Kematian Di Usia Muda

132 1 0
                                    

Semalam ada pembentangan laporan dan pematuhan oleh pihak kilang di pejabat. Tamat pembentangan, saya dengan ringan mulut bertanya mengenai bilangan penolong pengurus di kilang. Sudah menjadi kebiasaan berbasa-basi selepas berbincang hal kerja.

Pengurus dengan muka yang agak sedih beritahu yang dia baru sahaja kehilangan seorang penolong pengurus pada 1 Mei, cuti hari buruh yang lepas. 

Inalilahi Wainalilahi Rojiun! Saya terkejut. 

Seingat saya penolong pengurusnya itu masih muda.

Memang betul, baru berumur 26 tahun. Kami pernah terserempak sekali ketika di kilang tetapi kami tidak berurusan secara langsung kerana beliau jurutera operasi tidak menguruskan hal-hal alam sekitar.

Dikhabarkan arwah sakit dalam tempoh tiga bulan sahaja dan terus meninggal dunia. Sekali lagi saya terkejut. Pada awalnya, arwah hanya sakit-sakit perut dan menganggap sakit perutnya selama ini hanya disebabkan gastrik tetapi sebenarnya tidak. Berat badan semakin hari semakin menyusut dan muka semakin mencengkung.

Atas paksaan rakan sekerja, arwah mendapatkan rawatan terperinci dari doktor dan didapati usus arwah dijangkiti fungus. Tanpa sedar fungus tersebut sudah berakar umbi diususnya. Menurut doktor, kes sebegini adalah jarang sekali berlaku di Malaysia.

Ya Allah, semalam sepanjang hari saya terbayang-bayang muka arwah. Alangkah baiknya kalau arwah bertindak awal mendapatkan rawatan secepat mungkin. Tapi, kalau sudah takdirnya begitu harus bagaimana hendak dilakukan lagi? Perginya ketika usia yang masih muda.

Sungguh, kematian tidak mengenal usia dan tempat. Saya lantas teringat ketika saya berumur 26 tahun kira-kira 8 tahun yang lepas. Entah apa yang sedang saya lakukan ketika itu dan tiba-tiba Allah menjemput saya pulang. Apa bekalan saya ke sana? Sudah bersediakah saya untuk pulang ke negara yang kekal abadi. Ya, Allah saya masih belum bersedia.

Saya akui, sehingga kini masih belum lagi cukup bekalannya. Sebagai manusia, setiap hari pasti ada saja dosa-dosa yang saya lakukan samada secara sedar atau tidak. Saya masih berusaha melengkapkan diri untuk menghadap Illahi dan membawa bekalan secukupnya.

Ya Allah, terima kasih atas nikmat usia yang Kau berikan. Ampunkan dosa-dosaku, berikan aku kesihatan yang baik supaya aku dapat beribadah kepada-Mu dan panjangkan usiaku untuk kebaikan.

Amin. Amin. Amin.

Al-Fatihah buat arwah dan semoga beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Amin. Amin. Amin.

Cerita Aku Buat KamuWhere stories live. Discover now