"Kau okey ke?" tegur Shaira melihat Tasha yang tekun meneliti Pelan di tangan.
Kursor digerakkan dan papan kekunci ditekan. Banyak yang perlu diubah. Kata Tengku Adli, pelan yang dilakarnya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Tapi, dah masuk kali ketiga dia teliti, tiada satu pun yangg bercanggah. Takkanlah sebab dia tegur sikit Tengku Adli dah balas dendam.
"Okey. Kenapa tak okey? Nampak macam aku tak okey ke?"
"Aku risaukan kau. Kena ngaum dengan singa tu mahu tak luruh jantung. Sampai ke luar dengar suara dia."
Tasha sudah mengekek ketawa. Rata-rata staf Setia Haruman Holdings memang tak senang dengan muka ketat dan baran Tengku Adli. Pantang tak kena dengan apa yang diinginkan, pasti mengaum satu pejabat. Hanya seorang saja yang dilihat boleh cuit si singa yang sentiasa lapar tu, CFO Setia Haruman Holdings. Dato' Tengku Amsyar. Orang lain, maaf. Jangan mimpilah nak dekat.
"Alah. Bukan tak biasa. Sejak aku kerja bawah dia dah jadi makanan harian dah. Tak kalis pun."
"Kalau betul kau buat salah, tegurlah elok-elok. Tengok bapa dengan bapa saudara dia, tenang aje," omel Shaira.
Bukan sekali dua dia berurusan dengan Tengku Saiful dan Tengku Amsyar. Bos besar mereka itu cakap penuh kelembutan. Nak dengar menengking pun payah.
"Jangan bandingkan bapa saudara dengan anak saudara. Dah macam Prada ori dengan Gucci Petaling Street. Gucci Petaling Street tu sudah semestinya mewakili Tengku Adli. Takkan sama." Sinis perbandingan terlontar dari dua ulas bibir Tasha.
Geram punya pasal memang cakap dah tidak ada berlapik dah.
"Aku rasa Tengku Adli tu anak angkat. Barannya lain macam."
"Macam-macam kau ni. Terang-terang muka dia iras benar dengan muka bapa dia, Tengku Saiful. Anak angkat celah mana pula."
"Aku rasa Tengku Adli tu macam ada masalah dengan perempuan. Tengok cara dia tegur perempuan sangat berbeza. Kalau dengan lelaki bukan main mudah dia kompromi."
"Alah, kita kena bersikap positif. Ni melibatkan untung syarikat. Aku ni pengalaman baru dua tahun. Teori dengan praktikal tak sama. Lagipun Tengku Adli dah tiga tahun dekat luar negara. Kerja dekat syarikat antarabangsa babe. Memang dah pakar tentang selok-belok bidang ni."
"Kau tak rasa pelik ke? Haris yang buat sambil lewa tu pun dia boleh tegur dengan elok. Tak pernah menengking pun. Kau yang kerja tip-top dia boleh buat banyak songeh." Shaira masih merungut kecil sambil berjalan ke tempatnya.
Tak ambil pusing dengan kata- kata Shaira, Tasha menyudahkan sentuhan terakhir pada pelan di depan mata. Bukan dia menolak kata-kata Shaira, tapi memang dia sendiri pelik dengan sikap Tengku Adli. Baran memanjang. Tak pernah tengok Tengku Adli ramah dengan perempuan. Yang ada hanya muka ketat sepanjang masa.
Macam tadi terkulat-kulat dia menepis soalan bertubi-tubi daripada Tengku Adli. Belum habis satu soalan dia jawab, soalan lain dah disembur. Ligat otaknya menjana jawapan.
DARI jauh sudah dilihat Tengku Adli sedang berbincang dengan pengurus di tapak projek. Kasut keselamatan di keluarkan daripada bonet kereta. Sneakers di kaki ditukar dengan kasut formal di tapak projek. Kaki ditilik. Seumur hidupnya tak pernah dia menyarung kasut kuning paras lutut dipadankan dengan baju kurung.
Tengku Adli pandang Tasha atas bawah. Ya Allah, selambanya sarung kasut keselamatan berwarna kuning terang dan dipadankan dengan baju kurung. Ni mesti sebab dia beritahu secara mengejut tentang lawatan ke tapak projek. Senyum disembunyikan daripada nampak ketara.

ANDA SEDANG MEMBACA
BUKAN KEKASIH TERLARANG
RomanceDia punya segalanya namun tidak cinta. Cinta sudah lama dibawa pergi. Empat tahun kemudian takdir menemukan mereka kembali. Bagi Azra Natasha antara dia dan Tengku Adli keadaan sudah berbeza. Kita bukan hanya berbeza tapi sangat berbeza. Kalau ka...