Kopi atas meja dihirup tak bernafsu. Pagi ini lemau saja dia rasa. Cincin di jari dipusing ke kiri dan ke kanan. Tanda yang sudah tersemat hampir setahun di jari manisnya. Sudah setahun dia dan Anuar bertunang, sudah dua kali tangguh majlis pernikahan. Ada sahaja halangan sehingga dia terfikir mungkin jodohnya bukan dengan Anuar.Perkenalan mereka cukup ringkas. Dia dipertemukan dengan Anuar melalui kenalannya, Iskandar. Lelaki itu mengirim cinta melalui teman karibnya. Semuanya indah-indah sahaja di awal perkenalan mereka. Tiada cela.
Yang paling tak disangka tunangnya itu merupakan adik Tengku Adli. Itu pun gara-gara dia ternampak potret keluarga Anuar semasa berkunjung di rumah bakal mertuanya itu.
"Hei, menung apa lagi ni?" soal Huda menghentikan lamunan Tasha.
"Aku rasa macam makin jauh aje aku dengan An."
"Mana perginya Tasha yang sentiasa positif dulu?" Huda tiup semangat.
Tidak pernah disampaikan kepada Tasha akan apa yang dilihat beberapa minggu sudah. Terserempak dengan Anuar yang baru keluar dari Hotel JW Marriot. Nasib baik Anuar tidak perasan ketika berselisih dengannya. Sibuk mengelek perempuan di sebelah.
"Aku perasan An sekarang makin baran. Pantang silap sikit mulalah melenting tak tentu pasal. Dah tak macam dulu."
"Kau kena faham. Dia orang kan ada genetik Hulk. Sama saja dengan si Adli tu. Abang dengan adik kan."
"Tapi, Encik Adli sekarang dah macam cool down sikit. Masa dekat hospital hari tu dah okey. Cuma sinis dia aje yang tak berubah."
"Wei, macam ada sesuatu aje dengan hot bachelor ni?" usik Huda.
Walaupun dia hanya dengar daripada cerita Tasha, tapi macam ada sesuatu antara Tasha dan lelaki yang mereka lawat di hospital beberapa hari yang lepas. Tambahan pula Tasha ada ke hospital melawat lelaki itu beberapa kali.
"Gilalah kau. Saja tempah keranda kalau aku ada hati kat dia. Ukur baju di badan sendiri. Dia tu mana pandang orang macam kita.".
"Kalau dia memang suka pada kau macam mana?" Huda sudah jongket kening.
"Jangan bermimpi. Nak berangan pun agak-agaklah."
"Aku cakap kalau." Huda pertahankan relevennya soalan yang ditanya.
"Tak ada apa-apa pun antara aku dengan dia. Dia hanya seseorang dari masa lalu aku. Jangan bagi harapan palsu pada aku. Lagipun aku ni tunang orang. Tak elok tahu kau buat hati aku goyah."
"Alah, poyolah kau. Kau memang suka kat bos kau tu kan."
"Alah, suka sikit aje. Siapa yang tak suka tengok lelaki kacak berapi."
"Oh, sebab tu kau bukan main rajin lagi pijak lantai hospital. Macam aku tak tahu kau ni bukan main susah nak pergi hospital."
"Kau ni. Dia kan dah tolong aku malam tu. Itu tanda aku kenang jasa dia."
"Tapi, bos kau tu memang handsome gila." Huda tumpang sekaki memuji lelaki yang baru sekali dilawatnya.
"Lagi satu cuba kau pandang senyuman membunuh dia. Belum lagi tengok lekuk dalam yang disorok tu. Menusuk sampai ke hati babe. Memang macam tu kot kurniaan Allah dekat orang muka ketat ni." Makin tinggi Huda puji Tengku Adli. Kali pertama dia nampak Tengku Adli senyum pun dia turut sama terpukau.
"Mahunya tak, sejak aku kenal Encik Adli tu boleh kira dengan jari beberapa kali aje dia senyum. Memang tayang muka ketat aje. Sebab itulah dapat gelaran Mr. K daripada peminat tegar."
Tasha kulum senyum. Dulu masa dia menjadi teman istimewa lelaki itu pun, boleh kira dengan jari hanya beberapa kali sahaja bibir nipis lelaki itu ukir senyum. Sekarang lagilah payah nak tengok senyum. Jadi bila sekali nampak, rasa nak saja rakam.
YOU ARE READING
BUKAN KEKASIH TERLARANG
RomanceDia punya segalanya namun tidak cinta. Cinta sudah lama dibawa pergi. Empat tahun kemudian takdir menemukan mereka kembali. Bagi Azra Natasha antara dia dan Tengku Adli keadaan sudah berbeza. Kita bukan hanya berbeza tapi sangat berbeza. Kalau ka...