BAB 1

4.9K 147 3
                                    

           

Tengku Adli menyandar lesu di kerusinya. Jam 5.00 petang baru jejak pejabat setelah dari pagi dia berkampung di tapak projek yang terbengkalai di Sungai Buloh. Apabila tekak terasa haus, segera dia bergerak ke pantri. Hanya ada seorang perempuan sedang membancuh Nescafe 3 in 1. Gadis itu sedang membelakangkannya.

Terasa ada penghuni lain si gadis toleh ke belakang. Muk digenggam kemas mahu segera ke kubikelnya. Malangnya, laluannya dihalang.

"I rasa macam pernah tengok you. Kita pernah jumpa ke sebelum ni?" Tengku Adli perhatikan gadis yang nampak gelisah di depannya. Iras benar dengan wanita yang terlalu dia rindu.

Tiga tahun berlalu, namun raut yang satu itu tak pernah pudar daripada ingatan. Si gadis ditinggalkan kerana terpaksa bukan dengan kerelaannya.

"I rasa you jumpa kembar I. I memang tak pernah jumpa you sebelum ni."

"You ada kembar?" Serius pertanyaan Tengku Adli.

"Dalam dunia ni kan ada tujuh orang yang hampir sama. Mungkin you jumpa salah seorang daripada kembar I yang tujuh tu." Tasha koyak senyum nakal. Lurus juga lelaki di hadapannya.

" I Adli. Adli Faris." Tengku Adli ukir tayang senyum.

Si gadis geleng kepala sambil tersengih. Tak tanya pun. Masih lagi seperti dulu. Terlalu berterus terang. Nak perkenalkan diri pun ikut stail stok-stok badboy.

"Azra," tutur si gadis sambil menunduk. Lelaki ini masih mengunakan nama tanpa pangkat.

Dia sudah tahu lelaki di hadapannya adalah Tengku Adli Faris. Anak saudara kepada Tengku Amsyar iaitu pemilik firma arkitek. Melihat laluan tidak lagi dihalang Tasha melangkah melepasi Tengku Adli.

Tengku Adli masih lagi statik. Mata tidak lepas daripada memandang susuk tubuh yang sudah menghilang. Sopan dan ayu. Dan wajah itu membuatkan dia teringat kepada seseorang. Sebelum ini biliknya di tingkat atas. Hanya semenjak biliknya diubah suai dia di tempatkan sementara di aras yang sama dengan bahagian rekaan.

"Itulah tunang adik kau," sapa Haidar yang baru sahaja masuk ke pantri. Matanya menangkap pandangan Tengku Adli ke arah laluan sama dia berselisih dengan Tasha tadi.

"Sejak bilakah adik aku tu tukar taste?" Tengku Adli tekan air daripada water dispenser. Penuh satu gelas.

Dihirup penuh nikmat. Semasa mamanya memberitahu Anuar mahu bertunang, dia masih di luar negara. Kerana marah yang masih beraja disebabkan tindakan tak bertanggungjawab Anuar, bertahun juga dia tidak pulang ke negara sendiri.

"Lelaki mana pun boleh berubah. Stok ibu misali tu," puji Haidar.

"Kau ni macam dah lama aje kenal dia."

"Baik budaknya. Kalau tak, Kak Mon pun tak merisik dia untuk dijadikan adik ipar. Mama kau pun tak sabar-sabar nak jadikan menantu. Itu yang menyebabkan mama kau tak sabar hantar rombongan merisik bila tahu dia tu masih tak ada yang tanda. Belum lagi klien yang bukan pandang pelan bila jumpa Tasha, tapi risik dia tu dah berpunya ke belum. Jadi kau rasa tang mana yang dia tu tercela di mata kau sebagai lelaki."

Tengku Adli sekadar angkat kening. Malas nak komen apa-apa. Perempuan banyak yang menyusahkan daripada menyenangkan.

"Jangan sebab seorang perempuan, kau berlaku tak adil dengan perempuan yang lain. Tak semua perempuan sama." Nasihat Haidar ringkas. Dia nampak Tengku Adli yang sekarang memang anti perempuan.

"Buat masa sekarang aku tak nak ada apa-apa komitmen dengan perempuan. Aku dah serik." Cawan dilalukan di bawah paip. Terus meninggalkan Haidar yang masih menghabiskan air dalam cawannya.

Haidar kerut dahi. Berlari anak dia menyaingi langkah Tengku Adli. Simpati dengan keadaan Tengku Adli.

"Aku dengar bekas isteri kau dah balik Malaysia."

Kata-kata itu berjaya menghentikan langkah kaki Tengku Adli. Lelaki itu kembali berpaling.

"Kau jumpa dia dekat mana?" soal Tengku Adli.

Hairan. Setahu Tengku Adli, Nabilla sudah lama tidak jejak kaki di bumi Malaysia selepas kes perceraian mereka selesai.

"Isteri aku kan sepupu dengan bekas isteri kau tu. Semalam dia ada ajak isteri aku keluar membeli-belah. Ecah berkeras tak nak ikut. Mana nak bawa perut lagi. Dania tu bukannya suka berjalan tempat ramai orang. Tak pasal-pasal menangis ."

"Aku nak jumpa dia buat apa? Semua dah selesai." Balas Tengku Adli tanpa berselindung.

Bulat mata Haidar. Lain pula cerita yang disampaikan oleh isterinya semalam. "Kau tak jadi rujuk ke?"

"Rujuk dengan Nabilla setakat ni tak ada dalam fikiran aku. Nak terlintas di hati pun aku haramkan. Lagi satu, istilah rujuk tu tak boleh pakai sebab dia dah lama habis idah." Kalau bukan sebab adiknya yang buat onar, memang jangan haraplah dia nak ambil Nabilla jadi isteri.

"Kalau terlintas di fikiran kau nak buat U-turn dengan Nabilla, aku harap sangat kau fikir masak-masak. Jangan sebab kesian kau buat kesilapan yang sama. Memang manusia boleh berubah, tapi tak mustahil perubahan tu hanya sementara kalau dia tak betul-betul istiqamah." Bahu Tengku Adli ditepuk mesra.

"Selagi aku ni waras, dia tak senarai dalam calon pilihan aku untuk sekarang atau masa depan insya-Allah. Kalau aku lupa kau ingatkan aku." Tengku Adli senyum hambar.     

"Amacam kau dengan mama kau? Ada perubahan?"

Tengku Adli pamer senyum hambar. Mama tidak semesra dulu. Seperti ada jurang yang memisahkan mereka anak-beranak. Dia pulang ke Malaysia pun sebab papanya memaksa. Lelaki itu sudah tidak sihat seperti beberapa tahun yang lalu.

"Masih dingin. Mama ingat aku ceraikan Nabilla sebab cemburu tak berasas. Tapi, sekarang dia dah cool sikit. kalau dulu bercakap dengan aku pun nak tak nak aje. Sekarang bolehlah setakat nak bercakap dua tiga patah."

"Kau pun kena selalu balik rumah keluarga kau. Tinggal dengan dia orang pun okey juga."

Tengku Adli geleng kepala. "Aku nak rasa hidup sendiri. Aku nak buktikan pada mama aku yang pilihan aku memang tepat."

"Aku rasa kalau kau bawa bakal menantu mesti mama kau terus lupa marah dia pada kau. Tak nak cuba ke idea aku ni?"

"Aku bukan sekadar mencari isteri, tapi aku nak mama pun berkenan dengan pilihan aku."

"Jangan menyesal. Ada hikmah di sebalik apa yang sudah terjadi. Mungkin kau tak nampak sekarang. Tapi, janji Allah tu pasti. Aku yakin, suatu hari nanti kau akan jumpa juga tulang rusuk kau." Pesanan dititip oleh Haidar sebelum mengangkat punggung.

Tengku Adli lorek senyum hambar.

BUKAN KEKASIH TERLARANGWhere stories live. Discover now