SUNYI alam sekeliling bagaikan semua sudah mati. Hanya angin halus bertiup menampar pipi. Khaira Wilda berjalan menghala ke pintu belakang. Kunci dikeluarkan dari poket seluar, lalu pintu belakang Syarikat Bina Bumi Sarawak Berhad dibuka perlahan.
Dia sudah memerhati suasana sekeliling sejak datang tadi. Pengawal baru sahaja bergerak meninggalkan kawasan belakang syarikat. Dia hanya akan meronda lagi sekitar satu jam dari sekarang.
Pintu dibuka dengan mudah. Kunci diperolehi daripada tuan punya syarikat. Apa susah? Dia yang suruh masuk untuk siasat! Khaira Wilda senyum sendiri.
Ni barulah real. Tugas sebenar seorang perisik adalah mencari maklumat dan menyiasat. Bukannya tukang sapu. Tapi sebenarnya ada kaitan juga antara penyiasat dan tukang sapu. Apabila menjalankan siasatan, bukankah harus sapu bersih semuanya, jangan sampai ada tertinggal bukti? Orang yang sedang disiasat tidak harus tahu dirinya sedang diintip.
Lantaran lif ditutup pada waktu malam, terpaksalah menapak naik tangga. Turun nanti boleh guna tali saja. Lebih cepat dan mudah.
Tiba di tingkat 6, nafas sudah mengah. Namun langkah terus diatur juga. Sebaik tiba di tingkat lapan, dia terdengar bunyi derap kasut seseorang. Hmmm, takkan pukul dua belas tengah malam pun masih ada yang belum balik? Pelik!
Khaira Wilda mengintai dari celah pintu. Ruang itu kosong dan sunyi. Tapi sebentar tadi dia mendengar dengan jelas bunyi tapak kasut berlaga dengan lantai. Dia terus menjenguk, berjalan menghendap lalu terus bersembunyi di sebalik dinding. Suasana senyap, hingga angin pun tidak ada.
Bahang panas mulai terasa.
Dia bergerak lambat menghala ke bilik kerja Encik Lubis. Namun terhenti. Ada seberkas cahaya datang daripada bilik lelaki itu. Ada orang?
Kenapa Encik Lubis datang ke pejabat di tengah malam-malam buta begini? Apa yang dia buat? Dengan siapa dia berbual? Dia terpaksa menunggu di dalam gelap. Dia tidak akan berbuat apa-apa hingga menyebabkan Encik Lubis sedar kehadirannya di situ.
Sejam kemudian, Encik Lubis berlalu bersama rakannya. Mereka bawa sebuah beg dari dalam bilik kerjanya. Apakah isi beg tersebut dan mengapa dia harus berbincang di situ? Khaira Wilda masuk ke bilik Encik Lubis menggunakan kunci yang ada. Dia mendapat segugus kunci yang membolehkan dia membuka semua pintu di syarikat Tan Sri Anwar Karim El-Zahri.
Termasuk kunci pintu ke bilik kerja Hayden Daniel. Cuma kunci pintu ke hati lelaki itu sahaja yang dia tak ada. Adoi! Kenapalah terfikirkan mamat tu pula saat-saat begini?! keluh Khaira Wilda sambil menjengah masuk ke bilik Encik Lubis.
Mentol lampu meja masih terasa panas kala Khaira Wilda menekan suis.
Hmmm... Lama juga dia duduk di situ, hingga lampu ni terasa panas sekali. Apa yang mereka buat tadi dan apakah barang yang dibawa keluar dari bilik ini? Khaira Wilda mulai menarik laci mencari-cari sesuatu. Maklumat... Maklumat. Aku lapar maklumat ni!
Akhirnya dia terhenti. Matanya tertuju ke arah organiser yang ada di atas meja dan terselit pen di dalamnya. Dia segera buka organiser tersebut. Terdapat catatan nama dan alamat. Segera diambil gambar menggunakan kamera telefon bimbit.
Dari kejauhan terdekat bunyi tapak kasut. Kedengaran cepat sekali langkah yang dibawa kakinya. Cepat-cepat Khaira Wilda bersembunyi di bawah meja. Hanya itu sahaja tempat yang ada. Dia terlupa menutup lampu.
Terdengar pintu ditolak di luar.
"Rupanya aku terlupa tutup lampu dan kunci pintu tadi. Tapi rasa macam dah tutup dan kunci pintu." Kedengaran suara Encik Lubis bercakap dengan temannya.
"Tak hairan la, kau tu dah tua," balas temannya sambil gelak-gelak kecil.
"Patut rasa hati macam tak sedap. Organiser ni macam nyawa. Kalau tinggal, matilah," katanya lagi sambil mencapai organiser, lalu dimasukkan terus ke dalam briefcase.
YOU ARE READING
MISS CLEANER UNDERCOVER
RomansTajuk: Miss Cleaner Undercover Penulis: Fateen Najwa Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-53-2 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017 ****************** Saat mengetahui kebenaran yang hakiki, Hayden Da...