Saya memohon maaf kepada Aiman dan Aizam.
"Tapi makcik, mak dan ayah kami tinggal jauh. Mak di Kuantan, Pahang dan ayah di Penang," beritahu Aiman.
"Wah! Jauh tu," balas saya.
"Mak berkerja sebagai pembantu di kedai makan. Ayah pulak berkerja di kilang," tambah Aiman lagi.
Saya mendengar dengan teliti.
"Hari tu kamu adik beradik beraya di mana? Di kampung mak atau di kampung ayah?" saya bertanya dengan bersahaja.
"Kami beraya di rumah tu makcik. Mak datang beraya bersama kami," bersungguh-sungguh Aiman bercerita alang kepalang gembiranya.
Aizam hanya mendiamkan diri di belakang.
"Seronok la kamu raya beramai-ramai," saya senyum sambil memandang Aiman dan dia senyum menampakkan sebaris giginya yang putih.
"Ayah?" Soal saya kembali.
Aiman diam tidak berkutik.
Secara tiba-tiba Aizam pula kembali bersuara.
"Ayah, tak datang. Ayah tak pedulikan kami adik beradik pun. Ayah hanya tahu kerja, makan, tidur dan kerja sahaja."
Aiman di sebelah resah seperti cacing kepanasan dan berdehem seolah-olah memberi isyarat kepada Aizam supaya tidak bercerita dengan lebih lanjut.
Aizam diam. Akur.
Saya seakan mengerti perasaan Aiman saat itu. Sebagai anak, sebolehnya dia tidak mahu menceritakan masalah keluarga kepada orang lain apatah lagi menceritakan keburukan mak atau ayahnya sendiri.
Macam-macam telahan yang saya buat. Mungkinkah mak dan ayah mereka sudah tidak tinggal bersama? Atau mungkinkah sudah berpisah? Nauzubillah!
Saya tidak tahu dan saya tidak mahu bertanya lagi.
"Oh, tak mengapalah. Ayah kamu berkerja mencari rezeki buat kamu sekeluarga. Yang paling penting kamu adik beradik sentiasa bersama tidak terpisah-pisah," ujar saya menyejukkan hati Aiman yang seakan tidak berpuas hati dengan adiknya Aizam.
Saya memandang Aiman dan dia mengangguk-angguk tanda setuju.
"Kamu jaga adik kamu baik-baik," tambah saya lagi.
Aiman melemparkan pandangannya jauh ke hadapan. Kosong.
Kanak-kanak yang duduk di sebelah Aizam langsung tidak bersuara mahupun menyampuk perbualan kami. Saya lihat wajahnya tidak seceria Aiman dan Aizam.
"Sebelah Aizam ni siapa namanya?" soal saya tanpa memandang mereka yang duduk di belakang.
Dia menjawab soalan saya tetapi dengan suara yang agak kurang jelas antara kedengaran dengan tidak.
Saya mahu dia bersuara dengan berani dan saya kembali menyoal.
"Maaf, siapa?"
"Saya Faiz."
"Nama dia Faiz, makcik," Aiman dan Aizam menjawab secara serentak.
"Oh, Faiz. Umurnya berapa?"
Faiz menjawab dengan malu-malu.
"10 tahun."
Dua tiga kali juga saya berfikir sebelum menyoal, takut tersalah soalan lagi.
"Kamu masih ada mak?"
"Ada, mak angkat."
Saya terpelik-pelik. Saya menyoal lagi.
"Faiz, kamu masih ada mak?"
"Ada, mak angkat."
'Eish Faiz ni, aku tanya lain, dijawabnya lain. Dia tak faham soalan atau aku salah soalan? Argh, sudah!' getus saya dalam hati.
"Makcik, Faiz ni ada mak angkat. Mak angkatnya tu yang menjaganya sejak kecil," Aiman menerangkan satu persatu kepada saya.
Saya tersentap! Kali ini saya betul-betul rasa bersalah. Entah kenapa rasa sedih menusup ke hati saya. Mata mula berkaca-kaca.
Jika itu benar cerita yang dikisahkan Aiman, saya kira Faiz lebih kurang bernasib baik berbanding Aiman dan Aizam. Dia tidak mengenali mak dan ayahnya sejak kecil lagi. Allahu!
Dan lebih menyedihkan lagi dia tidak punya adik beradik seorang pun.
Patutlah Faiz banyak mendiamkan diri. Saya mula menjadi gelabah tak tentu pasal. Takut-takut soalan saya tadi mengguris hatinya.
Saya tidak berani memandang wajah Faiz, takut air mata yang ditahan-tahan tadi tertumpah di hadapan mereka.
Saya masih ingat lagi kata-kata Dato Dr. Haji Fadzilah Kamsah yang saya dengar di radio dahulu katanya, "Kalau kita nak beri orang semangat dan kekuatan, kita sendiri perlu kuat."
Betul! Saya perlu kuat untuk tidak menangis di hadapan mereka. Saya memang rasa sebak saat itu. Nafas tersekat-sekat untuk menuturkan kata-kata.
"Faiz, Alhamdulillah kamu ada mak angkat. Kamu tak ada adik beradik, tak mengapa. Di rumah tu kamu ada ramai abang, kakak dan adik. Anggaplah mereka seperti keluarga kamu."
Saya cuba memujuk Faiz.
Selepas itu masing-masing tidak bersuara sehingga tiba ke rumah mertua saya. Melayan perasaan barangkali.
Saya sudah tidak boleh tahan. Air mata jatuh jua akhirnya saat mereka keluar dari kereta saya.
Sejak bergelar ibu, perasaan sayang terhadap anak kecil semakin tinggi. Mudah sangat tersentuh hati ini apabila bercerita bab anak.
Sungguh anak-anak yang saya kenali ini sangat tabah orangnya. Bercerita mengenai mak, ayah dan keluarga sudah membuatkan mereka berasa rendah diri.
Entah apa pula perasaan mereka melalui kehidupan tanpa mak ayah di sisi. Kurang perhatian, kurang kasih sayang, serba serbi kurangnya. Tak dapat saya gambarkan.
Dari kejauhan saya hanya mampu berdoa.
Berdoa semoga Aiman, Aizam dan Faiz sentiasa dibawah lindungan dan rahmat Allah dan semoga Allah memberi kehidupan yang baik buat mereka.
Amin. Amin. Amin.
YOU ARE READING
Cerita Aku Buat Kamu
Short StoryKisah benar yang ditulis dan dikongsi di Facebook. Semoga bermanfaat dan menginspirasi.