Suami berhenti di sebuah stesen minyak sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Saya turun dari kereta, terus ke kaunter dan membayar sejumlah wang untuk mengisi minyak.
Selepas itu saya mencari roti dan snek untuk dimakan sebagai alas perut di dalam kereta. Sedang leka memilih, saya terdengar suara bising-bising di kaunter. Saya tidak ambil peduli dan teruskan memilih.
Ketika beratur untuk membuat bayaran, saya lihat juruwang seorang perempuan muda memarahi seorang lelaki yang berusia lebih kurang 20-an di luar kaunter.
"You kata mahu isi penuh! Ini penuh la. You kena tambah lagi duit!"
Kuat betul suara juruwang tersebut sehinggakan semua orang di dalam kedai memandang ke arahnya. Lelaki di luar cuba menerangkan sesuatu kepadanya tetapi dia seperti tidak faham. Saya tidak dapat mendengar dengar jelas suara lelaki tersebut.
Saya fikir lelaki itu mungkin mempunyai masalah pendengaran, disebabkan itu agaknya juruwang tersebut bercakap kuat-kuat dengannya. Saya buat tak tahu.
Kemudiannya juruwang tersebut mengulangi ayat yang sama.
"You kata lima ringgit (RM5.00) penuh! So, saya isi penuhlah. Harga penuh enam ringgit dua puluh lima sen (RM6.25). You kena tambah lagi seringgit dua puluh lima sen (RM1.25)!" Jerit juruwang tersebut.
Lelaki muda tadi nampak terkulat-kulat. Masih cuba menerangkan sesuatu. Saya lihat mukanya berkerut dan nampak gusar. Dia membelek-belek dompet miliknya.
Disebabkan ramai orang di dalam kedai dan saya tidak sampai hati melihat lelaki tersebut dimarahi, saya terus menawarkan diri untuk membayar baki duit minyak yang perlu dijelaskan lelaki tersebut.
"Tak apa la, biar saya bayarkan," kata saya.
Juruwang tersebut memandang saya dengan terkebil-kebil. Begitu juga dengan rakan sekerjanya di kaunter sebelah.
"Berapa bakinya?" Saya menyoal untuk kepastian.
"Seringgit dua puluh lima sen (RM1.25)," beritahu juruwang tersebut ringkas.
"Dia sudah pergilah," kata seorang pelanggan kepada saya.
Saya menoleh ke arah lelaki tersebut. Dari balik cermin, saya lihat lelaki tersebut mundar mandir sambil membelek-belek kembali dompetnya.
"Boss, saya rasa tadi you silap dengar. Mungkin dia tanya, lima ringgit (RM5) minyak penuh?" Saya cuba menjelaskan kepada mereka.
"Tak, dia kata minyak full! Kalau tak percaya, you tanya sama dia," kata juruwang sambil menjuihkan bibir kepada lelaki tersebut.
Untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan saya bertanya kembali sebelum membayar, "Oh, ok tak pa la saya bayarkan. Berapa boss?"
"Seringgit (RM1.00)!"
'Oh! Boleh pulak, tadi kata seringgit dua puluh lima sen (RM1.25),' bisik saya dalam hati.
Lelaki tadi kemudiannya datang bertanyakan ATM kepada juruwang perempuan tersebut dan juruwang tersebut hanya menggelengkan kepala.
Saya yakin yang dia tidak mempunyai wang saat itu. Dia gelisah. Sejurus itu saya memberitahu dia yang saya akan membayar baki duit minyaknya.
Dia tunduk malu lantas mengucapkan terima kasih kepada saya dan berlalu pergi.
Saya bayarkan bukan sebab saya banyak duit atau sebab saya baik sangat tetapi sebab saya juga pernah berada dalam situasi lelaki muda tadi.
Cuma bezanya, juruwang yang tersilap mengisi minyak saya dan dia tidak mahu mengembalikan wang kepada saya. Saya malas untuk memanjang-manjangkan kesilapan juruwang tersebut sebaliknya saya hanya membiarkan sahaja. Saya nasihatkan beliau supaya mendengar dengan baik apa yang dimahukan oleh pelanggan.
Ini berlaku disebabkan oleh kesilapan dalam komunikasi. Yang pelanggan kata begitu, yang juruwang faham begini. Akhirnya berlaku salah faham.
Untuk mendapatkan komunikasi dua hala yang baik, tuturkan kata-kata dengan jelas dan jadilah pendengar yang baik.
Satu lagi, boleh saja kalau kita mahu cakap yang baik-baik. Tak kira dengan siapa pun, bersopan santun itu bukankah amalan yang mulia. Yang muda disayangi dan yang tua dihormati. Semua orang layak diberikan penghormatan.
Buatlah baik sekecil apa pun atau di mana pun waima kepada haiwan. Pasti Allah akan berikan yang baik-baik kepada kita kembali.
Saya hanya memberikan pertolongan kecil dengan membayar RM1.00 untuk pemuda tersebut dan tidak sampai sejam tanpa disangka-sangka Allah telah menggandakan pemberian saya tadi dengan RM50.00 melalui pemberian sahabat kepada anak saya. Syukur!
YOU ARE READING
Cerita Aku Buat Kamu
Short StoryKisah benar yang ditulis dan dikongsi di Facebook. Semoga bermanfaat dan menginspirasi.