Baru-baru ini saya dan suami berkesempatan mengikuti satu program bersama anak-anak yatim dan asnaf. Program kembali ke sekolah, membeli barang keperluan untuk sesi persekolahan 2017.
Tujuan utama saya menyertai aktiviti tersebut adalah untuk menyantuni anak-anak yatim dan asnaf. Di samping ingin memberikan pendedahan awal kepada anak kecil saya untuk bergaul dan terlibat dengan kerja-kerja amal.
Tugas kami diperlukan untuk membawa, meluangkan masa dan tenaga untuk membantu anak-anak tersebut membeli barang keperluan sekolah.
Peluang yang datang tidak sepatutnya dilepaskan. Hidup ini singkat, sebelum dijemput Illahi, buatlah kebaikan dan memberilah selagi termampu.
Dalam surah Al-Munaafiquun ayat 10, "Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dan katanya : "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh."
Walaupun jarak lokasi rumah anak-anak ini agak jauh, syukur Alhamdulillah, cadangan saya ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami. Kami sama-sama ingin membantu!
Kepuasan hati di saat menghulurkan bantuan itu yang kami mahukan. Ganjaran dan pahala itu, biar Allah sahaja yang tentukan.
Kedatangan kami para sukarelawan di rumah kebajikan tersebut pada pagi itu disambut dengan senyuman indah daripada 40 orang anak-anak lelaki dan perempuan.
Diiringi dengan paluan kompang beserta selawat dan qasidah. Nampak gamat dan meriah. Sungguh mereka gembira meraikan kedatangan kami.
Hati saya tersentuh. Sebak melihat mereka. Sebak juga melihat tempat tinggal mereka di lot kedai dengan serba kekurangan.
Benarlah, orang kata saya ini berhati tisu. Hati mudah disentuh dan tersentuh. Sensitif! Mata sudah berair. Lekas-lekas saya tahan supaya tidak tertumpah.
Sebelum memulakan program, kami diberikan penerangan ringas oleh penganjur mengenai perjalanan program pada hari tersebut. Penganjur menerangkan apa yang perlu dan yang tidak perlu dibuat ketika bersama anak-anak ini.
Penganjur menyarankan supaya perbelanjaan keperluan sekolah mereka mengikut peruntukan yang diberikan. Tidak terlebih mahupun terkurang sedikit pun.
Katanya, ini adalah wang amanah daripada penderma. Jadi, belanjakan mengikut apa yang disumbangkan sahaja.
Selain itu, penganjur ingin mendidik anak-anak tersebut mengurus kewangan mengikut keperluan mereka dan berbelanja secara berhemat. Juga tidak meminta secara berlebih-lebihan atau mengambil kesempatan di atas bantuan orang.
Saya suka cara beliau mengendalikan wang hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia. Beramanah dan berintegriti.
Tetapi sekiranya sukarelawan ingin memberi atau menaja lebih daripada yang diperuntukan, ianya tidak menjadi masalah. Terpulang!
Di akhir penerangan, penganjur membuka sesi soal jawab kepada sukarelawan. Memberi peluang untuk bertanya sebelum memulakan misi pada hari tersebut.
Dalam banyak-banyak soalan, saya sangat tertarik dengan soalan dari seorang sukarelawan lelaki.
"Jika kami tidak boleh memberi, boleh tak kami meminta daripada anak-anak ini?" tanya lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Saya jangkakan lelaki ini hanya ingin membuat lawak bagi menceriakan suasana.
Saya dan yang lain juga turut sama ketawa tetapi jawapan yang diberikan oleh penganjur membuatkan saya terdiam seketika.
Puan penganjur tersenyum dan dengan tenang menjawab, "Boleh! Jangan tak tau, kita ni juga salah seorang daripada peminta."
Hilang ceria, keadaan berubah menjadi serius.
Sambungnya lagi, "Mintalah doa daripada anak-anak ini, usap kepala mereka dan minta mereka doakan untuk kita."
"Inilah masanya! Doa anak-anak ini antara doa yang dimakbulkan," sambil mengusap kepala anak beliau.
Kali ini penganjur pula ketawa kecil.
Allahu Allah.
Saya menyeluruhi hampir setiap wajah sukarelawan. Ada yang masih mengukirkan senyuman, ada yang tertunduk diam dan ada beberapa wajah yang sudah mempamerkan raut sedih.
Saya toleh ke sisi kanan saya dan lihat gadis sukarelawan di hadapan saya sudah mula mengesat matanya berkali-kali. Dia berundur sedikit ke belakang dan saya yakin dia sedang cuba menyembunyikan air matanya yang sudah bercucuran.
Saya pula, turut sama tersentuh dengan jawapan yang diberikan penganjur. Mata saya juga sudah mula berair. Saya berpaling ke belakang konon-konon ingin melihat anak saya. Yang sebenarnya saya juga cuba mengelakkan air mata saya dilihat.
Ini bukannya pertama kali saya menyertai program sebegini dan bukan juga pertama kali bertemu dengan penganjur. Sudah beberapa kali.
Entah kenapa setiap kali wanita ini bersuara, pasti ada saja ayat-ayatnya yang menyentuh hati saya. Lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan anak-anak yatim.
Ya, tepat jawapannya! Kita semua ini adalah peminta.
Jadi, jangan malu untuk meminta, apalagi daripada insan yang doanya mujarab dan segera diangkat Allah.
Doa anak yatim!
Kita bukan hanya layak memberi kepada mereka malahan kita juga selayaknya meminta daripada mereka.
Saya yakin bahawa ada doa kita yang Allah makbulkan menerusi orang lain. Antaranya adalah dari tangan-tangan anak yatim yang menadah doa buat kita.
Betapa mulianya anak yatim ini di sisi Allah sehinggakan di dalam Al-Quran disebut berulang kali mengenai mereka.
Bersamalah kita menyantuni anak-anak yatim. Buat baik kepada mereka dengan tidak menghina, menganiya dan menzalimi mereka sewenang-wenangnya. Pelihara hak-hak dan harta mereka.
Doa anak yatim sangat mustajab!
Moga-moga setiap kebaikan yang kita lakukan kepada anak yatim mendapat keberkatan dari-Nya.
YOU ARE READING
Cerita Aku Buat Kamu
Short StoryKisah benar yang ditulis dan dikongsi di Facebook. Semoga bermanfaat dan menginspirasi.