TETAMU mulai membanjiri ruang halaman rumah Tan Sri Anwar Karim El-Zahri. Halaman berlantaikan rumput dengan langit yang terbuka itu, diletakkan kerusi dan meja. Meja bulat beralas kain putih itu nampak cantik dengan hiasan bunga segar. Di satu sudut halaman didirikan sebaris kanopi. Di situ pelbagai hidangan disediakan buat tetamu.
Cuaca malam ini amat baik. Langit malam nampak indah diseri cahaya bulan dan taburan bintang. Tapi tiada sesiapa yang mendongak ke langit, lantaran di bumi segalanya lebih menarik. Tetamu datang berpasangan. Wanita muda dan tua bergaya sakan. Tetamu lelaki juga tidak kurang menjaga penampilan.
Di setiap sudut halaman, ternampak beberapa orang pengawal terpacak, menjaga keselamatan semua orang. Segalanya tampak aman dan tenang. Masih ada yang terkesan dengan berita bom yang diletakkan di syarikat milik Tan Sri Anwar Karim El-Zahri.
Jamuan berselerak dimulakan selepas Tan Sri Anwar Karim El-Zahri mengucapkan selamat datang dan menyampaikan tujuan majlis tersebut diadakan. Kebanyakan yang datang malam ini adalah rakan-rakan seperjuangannya dalam politik dan tidak ketinggalan rakan-rakan perniagaan.
Tuan Rosdi turut hadir. Sesekali matanya memerhati ke arah Khaira Wilda yang sibuk bekerja. Malam ini dia tidak menjadi tukang sapu, sebaliknya bertugas sebagai pelayan. Dia lincah ke sana ke mari dengan dulang berisi minuman.
Sambil lincah bergerak ke sana ke mari, telinganya bagaikan telinga lintah. Setiap perbualan orang cuba ditangkap dan dirakam dalam kotak minda. Bila ada perbualan yang menarik hati, spontan dia menyampuk, kemudian cepat-cepat angkat kaki sebelum orang itu dapat membalas kata-katanya.
Namun dia tidak boleh tahan apabila mendengar perbualan antara Encik Lubis dan Encik Mokhtar. Geram sahaja hendak menyampuk dan memberikan pendapat.
"Tak... Saya tak setuju," bantahnya sambil menggoyang-goyangkan jari telunjuknya yang lentik.
Encik Lubis dan Encik Mokhtar yang leka berbual menoleh, terkejut kerana menyedari perbualan mereka dicampuri orang lain. Lebih gawat lagi apabila yang menyampuk itu seorang gadis yang bekerja sebagai pelayan.
"Kenapa tak setuju? Apa pendapat awak?"
Khaira Wilda menggeleng, dengan bibir tercebik.
"Orang Melayu Islam ni yang perlu berubah, perlu ada kesedaran. Jangan salahkan bangsa lain jika mereka lebih berjaya. Memang suatu masa dulu, Tanah Melayu ni tanah kita, tapi kalau semua digadai apa yang tinggal?"
"Tuan tahu sejarah pergolakan dan kejatuhan zaman kesultanan Melayu Melaka, apakah puncanya?" Khaira Wilda pula yang menyoal.
Sengaja menggunakan perkataan tuan untuk mempamerkan rasa hormat.
"Kami bukan pengkaji sejarah."
"Tuan pernah dengar nama Raja Mendeliar, Si Kitul dan Khoja Hassan?"
Belum sempat kedua-dua lelaki itu menjawab, Khaira Wilda menambah.
"Dalam politik Malaysia sekarang, ketiga-tiga orang ini tetap ada. Berada dalam kalangan kita, cuba memporak-perandakan keharmonian negara ni. Bukan hanya dalam politik tapi dalam sesebuah organisasi kecil atau besar mesti ada Si Kitul. Macam dalam syarikat Tan Sri, memang ada watak tiga orang ni."
Kelihatan kedua-dua lelaki itu saling berpandangan mendengar kata-kata Khaira Wilda.
"Saya tak faham. Siapa Raja Mendeliar tu?" tanya Encik Mokhtar dengan dahi berkerut.
"Tuan-tuan tentu tahu tentang buku Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang, kan? Nah, carilah buku Sejarah Melayu. Belek-beleklah helaian demi helaian. Pasti bertemu dengan watak-watak Raja Mendeliar, Si Kitul dan Khoja Hassan," kata Khaira Wilda.
YOU ARE READING
MISS CLEANER UNDERCOVER
RomanceTajuk: Miss Cleaner Undercover Penulis: Fateen Najwa Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-53-2 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017 ****************** Saat mengetahui kebenaran yang hakiki, Hayden Da...