Bab 2

5.3K 121 0
                                    

YAHUUU! Lega, akhirnya dia mendarat juga dengan selamat. Dahulu sebut pasal naik kapal terbang, Tuhan saja yang tahu betapa terujanya. Tapi sekarang sudah lain cerita. Banyak sangat pesawat terhempas. Dan yang terbaharu, pesawat Germanwings terhempas di Banjaran Alps, Perancis. Naik kapal terbang mulai terasa betapa gerunnya. Terimbas kembali dua buah kapal terbang milik Malaysia yang hilang dan terhempas, bertambah-tambah rasa gentar. Kalau bumi Sarawak boleh dijejaki melalui jalan darat, dia sanggup memandu walaupun jauh.

Khaira Wilda baru tiba di Kuching sekitar satu jam lalu. Kini dia sudah pun check in ke dalam bilik hotel. Dia berbaring enak di atas tilam sambil mata menentang siling.

Ini kali kedua dia berada di Kuching. Setahun lalu dia pernah datang kerana tugas. Tetapi hari ini dia bersendirian. Huh, rasa sunyi tiba-tiba. Pantas digagaunya telefon bimbit di dalam beg tangan. Teringat pada Razif pula. Terus dia buka aplikasi WhatsApp dan menaip mesej untuk rakan setugasnya itu.

Aku dah sampai Kuching. Tengah rehat kat bilik hotel. Kau kat mana?

Tiada jawapan balas daripada Razif. Sibuk agaknya... fikir Khaira Wilda. Hingga ke malam tiada jawapan balas daripada Razif. Ke mana pula mamat ni? Apa yang dia buat?

Hei, kenapa kau nak tahu sangat pasal dia? marah hatinya yang satu lagi. Tersentak Khaira Wilda apabila suara hatinya mengingatkan sesuatu. Razif hanya kawan sekerja. Biarlah apa yang dibuat sekalipun, tidak perlu dia ambil kesah sangat.

Tapi aku dah mula rasa kehilangan dia. Aduhai! Baru sehari bertugas berlainan tempat. Kenapa aku rasa semacam aje? Khaira Wilda mengeluh perlahan.

Aku homesick agaknya, hati Khaira Wilda berbicara lagi.

Harap dua tiga hari lagi aku okey la sorang-sorang kat bandar Kuching ni.

Sebelum terlelap malam itu, Khaira Wilda masih merenung telefon bimbit yang langsung tidak berbunyi dan bergetar.

Sekitar jam 5 pagi dia sudah bangun. Selepas mengerjakan solat subuh, dia mendapat panggilan daripada seseorang. Nombor yang tertera di skrin telefon tidak dikenali. Dia menyapu skrin telefon bimbit dengan hujung jari telunjuk, lalu terus melekapkan alat komunikasi itu ke telinga.

"Helo!"

"Cik Wilda?"

"Ya, saya."

Rasa pelik pula bila orang panggil dia dengan nama hujung. Biasanya kawan yang rapat dan mesra panggil Aira.

"Turun ke lobi sekarang."

Tersentak sedikit Khaira Wilda. Macam memerintah sahaja orang tu! Bossy betul, sempat hatinya merungut.

"Siapa ni?"

"Turun saja, jangan banyak soal." Tegas satu suara lelaki di hujung talian.

Segera Khaira Wilda merengus dan mencampak telefon bimbit ke atas katil. Jaket jean dicapai menutup baju T ringkas warna putih berlengan pendek. Suasana dalam bilik hotel sejuk mencengkam mengalahkan musim salji di Switzerland.

Di lobi hanya ada seorang lelaki duduk di atas sofa. Sebaik nampak Khaira Wilda keluar dari lif, dia terus memandang. Dengan isyarat mata, lelaki itu meminta Khaira Wilda datang mendekati lalu duduk di sofa bertentangan dengannya. Sekali pandang sahaja, Khaira Wilda dapat mengagak siapa lelaki itu. Seseorang yang bertugas sepertinya juga, seorang perisik. Atau mungkin orang yang berpangkat lebih tinggi daripada Khaira Wilda sendiri.

"Sebenarnya aku malas nak datang sini, tapi dah arahan bos suruh jumpa engkau," kata lelaki itu memulakan bicara.

"Lepas ni kita akan selalu jumpa atau terserempak sebab kita rakan setugas. Tapi lebih baik kalau kau buat tak kenal saja aku. Kita ni memang tak saling kenal dan tak perlu aku beritahu nama aku pada kau." Lanjutan kata-katanya terdengar sedikit angkuh.

Khaira Wilda membuntangkan matanya. Jadi, lelaki itu rakan setugasnya dan mereka akan bekerjasama berkongsi maklumat. Adakah dia juga anak buah Tuan Rosdi atau dia sebenarnya bertugas di pejabat polis daerah sini?

Tapi Khaira Wilda datang dari ibu pejabat Bukit Aman. Dia tidak pernah melihat lelaki itu hadir di pejabatnya di sana.

"Pagi ni kau terus lapor diri pada Abang Buncit di syarikat Tan Sri Anwar Karim El-Zahri."

Dia meletakkan kunci motosikal di atas meja kopi di hadapan Khaira Wilda. Pada key chain tertulis nombor plat motosikal tersebut.

"Kat sini kau pakai motor aje, sesuai dengan jawatan kau sebagai cleaner."

"Motor apa?"

"Motor Honda kapcai. Apa, kau ingat kau akan dapat motor Kawasaki Ninja ke?"

Huh, tak habis-habis nak menyindir. Tak boleh silap tanya sikit. Menyampah! Khaira Wilda gigit bibirnya sendiri dengan agak kuat. Dia menghentikan perbuatannya itu apabila terasa sakit.

"Kau mungkin pakai kereta mewah kat KL."

"Tak la kereta mewah, tapi memang ada kereta."

"Aku rasa tak logik miss cleaner duduk hotel mewah tepi Sungai Sarawak yang cantik ni. Aku akan carikan kau rumah dua tiga hari lagi."

Serta-merta Khaira Wilda rasa meluat.

"Aku takkan pindah ke mana-mana, sebab bos aku dah janji, aku akan terus duduk di sini sampai tugas aku selesai. Tak kira berapa lama."

"Wow... Pedas juga kau, ya?" Entah sindir, entah memuji, Khaira Wilda tidak ambil peduli. Dia tidak akan dengan mudah mengiakan sahaja kata-kata lelaki ego di hadapannya itu.

"Habis, kau lempar lada hitam kat aku. Apa, kau ingat orang KL tak ada cili ke? Cili padi, cili merah, cili kering, mexican chilies semua ada. Cubalah buat aku sentap lagi," jawab Khaira Wilda mulai sentap dan geram.

Kalau kau nak ajak aku perang mulut, aku akan sumbat mulut kau dengan cili giling. Jangan ingat aku takut!

Lelaki itu menggaru janggutnya yang tersusun kemas di bawah dagu dan pelipis. Dia nampak agak kacak dengan janggut tipisnya itu. Walau bagaimana pun, Khaira Wilda enggan mengakui penampilannya.

"Kau dah tahu jalan-jalan kat sini?" Dia bertanya agak lunak, ada secebis senyuman di wajahnya.

"Aku pernah datang sini dulu. Tak susah sangatlah sebab aku ada Waze."

"Okeylah, kalau macam tu."

Masing-masing diam sejenak. Khaira Wilda bangun. Sudah sampai masa untuk naik ke atas semula. Dia tidak selesa lebih lama dengan lelaki itu. Entah bagaimana mereka akan bekerjasama nanti?

Sedetik kemudian mereka berdiri hampir serentak. Tanpa sebarang ucapan, lelaki itu beredar.

Khaira Wilda memerhati keadaan di luar melalui pintu cermin hotel. Lelaki itu sudah lenyap dalam samar kabus tipis awal pagi. Di pekarangan hotel yang lengang, Khaira Wilda nampak seorang lelaki sedang merayau-rayau. Daripada pakaiannya yang compang-camping, Khaira Wilda tahu lelaki itu orang gila.

Orang gila itu bebas di dalam kawasan hotel dan tidak dihiraukan oleh pengawal keselamatan. Dahi Khaira Wilda berkerut. Agak pelik melihat situasi itu. Kemudian dia hanya tersenyum tipis sambil terus bergerak menghala ke lif.

MISS CLEANER UNDERCOVERWhere stories live. Discover now