SEHELAI gaun diberikan kepada Khaira Wilda. Gaun satin warna kelabu beralaskan lace hitam itu cukup menawan. Kena pula dengan saiz badan Khaira Wilda.
Dia menyisir rambut. Memang senang berambut pendek. Cepat sahaja kering dan mudah digayakan. Dia keluar dari bilik solek rumah agam itu dan bersedia untuk bertemu dengan Tan Sri Anwar Karim El-Zahri. Seorang wanita, yang diketahuinya dengan jelas bertugas sebagai pembantu rumah di situ, membawanya ke bilik bacaan.
Tan Sri Anwar Karim El-Zahri menunggu di sana. Di ruang tamu yang luas, masih terdengar suara riuh perbualan dan muzik. Majlis masih berjalan rancak. Majlis menyambut hari kelahiran isteri Tan Sri Anwar Karim El-Zahri. Tetapi lelaki itu tidak ikut serta.
Tan Sri Anwar Karim El-Zahri bersendirian di dalam bilik bacaan yang luas, menghadap meja. Ada timbunan kertas-kertas yang belum usai dibelek. Sebaik melihat Khaira Wilda masuk, dia terus menjemput gadis itu duduk. Khaira Wilda akur, duduk dengan tertib mencari keselesaan diri.
Mereka mulai berbicara dengan lebih serius lima minit kemudian selepas ucapan basa-basi berakhir.
"Cik Wilda, keluarga saya tak tahu betapa seriusnya hal ini. Anak saya fikir ia adalah perbuatan budak-budak nakal. Saja-saja ugut. Tapi saya yakin ia bukan main-main. Semakin hari saya semakin risaukan keselamatan keluarga saya, terutama anak perempuan saya, Tia Amanda."
"Saya faham, Tan Sri. Tuan Rosdi ada bagi taklimat pada saya sebelum saya ke sini," jawab Khaira Wilda.
"Tan Sri ada syak pada sesiapa dalam syarikat? Yang mungkin boleh bantu saya mulakan siasatan?"
"Ada dua orang yang saya nak awak siasat. Salah seorang darinya Encik Lubis Tahir, pengurus besar bahagian kewangan. Seorang lagi, Encik Hamdan."
Dia menghulur dua keping gambar yang baru diambil dari dalam laci. Khaira Wilda merenung kedua-dua keping gambar itu sambil Tan Sri Anwar Karim El-Zahri menceritakan perihal mereka serta hubungan dengannya.
"Saya tak mahu dia curiga apa-apa. Jadi, saya rasa awak boleh lakukannya dengan mudah. Saya tak boleh tuduh-tuduh saja tanpa bukti. Setakat ni dia sangat bijak mainkan peranan. Tapi sebijak-bijak dia pun, saya dapat tahu. Cuma bukti aje yang tak ada."
Khaira Wilda mengangguk. Sebenarnya dia masih belum tahu apa yang dicari dan apa motifnya. Namun dia percaya segalanya akan jadi mudah jikalau mendapat sedikit petunjuk. Dan petunjuk itu hanya akan dapat diraih apabila dia menghampiri mereka.
SUDAH naik lenguh kakinya cuba menghidupkan enjin motosikal, tetapi enjin itu menggigil kedinginan. Kenapa kau ni degil sangat? Aku nak baliklah! Tolonglah hidup... Dia merungut sendiri.
Kemuncak geram dan marah, Khaira Wilda menerajang motosikal tidak berdosa itu sekuat hati. Kala itu juga dia teringatkan wajah Hakimi yang sengaja menderanya, meminjamkan dia sebuah motosikal yang buruk dan uzur.
Kenapa dia tak bagi saja aku motosikal Kawasaki Ninja 1000? Kan best aku boleh pecut macam pelumba motosikal di litar lumba. Ni sedekah motor kapcai tua nak mampus! Tak habis-habis Khaira Wilda merungut.
"Oi! Jahanamlah benda alah tu!" Terdengar satu suara yang datangnya dari sebuah kereta yang berhenti tidak jauh dari motosikal Khaira Wilda. Kereta itu baru masuk ke pekarangan rumah agam Tan Sri Anwar Karim El-Zahri.
Halaman rumah itu terang-benderang, lalu tidak sulit langsung untuk melihat setiap objek yang ada. Khaira Wilda menoleh, terkejut kerana yang menegurnya ialah Hayden Daniel. Dia baru pulang tika malam sudah agak lewat.
Perbincangan dengan Tan Sri Anwar Karim El-Zahri tadi memakan masa yang agak panjang juga. Majlis sudah berakhir semasa Khaira Wilda turun ke bawah. Semua orang telah pulang. Hanya tinggal pembantu rumah membersihkan ruang. Kelibat Hakimi juga tidak kelihatan. Pasti dia telah pulang lebih dahulu.
YOU ARE READING
MISS CLEANER UNDERCOVER
RomanceTajuk: Miss Cleaner Undercover Penulis: Fateen Najwa Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-53-2 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017 ****************** Saat mengetahui kebenaran yang hakiki, Hayden Da...