

Are You Addicted? (Bahasa Melayu)Where stories live. Discover now