Novel Asal Tulisan Chai Jidan. Diterjemah Daripada Bahasa Cina Kepada Bahasa Inggeris Oleh JustBLThings.
"Encik, boleh perlahan lagi tak?"
Pemandu teksi itu dengan marahnya menjawab, "Kau nak berapa perlahan lagi? Tengok jarum meter tu!"
"Nampak tak orang tu? Yang pakai seragam biru tu, ikut saja dia."
Pemandu teksi itu bertambah marah. "Kau nak seksa aku ke ape? Teksi ni bergerak perlahan semata-mata nak ikut pejalan kaki? Tambang teksi aku ni dikira dengan jarak, bukannya masa! Kalau aku bazirkan masa separuh hari ni semata-mata untuk memandu dalam jarak satu kilometer, rugilah aku!"
Gu Hai mengeluarkan sejumlah 200 Yuan lalu melemparnya ke arah pemandu teksi itu.
Dengan serta-merta sikap pemandu teksi itu berubah. Suaranya sedikit lembut, "Macam ni lah, anak muda, apa kata kalau kamu turun dan ikut saja dia. Atau guna skuter elektrik, ia lebih murah daripada naik teksi. Menghabiskan 200 Yuan hanya nak ikut budak tu, kamu tak rasa rugi ke?
"Kalau berjalan nanti dia tahu lah. Cepat, cepat! Dia dah masuk selekoh tu."
•••
Gu Hai turun daripada teksi.
Bai Luo Yin berjalan memasuki lorong kecil yang menuju ke rumahnya.
Kawasan halaman sepanjang lorong itu tampak usang; yang mana kelihatannya sangat tidak sesuai kerana dikelilingi bangunan-bangunan tinggi yang masih dalam pembinaan.
Setahu Gu Hai, tempat-tempat seperti ini akhirnya akan dikosongkan. Semua orang yang tinggal di kejiranan ini pasti kehilangan tempat berteduh mereka.
Lagi pula, subsidi yang diperoleh mereka mungkin tidak mencukupi untuk membeli rumah baru di Beijing.
Sedang berjalan sepanjang lorong itu, Gu Hai berhenti apabila melihat Bai Luo Yin sedang memasuki sebuah rumah.
Dia melihat jam di tangannya. 50 minit berlalu. Sekarang baru dia tahu mengapa Bai Luo Yin sering lewat ke sekolah.
Melihatkan keadaan keluarga Bai Luo Yin yang sedemikian rupa, dia dapat mengagak yang Bai Luo Yin tidak mempunyai kenderaan meskipun sebuah basikal.
Bai Luo Ying masuk ke dalam rumah, beg yang disandangnya dilemparkan ke atas katil. Pakaian seragamnya ditanggalkan lalu dia menuju ke dapur tanpa berbaju.
Dia membuka tudung periuk nasi.
Kepalanya dijulurkan keluar dari pintu dapur lalu dia menyahut memanggil ayahnya.
"Ayah kata nak buat bubur. Macam mana boleh jadi nasi pulak ni?"
Bai Han Qi memukul kepalanya sendiri, diikuti dengan penyesalan yang tampak jelas di wajahnya.
"Ayah keluar basuh pakaian tadi, ayah lupa yang ayah masak bubur. Mungkin ia dah masak terlalu lama sampai jadi nasi."
Gu Hai sampai di muka pintu rumah Bai Luo Yin. Kepalanya terjenguk-jenguk ke dalam.
Ketika itu, Bai Luo Yin sedang menuangkan air ke dalam periuk nasi, menggaulnya buat seketika lalu nasi tadi bertukar menjadi bubur.
Bubur tadi dimakannya semangkuk, lalu di tambah semangkuk lagi. Di sisinya ada sepiring acar sebagai penyedap rasa.
Selesai makan, Bai Luo Yin keluar berjumpa ayahnya yang sedang menjemur pakaian di ampaian.
Tiba-tiba dia marah lagi. Badannya dibongkokkan untuk mengambil seluar dalam di dalam besen dan dia bertanya ayahnya dengan suara yang keras.
"Seluar dalam ni dah bersih kan? Kenapa ayah basuh lagi? Saya cuma ada tiga pasang je seluar dalam; satu masih kotor, satu ayah dah buang dalam longkang dan yang ni ayah dah basuh lagi. Apa saya nak pakai esok?"
Bai Han Qi kaku seketika, kemudian dia menyapu tangannya yang lembap pada bajunya lalu memujuk anaknya itu dengan suara yang lembut, "Kalau macam tu, biar ayah pergi belikan yang baru."
"Tak payahlah!" Bai Luo Yin menghalang ayahnya. "Saya pakai yang ni je. Pagi esok kering lah tu."
Gu Hai terpesona dengan pasangan ayah dan anak itu.
•••
Dalam perjalanan pulang, dia tidak menaiki teksi, sebaliknya hanya berjalan kaki. Setidak-tidaknya boleh menjimatkan wang di samping menyihatkan tubuh badan.
Dalam kepalanya asyik terbayang-bayang adegan yang baru dilihatnya, adegan bagaimana sulitnya hidup pasangan ayah dan anak itu tadi.
Tetapi itu bukanlah sebab utama mengapa dia berasa gembira mengekori Bai Luo Yin balik ke rumah.
Sebenarnya, dia berbuat demikian hanya kerana tiga tujuan;
Pertama, dia ingin tahu mengapa Bai Luo Yin sering lewat ke sekolah.
Kedua, dia mahu melihat bagaimana keadaan kehidupan Bai Luo Yin.
Ketiga ialah kerana dia sudah tidak ada kerja lain untuk dibuat.
Dan akhirnya, ketiga-tiga tujuannya itu sudahpun tercapai. Tetapi, ada satu lagi perkara yang tidak dijangka mungkin bakal berlaku.
Lelaki itu, dia ingin sekali bersahabat dengannya.
YOU ARE READING
Are You Addicted? (Bahasa Melayu)
General FictionNovel Asal: 你丫上瘾了? (Are You Addicted?) Pengarang Asal: Chai Jidan Bahasa Asal: Cina Luo Yin: Kau sakit! Gu Hai: Ya, aku sakit. Luo Yin: Makanlah ubat! Gu Hai: Kaulah ubat aku. Sesetengah orang itu ibarat dadah, sekali kau merasa, selamanya kau ket...