Bab 7

3.9K 97 1
                                    

DI LUAR, hujan sedang turun. Semua orang bergegas masuk ke lobi untuk mengelak dari hujan. Suasana di lobi agak sesak. Ada yang tumpang berteduh dan ada pula yang masuk ke pejabat masing-masing. Sekitar jam sepuluh, hujan baru teduh. Kesibukan di lobi sudah mula surut. Bila hujan, lantai cepat menjadi kotor. Sudah dua tiga kali mop masih ada kotoran yang dibawa kasut yang basah dari luar.

Cemuih betul aku, bisik hati Khaira Wilda. Entah berapa kali dia mengemop lantai, tetap ada kotoran yang melekat di mana-mana. Abang Buncit selalu mengawasi Khaira Wilda dalam diam. Pantang berehat, dia akan hantar mesej.

Nampak saja apa yang aku buat. Sepanjang masa duduk depan CCTV, rungut Khaira Wilda.

Tiba-tiba Khaira Wilda ternampak sesuatu. Sebuah briefcase hitam yang diletakkan di tepi pintu. Setengah jam tadi, masih ramai yang masuk berduyun-duyun. Tidak perasan pula beg siapa yang tertinggal di situ.

Khaira Wilda mendekati dan mencapai briefcase itu lalu membawanya ke meja penyambut tetamu. Ringan sahaja begnya.

"Beg siapa ni? Tertinggal kat pintu depan."

"Entah," jawab penyambut tetamu yang sibuk dengan interkom dan telefon.

Hati Khaira Wilda rasa semacam. Nalurinya menyatakan sesuatu. Briefcase itu sengaja ditinggalkan di situ. Dadanya mulai berdetak. Segalanya berkemungkinan.

Diam-diam dia mengambil briefcase itu lalu dibawa ke bahagian belakang. Langkah diatur memasuki bilik air. Tanpa disedari, langkahnya diekori Abang Buncit.

"Kau buat apa tu?"

"Huh! Terkejut saya!" kata Khaira Wilda sambil mengurut dada.

"Kau nak curi, ya? Kenapa kau ambil beg tu? Tinggalkan beg tu kat meja penyambut tetamu." Tegas arahan Abang Buncit.

"Saya curiga dengan beg ni."

"Banyak kau punya curiga! Engkau tu siapa, nak syak wasangka? Berlagak macam polis pula dah!" Marah betul Abang Buncit dengan tindakan Khaira Wilda.

"Pergi letak balik dekat pintu depan sana. Entah-entah tuan dia datang cari!" tegas suara Abang Buncit, dengan tangan terangkat menghala ke ruang hadapan.

"Kau nak kena tuduh mencuri ke? Ingat, semua perbuatan engkau dirakam CCTV."

Khaira Wilda mengetap bibir. Ikutkan hati, dia nak suruh Abang Buncit tutup mulutnya yang lebar dan besar macam ikan kaloi. Tapi bimbang temperature Abang Buncit naik hingga beratus darjah pula.

"Saya nak buka beg ni!" Khaira Wilda berkata, degil.

"Jangan degillah. Pulangkan beg tu ke sana!" Separuh menjerit, Abang Buncit bersuara sambil cuba merampas beg dari pegangan Khaira Wilda.

Dia benar-benar marah. Khaira Wilda cuba mengelak. Namun akhirnya beg itu terlepas dari tangan lalu jatuh ke atas lantai. Beg itu nyata tidak berkunci, ia terbuka dengan mudah.

Mata Khaira Wilda terbeliak melihat isinya. Bom jangka buatan tangan. Wayar berselirat di dalamnya. Sebaik terbuka, terlihat telefon bimbit di dalamnya yang dijadikan sebagai alat mengira jangka masa. Ia mulai berdetik sebaik beg itu terbuka.

"Ya Allah! Bom jangka ke tu?" Abang Buncit terkejut besar.

"Ya, nampak macam bom jangka."

Khaira Wilda memandang tepat wajah Abang Buncit.

"Apa???"

Abang Buncit terkejut, pucat wajahnya.

"Ada bom! Bom!!! Semua orang keluar!" Abang Buncit menjerit-jerit seperti histeria.

MISS CLEANER UNDERCOVERWhere stories live. Discover now