Zuriat

291 3 5
                                    


Pernah satu ketika dulu saya disindir tidak punya anak. Pernah disindir kerana tidak mampu mengandungkan zuriat buat suami dan paling teruk disindir sebagai perempuan mandul.

Apa perasaan kalian kalau disindir sebegitu rupa? Saya? Memang panas telinga dan sakit hati dibuatnya.

Rasa marah!

Ya, memang marah. Ingat anak tu boleh datang bergolek lepas bernikah ke?

Secara fitrahnya, semua pasangan yang berkahwin memasang impian untuk memiliki anak. Anak sebagai penyambung zuriat keturunan dan sebagai pewaris sesebuah keluarga.

Teringat saya kembali pada tahun 2010.

Ketika itu, saya mengambil part time study di UTM. Sebelum masuk kelas saya ditakdirkan bertemu dengan seorang wanita. Wanita pada luarannya nampak lembut tetapi di dalamnya kental.

Pertemuan tidak dirancang di dalam rumah Allah itu sungguh menyentuh jiwa.

Saya yang terlebih peramah ni memulakan bicara dan banyak yang kami bualkan. Wanita ini memberitahu dia menemani suaminya yang datang mengajar.

Saya yang mulut tiada insurans spontan bertanya kepada beliau.

"Seorang sahaja kak? Mana anak?"

Saya pandang dia, dia pandang saya.

Mata kami saling bertentangan dan dia terus menjawab, "Akak belum ada zuriat lagi dik."

Dengan tak semena-mena mukanya terus berubah. Dari senyum terus tampak sedih. Saya pula jadi serba salah, menyesal bertanyakan soalan yang tidak sepatutnya.

Kakak ini memang nampak berumur sedikit, jadi saya sangkakan mungkin beliau sudah punya ramai anak.

Saya lekas-lekas minta maaf. Dia tersenyum. Kami menyambung kembali cerita.

Kakak ini memaklumkan yang beliau sudah 18 tahun berkahwin tapi belum direzekikan menimang cahaya mata. Saya pula masa tu usia perkahwinan baru menginjak 4 tahun.

Saya tak sabar ingin tahu bagaimana beliau mengharungi tempoh 18 tahun tanpa anak dengan begitu tabah sekali. Saya katakan pada beliau yang kami senasib, cuma yang membezakan kami ialah tempoh menantikan kehadiran anak. Jauh beza antara saya dengan dia.

Entah macam mana tiba-tiba beliau memegang tangan saya dan berkata, "Tapi sekarang akak mengandung dik. Sudah 2 bulan."

Kali ini muka saya pula yang berubah. Terkejut. Ternganga.

Bayangkan macam mana perasaan saya ketika itu. Selama 18 tahun dia menanti anak dan akhirnya dengan takdir Allah dia mengandung.

Teruja dan kagum!

Allahu Akhbar!

Terus saya tanya macam mana beliau boleh mengandung. Beliau menjawab dengan senyuman.

"Kita kena banyak bersabar."

"Berusaha... Berusaha... Berusaha..."

"Berdoa... Berdoa... Berdoa..."

"Lepas tu, kita tawakal kepada Allah."

"Yang penting jangan stress sangat dan jaga pemakanan. Amalkan makanan sunnah."

Disebabkan sudah masa untuk ke kelas, saya tak sempat berbicara panjang dengan beliau lagi. Kalau ikutkan banyak lagi soalan yang ingin saya tanyakan. Tapi perbualan kami itu sudah cukup membuatkan saya tersedar.

Sedar yang saya kena banyak bersabar, berusaha tanpa lelah, berdoa banyak-banyak dan selebihnya berserah diri kepada Allah.

InsyaAllah, atas kesabaran, usaha dan doa yang berterusan yang pahit akan hadir kemanisannya nanti.

Alhamdulillah, berkat kesabaran, usaha dan doa dengan izin Allah, penantian zuriat selama 8 tahun berakhir pada 31 Ogos, 2014.

Sesungguhnya janji Allah itu benar, bersama kesusahan Allah datangkan kesenangan juga.


Cerita Aku Buat KamuWhere stories live. Discover now