Aku hulurkan sebiji epal padanya. Dia ambil sebelum mengunyah epal itu dengan gembira. Aku hanya mengukirkan senyuman.
"Macam mana rasanya?" Aku soal dia.
"Manis," dia balas. Aku senyum lagi. Dan aku perhatikan sahaja dia mengunyah epal itu sehingga gigitan terakhir.
Dia pandang aku dengan senyuman. Senyuman dia yang terakhir bakal aku lihat, mungkin. Beberapa saat kemudian, aku lihat dia rebah. Ah... epal itu berkesan! Ahli sihir itu sememangnya mahir melakukan perkara sebegini. Aku senyum dalam hati.
Perlahan-lahan aku angkat dia dan letakkan di atas katil di biliknya. Aku tatap wajahnya sepuas-puasnya sambil tangan aku membelai rambut panjangnya. Dia tidur lena ibarat seorang bayi.
"Bila tiba masanya, sayang, kamu akan sedar kembali. Dan aku harap, di saat kamu sedar itu, kamu langsung tidak ingat apa-apa tentang aku. Mulakan hidup baru." Aku usap pipinya untuk kali terakhir sebelum ciuman diberikan di dahinya.
Sebelum melangkah keluar dari biliknya, aku perhatikan lagi keadaannya. Dia tenang sahaja. Tentulah, dia tidak tahu apa yang sedang terjadi. Bahkan dia tidak akan ingat apa yang sedang berlaku ini bila dia sedar beratus-ratus tahun kemudian. Aku harap dia lupa hari ini dan hari-hari sebelumnya. Hari-hari dia bersama aku.
Aku melangkah keluar dengan niat tak akan pernah lagi pulang kembali ke situ. Tak akan. Ah... maaf.
Beberapa ratus tahun telah berlalu... lelaki itu tidak pernah kembali dan si gadis itu masih lena dengan tidurnya. Tiada langsung tanda-tanda mahu sedar. Kamu rasa apa yang akan berlaku selepas itu?
YOU ARE READING
Cerita Pendek
FantasyMungkin patut dipanggil Kisah Kontot a.k.a Kistot. Cerita cerita pendek yang mungkin juga kedengaran merepek bagi sesetengah manusia tapi tidak bagi seorang Reen. Well, life ain't a fairy tale after all. Thanks.